DAPATKAN nasihat doktor untuk membuat keputusan tepat.
DAPATKAN nasihat doktor untuk membuat keputusan tepat.
Siti Nadirah Hafidzin

Bayi saya songsang? Apa perlu saya lakukan? Mengapa keadaan ini terjadi? Ini antara persoalan paling kerap diajukan si ibu sebaik saja mengetahui anak yang dikandung berada dalam posisi songsang.

Pastinya ibu mahupun si bapa mula berasa panik, ada yang tidak senang duduk malah ada yang menangis apabila mengetahui perkara itu selepas melakukan imbasan ultra bunyi ketika pemeriksaan kandungan.

Menurut Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, pasangan suami isteri yang mengetahui mengenai perkara itu dinasihatkan untuk tidak terlalu bimbang terutama apabila kandungan masih pada peringkat awal.

“Janin akan berpusing kepada kedudukan normal iaitu bahagian kepalanya di bawah apabila tiba waktunya kerana kajian kesihatan mendapati hanya tiga hingga empat peratus saja bayi akan terus berkedudukan songsang pada usia kandungan matang iaitu cukup 37 minggu.

“Ia bermaksud di dalam 100 kehamilan hanya tiga atau empat bayi saja yang mempunyai masalah untuk berpusing sendiri dan memastikan kepalanya berada di bawah,” katanya.

Justeru itu, Dr Muhammad Izzat berkata, bakal ibu dan bapa dinasihatkan supaya tidak terlalu susah hati kerana kehamilan songsang pada peringkat awal kehamilan memang kerap berlaku dan peratusan ini akan menurun sehinggalah cukup tempoh matang kehamilan.

Jenis kehamilan songsang

Kehamilan songsang boleh di bahagikan kepada beberapa kategori mengikut posisi kaki janin.

• Songsang rentang (extended): Kedua-dua kaki lurus dengan buku lali kaki berada di sebelah kepala bayi. Jika doktor membuat pemeriksaan jalan kelahiran dari bawah (pemeriksaan vagina), mereka akan dapat merasakan punggung bayi. Keadaan ini paling biasa berlaku iaitu kira-kira 70 peratus. Kadang kala ibu dibenarkan bersalin secara normal bagi kedudukan ini.

• Songsang fleksi: Kedua-dua kaki terlipat pada lutut dan apabila diperiksa dari bawah doktor dapat merasakan kedua-dua buku lali kaki dan punggung bayi. Kekerapan jenis ini cuma dalam 15 peratus saja.

• Songsang ‘footling’: Apabila satu kaki terlipat pada lutut dan satu kaki lagi lurus atau kedua-dua kaki lurus ke bawah. Melalui pemeriksaan dari bawah terdapatnya pergelangan kaki di pintu rahim. Jenis ini terjadi cuma 15 peratus saja.

Selalunya kedudukan bayi seperti ini memerlukan kaedah kelahiran secara pembedahan kerana dikhuatiri tali pusat akan turun ke bawah bersama air ketuban. Ini dipanggil prolaps tali pusat dan keadaan ini sangat berbahaya kerana boleh mengancam nyawa bayi.

KEHAMILAN songsang membimbangkan pasangan suami isteri.
KEHAMILAN songsang membimbangkan pasangan suami isteri.

Penyebab kehamilan songsang

Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan kehamilan songsang antaranya:

• Bayi pramatang atau tidak cukup bulan. Ini antara faktor paling lazim dan biasanya bayi akan berpusing ke kedudukan normal apabila sampai waktunya.

• Sejarah kandungan songsang pada kehamilan terdahulu.

• Masalah pada rahim seperti fibroid ataupun terdapat pembahagian dinding rahim yang menghalang bayi daripada berpusing.

• Uri berada di bawah ataupun previa plasenta major yang menutupi pintu rahim dan menghalang kepala bayi daripada masuk ke ruang pelvis dan menyebabkan bayi berpusing pada kedudukan songsang.

• Masalah pada bayi, masalah pada pembentukan kepala bayi (anensefalus)

• Kehamilan kembar atau lebih daripada dua.

• Keadaan air ketuban yang terlalu banyak (polihidramnnios) - bayi mempunyai banyak ruang untuk bergerak dan berpusing. Air ketuban yang terlalu sikit juga menyumbang kepada keadaan bayi songsang.

• Sudah mempunyai kehamilan yang banyak (multipara) - otot dinding rahim menjadi elastik, memberikan banyak ruang pada bayi untuk bergerak dan berpusing.

Membetulkan kehamilan songsang

Menurut Dr Muhammad Izzat, pada zaman dulu, proses membetulkan kepala bayi selalunya dilakukan bidan kampung. Namun, pada masa kini, prosedur External Cephalic Version (ECV) bukan lagi dilakukan mak bidan, tetapi oleh doktor perbidanan terlatih di bawah pengawasan imbasan ultra bunyi, kardiotokogram (CTG) dan kemudahan dewan bedah untuk melakukan pembedahan sekiranya berlaku kecemasan.

“ECV dilakukan pada usia kandungan 36 minggu bagi kehamilan pertama dan 37 minggu untuk kandungan kedua dan berikutnya. Jika ECV dilakukan lebih awal daripada tempoh itu, bayi mungkin kembali menjadi songsang dan jika melewati 37 minggu pula, ia lebih berisiko untuk dilakukan kerana air ketuban mulai berkurangan.

“Usia kehamilan 36 hingga 37 minggu dipilih untuk ECV kerana jika berlakunya komplikasi akibat daripada ECV, pembedahan boleh terus dilakukan tanpa ragu-ragu kerana bayi sudah mencapai tempoh matang,” katanya.

DR Muhammad Izzat.
DR Muhammad Izzat.

Menurutnya, kejayaan pemusingan bayi songsang melalui teknik ECV ini adalah tinggi iaitu di dalam lingkungan 50 peratus. Namun demikian, lima peratus melaporkan ECV turut memberikan sedikit kesakitan kepada si ibu.

“Bagaimanapun, tidak semua kehamilan songsang sesuai untuk menjalani prosedur ECV. Apa yang penting adalah pemeriksaan rapi dan doktor akan menentukan keputusan terbaik untuk keselamatan si ibu juga bayi,” ujarnya.

Faktor tidak dibolehkan menjalani prosedur ECV

• Keadaan di mana pembedahan perlu dilakukan.

• Pendarahan ketika mengandung dalam lingkungan tujuh hari sebelum prosedur

• Degupan jantung anak yang tidak normal

• Kecacatan rahim

• Air ketuban sudah pecah

• Kandungan kembar (kecuali untuk kembar kedua).

Tambah Dr Muhammad Izzat, sekiranya ECV tidak berjaya memusingkan bayi anda, cara kelahiran akan dibincangkan sekali lagi, sama ada melahirkan bayi songsang secara normal atau melalui pembedahan.

“Berbincanglah dengan doktor anda kerana ia langkah terbaik dan doktor akan memberikan penerangan yang jelas dan mencadangkan kaedah selamat untuk membantu pesakit dalam membuat keputusan.

“Apa yang paling penting, dapatkan nasihat daripada mereka yang bertauliah saja. Jangan sesekali memberanikan diri dengan mendapatkan nasihat daripada individu tidak terlatih dan bukan doktor walaupun mereka mendakwa ada banyak pengalaman membantu kelahiran,” katanya.

Petua untuk ibu hamil songsang

Ada beberapa petua yang turunkan orang tua dulu-dulu untuk mengatasi masalah kehamilan songsang. Bagaimanapun diingatkan, ini hanyalah petua untuk dicuba dan anda masih perlu mendapatkan pemeriksaan serta nasihat pakar perubatan.

• Ibu digalakkan untuk banyak berada dalam posisi merangkak, berada di bawah posisi graviti dipercayai mampu membantu ‘menarik’ kepala bayi ke bawah. Tidak salah untuk mencuba, namun perlu dilakukan secara berhati-hati.

• Banyakkan bercakap kepada bayi dan rakamkan suara anda, pasangkan rakaman itu di bahagian tulang pubik bagi memastikan bayi cuba bergerak ke arah laluan keluar.

• Kerap berendam di kolam renang bagi tujuan menggalakkan bayi berpusing ke arah bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 7:01 AM