CHATBOBOT PUTRI (gambar kecil) menggunakan AI bagi membantu menyalurkan maklumat kepada pengguna lebuh raya PLUS. FOTO arkib NSTP/PLUS
CHATBOBOT PUTRI (gambar kecil) menggunakan AI bagi membantu menyalurkan maklumat kepada pengguna lebuh raya PLUS. FOTO arkib NSTP/PLUS
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SYARIKAT konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperkenalkan 'PUTRI', chatbot yang akan membantu menyalurkan maklumat kepada pengguna lebuh raya.

PUTRI atau PLUS Texting Realtime Interface adalah chatbot iaitu program perisian kecerdasan buatan untuk berinteraksi dan berbual dengan pengguna.

Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi PLUS, Shamsul Izhan Abdul Majid berkata, ia chatbot pertama bagi industri lebuh raya dan diperkenalkan bagi mengendalikan maklum balas berhubung perkhidmatan lebuh raya secara digital.

Menurutnya, PUTRI berinteraksi dengan pelanggan lebuh raya melalui ciri kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (machine learning) yang dimilikinya.

"PUTRI dijangka dapat mengendalikan lebih daripada 70 peratus daripada 1,500 panggilan harian yang diterima Pusat Pemantauan Trafik PLUS (TMC).

"Menerusi PUTRI juga, petugas di TMC berupaya memberi lebih fokus terhadap panggilan kecemasan dan koordinasi bantuan dengan lebih lancar untuk membantu pelanggan yang berada dalam kesulitan di lebuh raya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, chatbot ini dapat diakses dan digunakan dengan mudah kerana memberikan respons lebih pantas dan mampu mengurangkan tempoh menunggu pelanggan lebuh raya.

Katanya, PUTRI berupaya memberikan pelbagai maklum balas berkaitan dengan perkhidmatan lebuh raya PLUS secara serentak.

"Antaranya adalah berkaitan tentang kadar tol, maklumat trafik terkini, pertanyaan mengenai PLUSMiles, produk, kemudahan, promosi dan insiden.

"Pelanggan lebuh raya kini boleh berinteraksi dengan PUTRI Versi Beta sepanjang tempoh ujian rintis ini melalui laman web PLUS (www.plus.com.my) dan portal PLUSMiles (www.plusmiles.com.my) serta aplikasi PLUS dan dijangka akan siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 11:32 AM