Intan Mas Ayu Shahimi

Semalam sudah ke klinik untuk melakukan imbasan (ultrabunyi) 3D, tapi tak nampak muka bayi dalam kandungan. Mungkin tersalah pilih klinik atau bayi memang tidak mahu ‘tunjuk muka’. Boleh jadi juga ibu yang terlebih makan, sebab itu bayi terlalu selesa.

Kerap kali keluhan sebegini didengar dalam kalangan bakal ibu dan mereka yang sudah berpengalaman melahirkan anak. Ada waktunya terselit banyak telahan tidak masuk akal disusuli kebimbangan mengenai itu dan ini.

Lazimnya, naluri ingin tahu ibu bapa memang tinggi, terutama ketika melalui tempoh kehamilan anak sulung. Boleh jadi, debaran dirasa berganda hebatnya jika pasangan berkenaan sedang menanti zuriat terakhir sebelum ‘bersara’ terus dari hamil.

Sudah lumrah manusia, setiap orang mempunyai sebab dan penjelasan tersendiri mengapa mereka beria-ia mahu melakukan imbasan 3D. Apa yang pasti, masing-masing cuba mendapatkan rakaman imej janin terbaik buat simpanan hari tua. Cuma mungkin hasilnya tidak sama, bergantung kepada ‘kerjasama’ bayi dan faktor lain yang mengehadkan imej dirakam.

Menurut Pakar Sonografer Klinik As-Salam Bangi, Nur Marni Ahmad, ketika ini masih ramai ibu masih tidak faham mengenai faktor limitasi ketika melakukan imbasan ultrabunyi 3D (tiga dimensi) atau 4D (empat dimensi).

“Sepanjang kerjaya saya, memang ramai ibu bapa menganggap prosedur imbasan 3D dan 4D semudah mengambil gambar dengan kamera telefon. Dalam kebanyakan situasi, ibu bapa gembira jika prosedur berkenaan berjalan lancar. Banyak imej dapat dirakam dan semuanya cantik-cantik belaka. Namun, ada juga yang tidak puas hati kerana mendapat hasil imej tidak jelas dan sedikit.

“Sebenarnya, jika ibu datang melakukan imbasan janin ketika usia kandungannya dalam tempoh ideal, mereka boleh mendapat hasil yang memuaskan dan cantik. Tetapi jika keadaan tidak sesuai, imej yang terhasil kurang berkualiti, walaupun peralatan dan teknik digunakan adalah sama,” katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa faktor yang boleh menjejaskan kualiti imej 3D dan 4D. Apa kata cuba teliti semula dan lihat betapa doktor atau sonografer berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan imej terbaik buat simpanan anda!

• Bayi dalam posisi meniarap atau mengiring

Ingat ya, doktor atau sonografer hanya boleh melakukan prosedur imbasan di atas dan sebahagian tepi perut. Sekiranya muka bayi menghadap tulang belakang ibu, imej yang boleh diperoleh hanya bahagian belakang atau tepi bayi.

Biasanya, sonografer akan meminta ibu mengiring untuk menggalakkan bayi berpusing. Sekiranya tidak berjaya, ibu akan diminta berjalan-jalan dalam tempoh 15 hingga 30 minit.

• Ada struktur lain di hadapan muka bayi

Jika difikir secara rasional, sebenarnya perut ibu hamil bukan saja mengandungi janin. Jadi, tidak mustahil kelihatan struktur lain di hadapan muka bayi. Antara yang kerap berlaku dan menghalang muka bayi ketika prosedur dijalankan termasuk tangan, kaki dan tali pusat. Situasi mungkin bertambah sukar jika wajah dilindungi plasenta. Bagi mengatasi keadaan ini, biasanya sonografer atau doktor akan mengambil langkah sama untuk menggalakkan bayi bertukar posisi.

• Saiz bayi yang masih kecil

Hal ini kerap disebut kebanyakan doktor dan sonografer. Saiz kandungan, besar atau kecil, boleh mempengaruhi hasil imbasan 3D dan 4D. Bahkan jika anda menghubungi klinik untuk membuat temu janji, salah satu soalan yang pasti ditanya adalah berapa umur kandungan.

Imbasan ultrabunyi 3D 4D boleh dilakukan seawal 16 minggu usia hamil. Tetapi, waktu paling ideal adalah antara 26 hingga 33 minggu. Mengapa? Supaya imej yang terhasil lebih menyerupai bayi sebenar.

Sebelum bayi mencecah usia 26 minggu, anggaran beratnya kurang daripada 700 gram. Bayi masih kelihatan kurus dan wajahnya cengkung. Menghampiri usia 28 minggu, anggaran berat bayi sudah meningkat satu kilogram (kg). Pada waktu ini, bayi kelihatan lebih berisi dengan muka yang lebih montel. Lebih banyak ekspresi wajah bayi dapat direkodkan.

Bagaimanapun, apa pula yang terjadi selepas 33 minggu? Pasti bayi semakin berisi dan montel. Hal ini memang benar. Tetapi, kebanyakan kandungan yang melepasi usia 33 minggu lebih sukar untuk diimbas. Ini kerana keadaan dalam rahim sudah menjadi semakin sempit. Ruang yang sempit ini mengehadkan doktor dan sonografer untuk mendapatkan sudut pengimejan sempurna.

IBU hamil perlu tahu faktor limitasi ultrabunyi.
IBU hamil perlu tahu faktor limitasi ultrabunyi.

Cabaran imbasan 3D, 4D

Kata Nur Marni, biarpun tiga faktor ini menjadikan prosedur imbasan ultrabunyi 3D dan 4D lebih mencabar, biasanya ia dapat diatasi dengan baik, asalkan ibu mampu bertenang dan bersabar. Kerjasama baik ini perlu dikekalkan sepanjang prosedur pengimejan berlangsung iaitu antara 15 minit hingga satu jam.

Selain faktor diatas, ada dua lagi yang agak sensitif tetapi perlu difahami supaya prosedur imbasan tidak mengecewakan. Kedua-dua faktor ini juga sukar untuk diubah. Jadi sudah tentu perjalanannya lebih mencabar.

“Secara amnya, imbasan ultrabunyi 3D dan 4D mudah dilakukan bagi wanita yang mempunyai julat berat badan di antara 45 sehingga 70 kg. Keadaan menjadi sedikit mencabar sekiranya anggaran berat ibu mencecah antara 70 hingga 90 kg, dan sukar bagi kes dengan berat ibu lebih 90kg.

“Perlu diketahui imbasan ultrabunyi terhasil daripada tenaga bunyi yang dibebaskan oleh transducer yang mempunyai kekuatan tenaga tertentu. Gelombang bunyi ini akan menembusi lapisan kulit, lemak dan air ketuban sebelum tiba di kulit bayi.

“Sebaik mengenai permukaan kulit bayi, tenaga bunyi akan dipantul semula ke arah transducer. Signal pantulan bunyi inilah yang diproses untuk membentuk imej. Sepanjang proses ini, sebahagian tenaga bunyi hilang kekuatannya. Semakin banyak tenaga yang hilang, semakin kurang kualiti imej,” katanya.

Ini bermakna, bagi seseorang yang mempunyai berat badan di bawah 70kg, kehilangan tenaga adalah sedikit kerana lapisan abdomen yang tidak begitu tebal. Bagaimanapun, semakin tebal lapisan abdomen dan lemak di antara transducer dan bayi, semakin banyak kehilangan tenaga berlaku. Secara tak langsung, kualiti imej menjadi kurang baik.

“Faktor kedua yang menjadikan imbasan ultrabunyi kian mencabar adalah kuantiti air ketuban. Lazimnya ibu mahu menjalani prosedur imbasan 3D dan 4D untuk melihat wajah bayi. Tetapi, prinsip asas air ketuban adalah, ia perlu ada dalam kuantiti mencukupi di hadapan muka bayi.

“Signal ultrabunyi yang sampai ke transducer hanya boleh membezakan struktur berlainan sekiranya terdapat air ketuban di antara dua struktur berbeza. Sebagai contoh, sekiranya muka bayi terletak pada kedudukan yang sangat hampir dengan dinding rahim, maka imbasan mentafsir keduanya sebagai signal yang sama.

“Jadi, imej yang terhasil di skrin adalah gabungan imej dinding rahim dan muka bayi yang tidak jelas. Keadaan ini banyak berlaku kepada wanita yang diketahui mempunyai air ketuban sedikit.

“Oleh itu, sekiranya bakal ibu memiliki satu atau kedua-dua faktor di atas, dia masih boleh mencuba untuk melakukan imbasan ultrabunyi 3D dan 4D. Apa yang penting, mereka harus pandai mencari pakej yang sesuai. Sesetengah tempat memberi peluang untuk pelanggan untuk datang sekali lagi sekiranya sesi yang pertama gagal menghasilkan sebarang imej berkualiti. Ada juga yang memberi perkhidmatan percuma sekiranya imej 3D dan 4D tidak dapat dihasilkan,” katanya.

Tip penting

Sesi imbasan ultrabunyi ini selalunya menjadi antara saat terpenting ibu bapa sementara menanti kelahiran permata hati. Mungkin inilah kali pertama ibu bapa, datuk, nenek dan ahli keluarga lain (yang bakal berada di dalam bilik pemeriksaan) dapat melihat wajah serta kelakuan bayi ketika dalam kandungan.

Jadi, tidak salah jika ibu bapa mendapatkan tip dan panduan yang boleh membantu mereka untuk mendapatkan imej terbaik sepanjang prosedur berlangsung. Jelas Nur Marni, secara saintifiknya tidak ada satu pun tip yang paling ideal untuk menjamin ibu bapa mendapat gambar yang sempurna.

“Tip ini saya bahagikan kepada tiga iaitu sebelum sesi imbasan 3D dan 4D, semasa menghadiri sesi imbasan dan faktor keselamatan imbasan. Catat dan beri perhatian untuk pengalaman imbasan ultrabunyi yang lebih memuaskan!

IMEJ imbasan ultra unyi dalam format 3D diambil dalam format HD. FOTO Ihsan Klinik As Salam
IMEJ imbasan ultra unyi dalam format 3D diambil dalam format HD. FOTO Ihsan Klinik As Salam

Sebelum sesi imbasan 3D 4D

Cuba tanya rakan atau kenalan mengenai klinik yang menawarkan servis lima bintang dan pengalaman mereka menjalani sesi imbasan. Buat juga carian di Internet. Ini boleh dilakukan seawal 18 minggu usia kehamilan. Ambil tahu sekurang-kurangnya beberapa perkara ini:

• Adakah mereka selesa dengan layanan keseluruhan?

• Adakah tempoh menunggu temu janji dan tempoh menunggu pemeriksaan munasabah?

• Adakah mereka gembira dengan tempoh pemeriksaan?

• Adakah mereka mendapat jumlah rakaman imej atau video yang memuaskan?

• Jika tidak adakah mereka diberi penerangan secukupnya?

Ketahui juga mengenai polisi klinik atau hospital sekiranya gagal mendapatkan imej atau video atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

• Dapatkan temu janji pada waktu terbaik

Biasanya anda digalakkan membuat prosedur imbasan 3D dan 4D kali pertama selepas usia kandungan 26 minggu kerana waktu ini muka bayi sedikit montel dan nampak comel. Jadi, hubungi klinik atau hospital lebih awal. Jangkakan tempoh menunggu temujanji antara dua hingga empat minggu.

Sekiranya sesi pertama tidak memberi hasil yang memuaskan, ada juga klinik atau hospital yang memberi temujanji kedua secara percuma atau separa bayaran. Jadi, sonografer atau doktor dapat mencadangkan waktu yang lebih sesuai berdasarkan keadaan dalam bayi dalam rahim.

• Fahami waktu jaga dan tidur bayi

Cuba catatkan pukul berapakah bayi anda selalunya aktif dan tidur dan usahakan temujanji pada tempoh masa berkenaan. Sesi imbasan menjadi lebih menarik jika dilakukan ketika bayi aktif. Anda boleh melihat ekspresi muka dan banyak pergerakan tangan dan jari.

Tidak salah melakukan imbasan ketika bayi tidur, asalkan mukanya boleh diakses oleh transducer. Keadaan mungkin sukar jika bayi meniarap atau menutup muka. Tambahan bayi yang tidur lena kurang memberi tindak balas kepada galakan luaran daripada sonografer atau doktor yang cuba membuatkan bayi anda bertukar posisi.

• Banyakkan minum air

Minum air kosong dua minggu sebelum hadir menjalani prosedur imbasan 3D dan 4D. Air yang cukup penting untuk mengekalkan hidrasi setiap sel tubuh ibu termasuk plasenta.

Plasenta yang terhidrat dan sihat dapat menghasilkan air ketuban yang mencukupi. Ia penting untuk pembentukan imej yang jelas. Untuk itu, anda disarankan minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong setiap hari dan lebih banyak beberapa hari sebelum temujanji.

• Tingkatkan pengambilan gula sejam sebelum temujanji

Sebaiknya makan makanan yang mengandungi gula semula jadi yang tinggi seperti pisang, kurma, delima, buah tin atau ceri. Ini untuk cuba mengelakkan bayi tidak tidur sewaktu pemeriksaan.

BAWA pasangan untuk nikmati saat manis melihat wajah si kecil.
BAWA pasangan untuk nikmati saat manis melihat wajah si kecil.

Semasa sesi imbasan 3D dan 4D

• Pakai pakaian longgar dan selesa

Selain berbaring telentang, kerap juga anda akan diminta mengiring. Baju dan kain atau seluar adalah lebih selesa untuk sering bertukar posisi berbanding blaus ketat atau labuh. Tudung pula biarlah yang ringkas.

• Rehat seketika daripada pemeriksaan

Sekiranya muka bayi tidak dapat diakses untuk beberapa ketika, anda mungkin akan diminta berjalan sekejap untuk menggalakkan bayi bertukar posisi. Tempoh rehat ini biasanya antara 15 hingga 30 minit.

Pada waktu ini anda harus berjalan dan hanya duduk beberapa ketika jika penat. Anda juga boleh minum jus buah atau makan sedikit coklat sebagai galakan kepada bayi untuk aktif.

• Bertenang dan nikmati sesi imbasan

Tiada siapa tahu sama ada prosedur yang anda jalani pada hari itu dapat menghasilkan imej atau video yang diharapkan. Jadi, cubalah bertenang dan jangan terburu-buru.

Ada pendapat mengatakan bayi boleh merasakan jika ibu berada dalam keadaan tertekan. Mereka akan jadi lebih pasif dan kurang bergerak. Walaupun biasanya ia mengambil masa antara 15 hingga 30 minit, sekiranya bayi tidak memberi kerjasama dan anda harus berehat dan berjalan, ia mungkin boleh mengambil masa sehingga lebih satu jam setengah.

Selepas prosedur imbasan dilakukan, biasanya anda akan diberi sekurang-kurangnya sekeping gambar berwarna dan DVD yang mengandungi rakaman imej dan video. Ini bergantung kepada polisi klinik. Ada klinik hanya merekodkan beberapa imej dan video kerana had masa dan sebagainya.

Ada juga tempat yang bermurah hati memberikan anda sehingga 30 rakaman imej dan video di dalam DVD berkenaan. tersebut. Bagaimanapun, keterujaan menghadiri sendiri prosedur imbasan ini tidak akan sama dengan menonton rakaman video. Jadi, pastikan anda membawa pasangan untuk menemani anda menikmati momen ini.

Faktor keselamatan imbasan ultrabunyi

Penggunaan ultrabunyi selain bagi tujuan perubatan (contohnya semata-mata untuk merakamkan imej sagu hati) adalah tidak digalakkan atas prinsip mengekalkan pendedahan pada aras serendah munasabah dicapai (as low as reasonably achievable, ALARA).

Begitupun, sepanjang 40 tahun diagnostik ultrabunyi digunakan terhadap kandungan, tiada sebarang kejadian yang memudaratkan bayi dilapor atau direkodkan. Secara teorinya, ultrabunyi membabitkan pendedahan kepada tenaga bunyi dan haba yang mungkin berpotensi mencetuskan kesan biologi. Oleh itu, penggunaan ultrabunyi yang tidak terkawal tanpa faedah perubatan harus dielakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 3:11 PM