Kuala Lumpur: Samsung Electronics Co Ltd menyasarkan semua perantinya akan dilengkapi kemudahan sistem Internet-of-Things (IoT) menjelang 2017.

Menerusi kemudahan IoT, data boleh dihantar menerusi satu rangkaian tanpa memerlukan interaksi sesama manusia ataupun antara manusia dengan komputer.

Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Electronics, BK Yoon berkata, pihaknya turut menjangkakan dalam tempoh dua tahun, semua televisyen Samsung akan dilengkapi keupayaan IoT.

Malah, dalam tempoh lima tahun, semua perkakasan Samsung dilengkapi IoT, sekali gus mempercepatkan lagi penawaran peranti berasaskan IoT dalam pasaran.

“Samsung sememangnya memiliki pelbagai peranti berasaskan IoT. Tahun lalu misalnya, Samsung menyerahkan lebih 665 juta produk dan angka itu dijangkakan terus meningkat.

“Syarikat mula menawarkan kelebihan yang ada dalam peranti itu serta kemudahannya untuk kegunaan seharian serta ada di sekitar kita,” katanya ketika merasmikan Pameran Elektronik Pengguna Antarabangsa (CES) di Las Vegas, Amerika Syarikat, minggu lalu.

Acara tiga hari itu bermula semalam,

Yoon turut menekankan kepentingan bagi kalangan pemaju sistem komputer membangunkan IoT. Samsung akan melabur lebih AS$100 juta (RM350 juta) bagi komuniti pemaju sistem seumpamanya, tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:04 AM