RTX 2070 Super diperkenalkan sebagai varian kad grafik yang lebih terkini. FOTO Ihsan ASUS.
RTX 2070 Super diperkenalkan sebagai varian kad grafik yang lebih terkini. FOTO Ihsan ASUS.
Muhammad Saufi Hassan


ASUS hari ini mengumumkan lapan kad grafik terbaharu susulan pengumuman global dibuat oleh pereka kad grafik, Nvidia untuk siri terkini bagi generasi RTX dikenali dengan kod nama ‘Super’.

Ia membabitkan semua produk generasi kad grafik RTX iaitu RTX 2060, RTX 2070 dan RTX 2080 Super yang menawarkan prestasi lebih baik berbanding siri sebelum ini.

ASUS menerusi tiga barisan produk utama mereka iaitu Republic of Gamers (ROG) Strix, ASUS Dual dan Turbo turut memperkenalkan kad grafik untuk siri RTX Super.

Bagi produk ASUS ROG Strix, siri RTX Super akan menampilkan teknologi penyejukan baharu yang memberikan kepuasan maksimum kepada pengguna dan peminat sukan elektronik.

ROG Strix RTX 2080 akan menggunakan teras CUDA sebanyak 3,072 dan menggunakan sistem memori video (VRAM) 8GB dengan reka bentuk memori DDR6 sama seperti siri terdahulu.

Kuasa talaan memori bagi kad ini mampu mencecah 15,500 MHz serta dipadankan dengan pemuka PCIe 3.0 termasuk lima sambungan iaitu USB jenis C, HDMI 2.0b dan DisplayPort 1.4.

ASUS masih mengekalkan sokongan perisian supaya membolehkan pengguna melakukan pengubahsuaian prestasi dengan mudah.

Bagi RTX 2060 serta RTX 2070 daripada barisan produk ROG Strix, ASUS Dual EVO dan ASUS Turbo Evo akan berada di pasaran bermula Selasa depan.

Kad grafik RTX 2080 untuk barisan ROG Strix dan ASUS Dual Evo pula dipasarkan bermula 23 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 1:22 PM