PERUNTUKAN dana bantuan yang disalurkan melalui MDEC dapat membantu usahawan  digital.
PERUNTUKAN dana bantuan yang disalurkan melalui MDEC dapat membantu usahawan digital.
Sri Ayu Kartika Amri


Pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi memperkasa usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Ia termasuk menyediakan peruntukan RM700 juta menerusi pemberian geran dan pinjaman untuk menerapkan penggunaan teknologi digital dalam operasi dan saluran perdagangan.

Bantuan itu turut membabitkan Geran Padanan Digital PKS sebanyak RM100 juta yang disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi serta peruntukan RM500 juta di bawah Dana Transformasi Teknologi PKS sebagai pinjaman mudah serta Geran Automasi Pintar berjumlah RM100 juta.

Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (Puim), Mohd Azrul Mohd Nor berkata, pihaknya melihat usaha kerajaan dengan memperkembangkan pendigitalan dalam kalangan rakyat Malaysia bakal meningkatkan usahawan sedia ada.

Katanya, ini kerana dengan memberikan pendidikan dan membolehkan capaian teknologi lebih rendah khususnya jalur lebar ini akan membolehkan semua lapisan masyarakat menikmati kelebihan digital sebagai penjual dan pengguna.

"Pendigitalan sekali gus meningkatkan kecairan kewangan khususnya dan baik untuk ekonomi negara.

"Puim juga bekerjasama dengan memberi input serta perkhidmatan konsultasi digital dan pemasaran digital melalui badan kerajaan khususnya Perbadanan Produktiviti Malaysia dalam Nexus Digital.

"Namun, kami akui ada cabaran yang dihadapi Puim terutama untuk mempermudahkan geran atau pinjaman kepada usahawan digital yang terkesan akibat Covid-19 khususnya mereka yang terhenti kerana terganggu rantaian bekalan mereka," katanya kepada Bisnes Metro.

Mohd Azrul berkata, malah Puim juga hanya boleh mencapai usahawan secara dalam talian untuk mendidik PKS di luar sana ke arah keusahawanan yang menggunakan digital sepenuhnya, di mana ramai lagi masih tidak jelas cara untuk bermula dalam bisnes digital secara menyeluruh.

Beliau berkata, bagaimanapun peruntukan dana bantuan yang disalurkan melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) membantu usahawan digital kerana agensi itu bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan lain merealisasikan inisiatif kerajaan.

"Hakikatnya, kami melihat berlakunya pertambahan bilangan usahawan Internet dan bagi usahawan ini, kami menyarankan sentiasa buat kajian permintaan terbaharu dalam pasaran dan juga berani untuk berubah jika perlu akibat tekanan ekonomi yang gawat sekarang ini.

"Pada masa sama fokus kepada penggunaan sistem digital sepenuhnya untuk tingkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 7:15 AM