Muhammad Saufi Hassan

PENGELUAR perkakas kelas permainan terkemuka, ASUS menerusi jenama Republic of Gamers (ROG) mengumumkan barisan kad grafik baharu Nvidia GeForce siri RTX 3000 susulan pelancaran unit pemproses grafik (GPU) awal pagi semalam.

ASUS menyatakan bahawa kad grafik untuk siri RTX 3000 bagi siri ASUS TUF Gaming dan ROG Strix bakal menemui pengguna tidak lama lagi dengan semua barisan produk bermula daripada RTX 3070 hingga RTX 3090.

Bagi siri ROG Strix, kad berkenaan akan dilengkapi dengan talaan prestasi baharu mengikut penanda aras prestasi tinggi dan dilengkapi dengan inovasi sistem penyejukkan.

Ia akan dilengkapi dengan sistem penyejukan tiga kipas untuk memudahkan penyaluran udara dan sentiasa mengekalkan suhu kad pada tahap terbaik untuk prestasi tinggi.

Kipas 13 bilah berkenaan akan berfungsi untuk sistem penyejukan yang baik berbanding sebelumnya dan ia turut dilengkapi dengan FanConnect II yang membolehkan pengguna melakukan talaan prestasi sendiri.

Bahagian depan kad berkenaan dilengkapi dengan sistem lampu RGB boleh laras dan pengguna boleh melakukan pengubahsuaian menerusi perisian Armoury Crate.

Untuk siri TUF Gaming dan ASUS Dual pula memfokuskan kepada pengguna dengan tanda harga lebih mampu milik dan tetap memberikan prestasi terbaik untuk sepanjang masa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 9:54 AM