Yusliza Yakimir Abd Talib

Melihat kebun dapur yang diusahakan wanita ini tumbuh merimbun mungkin ramai menyangka pengalamannya begitu luas memanfaatkan tanah di persekitaran rumah dengan bercucuk tanam.

Sebaliknya, Fathiah Che Hasan, 45, mengakui baru setahun jagung mengusahakan kebun dapur miliknya atas dorongan rakan yang menghadiahkannya pokok bunga melur.

Tambahan pula, katanya, ketika cuti sekolah tahun lalu, dia yang bertugas sebagai guru terasa bosan memandangkan suaminya bekerja ketika itu.

“Kebetulan pula ada rakan baik yang mula berjinak-jinak dengan hobi menanam dan memberikan saya anak pokok bunga melur. Daripada hanya cuba-cuba, kini halaman rumah sudah penuh dengan pelbagai sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga.

“Untuk permulaan, saya membeli pelbagai jenis pokok berkayu yang ditanam dalam beg poli antaranya mangga cokanan, harum manis, oren, belimbing, ciku, longan, jambu madu dan epal bidara.

“Sudah pasti saya tertunggu-tunggu hasil buah-buahan yang ditanam dan alhamdulillah awal tahun ini, mangga cokanan, belimbing dan epal bidara berbuah sekali gus menambahkan semangat untuk berkebun,” katanya.

Menurut Fathiah, jika tahun lalu tidak banyak sayuran yang ditanam, dia mula menanamnya lebih meluas selepas hari raya lalu.

FATHIAH memanfaatkan cuti sekolah untuk mulakan hobi bercucuk tanam.
FATHIAH memanfaatkan cuti sekolah untuk mulakan hobi bercucuk tanam.

Katanya, dia turut mendapat sokongan penuh suaminya terutama jika mahu mencari atau membeli bahan untuk berkebun, mengangkat pasu dan tanah selain sering menolongnya menyiram dan membaja pokok.

Pasangan yang tinggal di Kuarters Institusi Pendidikan Kampung Pahang, Tapah, Perak ini turut berkongsi minat sama namun suaminya lebih gemar menanam dan menjaga orkid.

“Sudah pasti satu kepuasan buat saya apabila dapat masak dan makan sayur yang ditanam sendiri. Memang ada sesetengah sayuran kadang-kadang ambil masa lama sebelum boleh dituai, tapi berbaloi sebab sayur kita tanam ini tidak menggunakan racun.

“Kalau beli sayur di pasar, sesetengahnya tidak terjamin sama ada bebas racun serangga yang berbahaya, jadi ada baiknya saya menanam sendiri di rumah. Hasil tanaman pula ada yang digunakan sendiri dan saya juga berkongsi dengan jiran tetangga dan keluarga.

“Lagipun, saya hendak manfaatkan tanah sekangkang kera yang ada ini. Seronok tanam sayur, rasanya lebih segar. Macam kubis yang saya tanam di sini lebih manis rasanya,” katanya.

ANTARA sayuran yang tumbuh subur di kebun dapurnya.
ANTARA sayuran yang tumbuh subur di kebun dapurnya.

Fathiah turut mengakui lebih jimat selepas menanam sendiri sayuran kerana cili umpamanya dijual agak mahal, tapi kini dapat dipetik sendiri bila-bila masa jika memerlukannya.

Katanya, dia dan suami menyukai masakan pedas serta cili menjadi keutamaan dalam hidangan mereka sekeluarga. Oleh itu, dia tidak perlu risau jika harga cili di pasaran melambung kerana bahan masakan itu boleh dipetik di laman sendiri.

Selain itu dia turut menyertai kumpulan menanam di laman sosial untuk berkongsi pengalaman dan maklumat antaranya Group Kebun Bandar dan Kebun Kampung Tanam Sendiri.

Baginya, menyertai kumpulan itu memberi banyak manfaat buatnya kerana sentiasa dibantu mereka lebih berpengalaman termasuk mendapatkan petua dan tip berkebun malah dia turut membeli benih pokok daripada ahli kumpulan yang menjualnya.

HASIL tuaian seperti kacang panjang dan kucai dimasak dan ada juga diberi kepada jiran.
HASIL tuaian seperti kacang panjang dan kucai dimasak dan ada juga diberi kepada jiran.

Menariknya, minat menanam turut dipanjangkan ke sekolah tempatnya mengajar untuk menjadikan aktiviti berkebun bersama pelajar sebagai program sivik.

“Memandangkan pelajar sudah tamat peperiksaan, ada baiknya aktiviti ini dapat dilakukan di sekolah bagi mengisi masa mereka dengan perkara yang bermanfaat.

“Mulanya saya cuba tanam empat pokok kubis dan berhasil. Selepas berbincang dengan guru dan pihak pentadbiran, kami cuba tanam di sekolah pula.

“Saya sudah semai kira-kira 60 pokok kubis untuk dibawa ke sekolah dan dialihkan ke dalam pasu. Pasti menarik kerana ia akan dibuat bersama pelajar yang mungkin pertama kali dalam hidup mereka melakukan aktiviti ini,” katanya.

BUNGA ros Jepun turut menghiasi halaman rumah.
BUNGA ros Jepun turut menghiasi halaman rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 9:01 AM