EPSON M1120 direka untuk keperluan pelajar dan pejabat memandangkan kos mencetak setiap helaian 40 peratus lebih rendah.
EPSON M1120 direka untuk keperluan pelajar dan pejabat memandangkan kos mencetak setiap helaian 40 peratus lebih rendah.
Muhammad Saufi Hassan

PADA waktu ini, memiliki pencetak di rumah sudah menjadi keperluan kerana seluruh dunia sedang cuba mengadaptasi normal baharu kehidupan tambahan pula pelajar era teknologi hari ini banyak bergantung kepada pembelajaran maya.

Walaupun begitu, keperluan terhadap satu mesin cetak tetap kritikal pada waktu kini terutama untuk pelajar di semua peringkat pembelajaran supaya mereka boleh mencetak dan nisbah kos pencetakan untuk setiap helai kertas bagi pencetak ini adalah sangat rendah.

Epson sekali lagi berjaya menawarkan sebuah mesin pencetak bukan saja mampu milik, malah menawarkan nisbah kos mencetak setiap helaian kertas dengan kadar yang lebih rendah berbanding perkakas lain di dalam kelasnya.

Bagi pencetak Epson M1120, ia mampu mencetak lebih 6,000 helaian kertas untuk satu botol pewarna dan jika dibandingkan dengan jenama lain, ia dikatakan 40 peratus lebih rendah dan menawarkan kualiti bahan bercetak setaraf dengan pencetak teknologi laser.

Epson M1120 bukan saja sesuai untuk golongan pelajar yang banyak menggunakan kertas dan perlu sebuah perkakas yang menjimatkan sebaliknya sesuai untuk tugasan mencetak di pejabat kerana ia dilengkapi dengan keupayaan sambungan WiFi tanpa perlu pengguna melakukan log masuk kepada laptop atau komputer untuk mencetak sesuatu dokumen.

Pengguna juga tidak memerlukan kemahiran teknikal yang mendalam untuk memasang pencetak ini atau melakukan padanan perisian kepada laptop sebaliknya ia lebih berkonsep kepada 'Plug and Play' saja.

Aturan pemasangan untuk Epson M1120 juga sangat mudah apabila pengguna hanya perlu melakukan sambungan USB kepada komputer atau laptop, selepas itu memastikan palam kuasa dibuka untuk menghidupkan pencetak berkenaan.

Kurang 10 minit, pencetak akan melakukan konfigurasi secara automatik dan selepas itu, pencetak sudah sedia digunakan untuk sebarang dokumen.

Ruang muatan kertas untuk Epson M1120 adalah di bahagian depan dan model berkenaan sudah disediakan ruang penyimpanan untuk helaian kertas.

Berdasarkan ujian ringkas yang dilaksanakan penulis, kualiti bahan bercetak amat mengagumkan dan ia hampir setaraf dengan bahan yang dicetak menerusi pencetak berteknologi laser kerana setiap tulisan atau objek adalah 'tajam' tanpa sebarang kecacatan.

Epson M1120 juga agak pantas dalam mencetak. Penulis cuba memenuhi tulisan dan objek dalam enam helaian kertas dan ia siap sepenuhnya dalam tempoh masa kurang 30 saat iaitu nisbah purata 10 saat untuk setiap helaian (PPM).

Cubaan seterusnya dilakukan untuk kira-kira 20 halaman tulisan dan Epson M1120 siap mencetak dalam tempoh kira-kira 140 saat (dua minit 20 saat) iaitu nisbah bahan bercetak kira-kira (8 ppm) dan ia agak pantas untuk pencetak tanpa teknologi laser seperti ini.

Aturan pengisian semula dakwat juga sangat mudah kerana jenama Epson sangat terkenal dengan produk 'Ecotank' mereka dan pengguna hanya perlu membeli satu botol dakwat dan membuka ruang penyimpanan di bahagian tepi dan melakukan pengisian.

Pengguna tidak perlu lagi mengotorkan tangan untuk melakukan aturan pengisian atau menghantarnya ke kedai untuk tujuan itu, sebaliknya semua boleh dilakukan secara sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 6:30 AM