EPSON L220.
EPSON L220.
Oleh Husain Jahit


Era mesin cetak dengan hanya satu fungsi iaitu mencetak kini semakin hilang popularitinya apabila pengguna semakin bijak berbelanja untuk memilih pencetak semua dalam satu atau sekurang-kurang mesin yang boleh mencetak, menyalin dan mengimbas.

Epson sebagai syarikat pencetak terkemuka, baru-baru ini tampil dengan mesin cetak berwarna mampu milik model L220 yang mampu berfungsi sebagai pencetak, penyalin dan pengimbas.

Agak unik model ini kerana tidak lagi dibekalkan dengan katrij dakwat, sebaliknya ia hanya dilengkapi tangki dakwat yang diletakkan di sebelah kanan mesin cetak dan dakwat dibekalkan secara berasingan di dalam botol.

Pertama kali penguji melalui pengalaman mengisi sendiri dakwat ke dalam tangki kerana sebelum ini hanya pasangkan katrij dakwat ditempatnya (model pencetak lain). Mungkin ini salah satu kaedah ekonomikal kerana mudah diisi semula dengan hanya membeli dakwat dan bukannya membeli katrij yang biasanya lebih mahal.

Jika membaca manual yang disediakan, memang terdapat amaran kemungkinan berlaku tumpahan atau percikan dakwat ke baju atau terkena tangan. Oleh itu, pengguna dinasihatkan lebih berhati-hati ketika mengisi dakwat kerana jika terkena baju, ia mungkin tidak hilang walaupun dibasuh.

Sebaik selesai mengisi dakwat, penguji mula menyambungkan punca kuasa dan memasang suis utama. Terdapat tiga lagi butang pada panel kawalan bersama butang suis utama.

Disebabkan ini pertama ia dihidupkan, arahan seterusnya ialah menekan butang keempat iaitu mengecas dakwat. Penulis pun tidak begitu pasti dengan maksud mengecas dakwat, tapi ia mengambil masa agak lama dengan dua lampu berkelip-kelip tanpa henti selama hampir setengah jam.

Apabila habis proses mengecas dakwat, hanya lampu pada butang suis yang hidup. Penguji mulakan pemasangan perisian menggunakan CD yang diberi. Selesai proses itu, maka sampailah di peringkat ujian mencetak.

Jika tidak timbul sebarang masalah pada peringkat ujian itu, maka pencetak ini sudah boleh digunakan seperti biasa. Melihat kepada senarai peranti komputer, ia menjadi pencetak ‘default’ secara automatik.

Reka bentuk pencetak ini ringkas saja besar sedikit daripada kertas saiz A4 dan kecil sedikit daripada saiz A3.

Ujian mencetak monokrom teks satu muka surat hanya mengambil masa hanya 10 saat selepas butang mula pada PC ditekan. Manakala mencetak teks berwarna hanya mengambil masa 20 saat.

Ujian menyalin teks berwarna pula mengambil masa 38 saat, tapi hasilnya sedikit perbezaan berbanding yang asal manakala daripada teks warna ke monokrom cuma 17 saat. Mencetak gambar warna penuh saiz A4 di atas kertas biasa pula mengambil masa 26 saat.

Bagaimanapun, itu hanya ujian yang kami lakukan dan kelajuannya itu adalah secara rambang dan penguji kira ia sebenarnya bergantung kepada kandungan yang hendak dicetak dan kelajuan PC untuk memproses yang perlu diambil kira.

Penguji berpendapat L220 antara pencetak mampu milik yang perlu dipertimbangkan jika anda sedang tercari-cari dan terfikir-fikir untuk membeli pencetak. Murah harga, mudah dipasang dan menang memakai!

INFO

- PRODUK: Epson L220 - pencetak

- HARGA: RM549

- PENGELUAR: Epson

- PERTANYAAN: Epson Malaysia Sdn Bhd

- LAMAN WEB: www.epson.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:21 AM