PELAYAR internet harus tingkat pengetahuan, tidak serah segalanya kepada pihak berkuasa untuk cegah penipuan. - FOTO Google
PELAYAR internet harus tingkat pengetahuan, tidak serah segalanya kepada pihak berkuasa untuk cegah penipuan. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan


BAGI mendepani ancaman penipuan dalam talian, pengguna sendiri perlu lebih bijak serta peka tentang setiap penawaran, pautan dan transaksi yang ingin dilakukan.

'Perang' terhadap penipuan bentuk ini tidak cukup semata-mata bergantung kepada pihak berkuasa saja sebaliknya ia perlu digembling secara bersama-sama dengan pengguna.

Untuk rekod, sebanyak 51,632 kes penipuan dalam talian dilaporkan membabitkan jumlah kerugian lebih RM1.61 bilion daripada 2019 hingga tahun lalu.

Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Jonathan Yasin pada Mac lalu di Parlimen menyatakan bahawa kes belian dalam talian mencatatkan kes tertinggi sebanyak 18,857 kes, diikuti kes pinjaman tidak wujud sebanyak 15,546 kes.

"Pelbagai usaha dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani sindiket termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian dan menjalankan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat.

"Kita juga wujudkan 'CCID Scam Response Center' dan orang ramai boleh membuat panggilan untuk mendapatkan maklumat dan kesahihan panggilan bagi sebarang transaksi yang meragukan," katanya.

Pastinya, kewujudan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan memberi kesan yang baik kepada penurunan kes berkenaan.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil menyatakan penubuhan pusat itu adalah tepat pada waktunya dan ia juga dapat menumpukan kes penipuan secara berpusat.

"Agensi ini akan membabitkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan isu kewangan.

"Bagi mendepani isu scam ini, tidak cukup dengan agensi penguatkuasaan saja sebaliknya perlu juga kepekaan dan keprihatian pengguna itu sendiri.

PENGGUNA memainkan peranan besar dalam mengekang sebarang bentuk penipuan dalam talian. - FOTO Google
PENGGUNA memainkan peranan besar dalam mengekang sebarang bentuk penipuan dalam talian. - FOTO Google

KAEDAH pancingan data atau 'phishing' antara yang paling popular digunakan untuk mendapatkan maklumat sensitif pengguna. - FOTO Google
KAEDAH pancingan data atau 'phishing' antara yang paling popular digunakan untuk mendapatkan maklumat sensitif pengguna. - FOTO Google

"Kita tidak boleh terlalu bersandar dengan pihak berkuasa sedangkan segmen pengguna masih lagi kurang arif atau tidak terdedah dengan bentuk penipuan dalam talian masa kini," katanya.

Beliau berkata, pengguna yang bijak adalah sentiasa berwaspada ketika berada di ruang siber sama ada memerhatikan pautan yang tulen di samping tidak sewenangnya berkongsi maklumat peribadi.

Menurutnya, penipuan dalam ruang siber ini berubah-ubah jadi pendekatan terbaiknya adalah sentiasa berwaspada.

"Kita boleh katakan bahawa tiada 'bulletproof' dalam ruang siber ini kerana sifatnya adalah kompleks dan ia berubah mengikut masa serta teknologi.

"Oleh itu, kita sangat menekankan tentang aspek pengguna supaya lebih bijak dalam menghidu setiap bentuk penipuan yang dilaksanakan terutamanya membabitkan penghantaran pautan diragui," katanya.

Pada masa sama, platform seperti Telegram turut dijadikan 'hab' scam dan terdapat banyak bentuk penipuan menggunakan platform berkenaan memandangkan tahap privasi yang melindungi identiti pengguna.

Sebarang bentuk transaksi yang membabitkan dalam talian ini perlu dilakukan berhati-hati terutamanya jika urus niaga itu dilaksanakan di luar platform laman dagang tertentu.

Jika berlaku penipuan dalam laman dagang, pengguna boleh mengemukakan laporan terhadap pengendali laman dagang berkenaan dan tindakan susulan termasuk pemulangan wang dilaksanakan.

Ini kerana peranan laman dagang itu adalah sebagai 'middle man' atau orang tengah di dalam transaksi manakala wang masih disimpan oleh laman dagang sehingga urus niaga selesai antara penjual dan pembeli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 7:01 AM