GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TAWARAN Internet 1GB secara percuma kepada semua pengguna pengendali telekomunikasi akan dipanjangkan selama 24 jam, bermula hari ini.

Tawaran itu membabitkan pengendali telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Telekom Malaysia Berhad (TM) boleh dinikmati pengguna sehingga 31 Disember ini.

Ia mampu meningkatkan kesalinghubungan rakyat negara ini khususnya untuk keperluan kerjaya dan pembelajaran selain pengendali menawarkan akses percuma tanpa had kepada pelbagai aplikasi perkhidmatan berita bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai Covid-19.

Senarai ini merangkumi aplikasi MySejahtera dan MyTrace serta sumber dan hotline kesihatan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebelum ini, akses percuma 1GB itu hanya dinikmati bermula 8 pagi hingga 6 petang setiap hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu ekoran Covid-19.

Tawaran ini boleh digunakan untuk alat produktiviti serta keperluan penyemakan imbas kecuali media sosial, penstriman video serta muzik dan permainan.

Internet percuma ini sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 10:08 PM