IOT seharusnya memudahkan operasi harian.
IOT seharusnya memudahkan operasi harian.
PENGGUNAAN IoT masih menjadi teka-teki.
PENGGUNAAN IoT masih menjadi teka-teki.
PENGGUNAAN IoT meluas.
PENGGUNAAN IoT meluas.
Afiq Hanif

Dunia digital melangkah laju dalam kehidupan manusia sehingga mencetuskan persoalan sama ada manusia itu sendiri sudah bersedia menerimanya atau tidak.

Perubahan digital kini bukan lagi setakat pertukaran model telefon pintar, perluasan rangkaian telekomunikasi atau sekadar perkembangan arus media sosial yang berlegar dalam perjalanan hidup seharian seorang manusia.

Sejak Internet menguasai kehidupan manusia, penggunaan teknologi elektronik semakin berkembang membabitkan sensor elektronik, rumah pintar dan tanda atau tag yang mampu mengesan tabiat dan pergerakan pengguna.

Revolusi teknologi masa depan akan menyaksikan manusia, perkakasan elektronik, objek dan pangkalan data berhubungan dalam masa sebenar melalui Internet.

Dalam dunia masa kini, kita menuju ke era baru yang nyata dengan menyaksikan Internet akan muncul sebagai kuasa utama pelbagai penggunaan sedangkan manusia hanya menjadi minoriti.

Fiksyen sains secara perlahan menjadikan fakta sains itu ke dalam Internet of Things atau Internet untuk segalanya (IoT) berasaskan sambungan sistem rangkaian yang sentiasa wujud.

Dunia kini menghasilkan kepintaran menyaksikan objek seakan-akan hidup yang membolehkannya berkomunikasi dengan sistem rangkaian.

Namun, boleh dikatakan di Malaysia kita belum mengadaptasinya secara menyeluruh atas banyak faktor.

Perkakasan rumah yang dikawal secara jauh oleh komputer kini sudah wujud selain kereta prototaip dengan sensor mengelak kemalangan manakala telefon pintar boleh digunakan sebagai tiket kapal terbang.

Salah satu ciri IoT paling dekat pastinya gabungan mesin dan kerja rumah seperti membasuh pakaian yang mula diterokai syarikat pengeluar barangan elektrik.

Memandangkan aktiviti dobi sudah menjadi kewajipan, namun mungkin satu tugas yang membosankan bagi sesetengah orang dan boleh menjadi beban kepada jadual sibuk anda memerlukan inovasi baru melalui IoT.

Memperuntukkan masa untuk memasukkan pakaian, menunggu pusingan habis, tempoh ‘spin’ dan mengeluarkannya dari mesin basuh sebelum menggeringkannya pasti memenatkan dan kadang-kadang membuatkan kita hilang masa begitu saja.

Nasib baik sesetengah pengeluar mesin basuh seperti Samsung mencipta mesin basuh pintar yang mudah dikawal menggunakan aplikasi pada telefon pintar anda.

Ia sekali gus membolehkan pengguna untuk memulakan dan menghentikan kitaran aktiviti basuhan hanya dengan mengklik butang maya dari telefon pintar mereka.

Mesin sama membolehkan anda melaksanakan tugas lain ketika mesin mengendalikan pakaian. Mesin ini mempunyai pelbagai ciri yang membolehkannya untuk mengendalikan dobi pengguna dengan cara yang lebih baik.

Kebanyakan produk IoT hanya dipacu dengan cip kecil sebesar ibu jari tetapi memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia.

Intel misalnya menjadikan IoT sebagai salah satu cabang perniagaan yang penting memandangkan menjangkakan produk masa depan berupaya menerima gelaran pintar apabila dapat berkomunikasi, berinteraksi malah memberi maklum balas antara satu sama lain.

Dalam kebanyakan pameran elektronik antarabangsa, banyak syarikat yang bukan di kalangan industri elektronik pun sudah mula mengeluarkan produk berkaitan IoT dipacu sistem perkomputeran ‘cloud’.

Contohnya, BMW yang mempertontonkan kenderaan elektrik mereka yang dapat dikawal dari jam tangan pintar.

Google juga menjadikan IoT sasaran baru mereka. Ia dapat dilihat dengan penghasilan kereta Google yang berjaya memenangi hak cipta paten kereta tanpa pemandu sepenuhnya di Amerika Syarikat.

Kecanggihan dan keunikan kereta ini terletak pada keupayaan sistem perisian yang dibantu dengan aplikasi sambungan Internet.

Kenderaan dilengkapi pengesan laser pengimbas 360 darjah dalam radius 183 meter untuk mendapatkan pemetaan 3D sekeliling dan kemudian bergerak sendiri apabila destinasi sudah ditetapkan menerusi sistem kedudukan pengesan global (GPS) dan sistem keselamatan lain yang diaktifkan.

Radar akan mengesan kelajuan kenderaan di hadapan manakala satu unit pemprosesan berkeupayaan tinggi akan menilai aktiviti pergerakan kereta Google dan kenderaan lain.

Unit pengesan yang diletakkan pada bahagian depan setiap tayar akan memastikan pergerakan kenderaan seiring dengan maklumat aktiviti kenderaan lain serta had laju di sesuatu kawasan.

Setiap unit kenderaan Google ini akan dilengkapi perisian dan jaringan Internet berkelajuan tinggi.

Disebabkan IoT kini menjadi semakin sinonim dengan semua perkakasan pengguna masa kini yang berhubung dengan Internet, ia sekali gus mendekatkan pengguna dengan perkakasan tanpa memerlukan sentuhan fizikal.

Kemunculan peranti, perkakasan dan bandar pintar semakin banyak diperkatakan masyarakat kini dan turut digerakkan inisiatif kerajaan.

Untuk memudahkan penghasilan, penyediaan dan pelaksanaan IoT kepada masyarakat umum, satu model rujukan ‘point to point’ yang menggabungkan perhubungan dan keselamatan pada IoT perlu dibangunkan.

Berdasarkan sistem terbabit, inovasi dapat dibawa ke pasaran umum dengan lebih pantas manakala kerumitan sistem dapat dikurangkan dan menjadi semakin mudah untuk dilaksanakan berulang kali.

Sebagai contoh, syarikat hartanah Rudin Management di New York mengembangkan perkhidmatan mereka menggunakan sistem tenaga pintar pada bangunan mereka.

Dalam setahun, mereka mampu menjimatkan lebih RM3.6 juta apabila IoT membantu mereka berubah dari syarikat hartanah kepada syarikat teknologi pintar hartanah terutama berkaitan kawalan seperti penggunaan elektrik dan sebagainya.

Tetapi, sehingga kini hanya satu saja persoalan kepada masyarakat masih berlegar, adakah kita sudah bersedia dengan ledakan IoT nanti?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 1:13 PM