GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mencatatkan kadar migrasi yang menggalakkan sebanyak 10 peratus transaksi sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) selepas ia dilaksanakan pada 15 Januari 2022 di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan pada hujung minggu lalu.

PLUS dalam kenyataan hari ini mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang sudah berhijrah ke RFID sebagai pembayaran tol pilihan mereka sejak pelaksanaannya.

PLUS turut menghargai maklum balas dan pandangan orang ramai terhadap isu kesesakan yang timbul di plaza tol dan sudah mengambil tindakan penambahbaikan berdasarkan maklum balas itu.

"PLUS juga menggandakan pasukan untuk membantu pelanggan di plaza tol, serta meningkatkan keterlihatan papan tanda arah untuk meningkatkan pengenalan lorong RFID.

"Pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih untuk mengimbas tag RFID.

"Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch 'n Go yang terdekat akan disediakan," katanya.

Menurut kenyataan PLUS itu, jika tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, Touch 'n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma.

Katanya, pelanggan lebuh raya dialu-alukan untuk memberikan maklum balas melalui talian PLUSLine 1800-88-0000 dan chatbot PLUS, P.U.T.R.I melalui Aplikasi PLUS.

"PLUS berharap dengan peningkatan penghijrahan pembayaran tol menerusi RFID, yang sejajar dengan gaya hidup digital pembayaran tanpa sentuh hari ini dan e-Dompet, akan membawa pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan menyeronokkan.

"Untuk maklumat terperinci mengenai lokasi pemasangan tag Touch 'n Go RFID, pelanggan lebuh raya boleh melayari portal Touch 'n Go di http://www.touchngo.com.my atau memuat turun e-buku RFID di laman web rasmi PLUS, www.plus.com.my a dan platfom media sosial termasuk @PLUSTrafik Twitter, Facebook PLUS Malaysia serta Aplikasi PLUS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 10:59 AM