BOLEH dilakukan di rumah, pusat kecergasan diiringi muzik digemari.
BOLEH dilakukan di rumah, pusat kecergasan diiringi muzik digemari.
Siti Nadirah Hafidzin

Memilih jenis senaman yang digemari selain sesuai dengan diri bukan saja membantu mencapai tahap kesihatan diimpikan, malah pada masa sama menimbulkan kegembiraan dan semangat bersenam.

Gabungan senaman dengan langkah tarian pasti memberikan impak berbeza dan aura luar biasa kerana ia bukan saja memberi fokus kepada aspek senaman semata-mata, malah menghiburkan kerana ia diselangi gerak tarian.

Dalam usaha memperbaiki tahap kesihatan dan mendapatkan bentuk badan diidamkan, senaman yang diselangi tarian juga menawarkan satu lagi manfaat - ia mampu membantu menghilangkan tekanan kerana biasanya sesi ini berlangsung dalam suasana menyeronokkan apatah lagi diiringi dengan irama muzik yang sesuai.

Kala cuba meniru gerak tarian yang ditunjukkan jurulatih, pasti ada langkah yang tersasar. Jurulatih kata angkat kaki kiri, kita pula angkat kaki kanan hingga langkah jadi huru-hara dan akhirnya membuatkan ramai ketawa atau setidak-tidaknya tersenyum dengan kesilapan sendiri.

Sebenarnya inilah keseronokan yang dirasai apabila bersenam beramai-ramai apatah lagi jika dilakukan bersama ahli keluarga. Kurang sikit rasa malu berbanding jika bersenam khususnya mengikuti langkah senam tari bersendirian. Ia juga secara tidak langsung akan menaikkan semangat untuk terus kekal cergas.

Menurut jurulatih kecergasan bertauliah Nurina Mohamad, senaman jenis ini sesuai untuk semua golongan dan usia bermula daripada seawal usia kanak-kanak hinggalah warga emas.

“Selain mampu menurunkan berat badan dengan melakukan langkah mudah tarian, senaman ini juga berfungsi untuk menghilangkan tekanan dengan cara bersantai tanpa ada perasaan terpaksa untuk melakukannya.

“Senaman jenis ini boleh dilakukan mengikut pilihan langkah masing-masing, dengan tunjuk ajar dan latihan berterusan pasti ia akan menjadi antara jenis senaman kegemaran semua terutama bagi golongan wanita,” katanya.

Menurut Nurina, senaman dapat memberikan impak luar biasa kerana lenggok dan gerakan senaman yang dilakukan seperti langkah menari yang banyak menggunakan pergerakan.

“Setiap langkah tersusun rapi dengan iringan irama muzik yang membantu individu mengekalkan stamina selain kekal remaja.

“Senyuman yang terukir di bibir ketika melakukan setiap langkah senaman ini berfungsi untuk menghilangkan tekanan terutama kepada wanita yang sering mengalami tekanan di rumah mahupun di pejabat,” ujarnya.

Nurina berkongsi langkah senaman tarian yang boleh dilakukan sesiapa saja di rumah mahupun di pusat kecergasan dengan diiringi muzik digemari.

1. ANGKAT kaki secara berselang-seli mengikut kerancakan muzik.
1. ANGKAT kaki secara berselang-seli mengikut kerancakan muzik.

2. LAKUKAN squad dalam kiraan lima.
2. LAKUKAN squad dalam kiraan lima.

3. MELOMPAT sambil memusingkan badan.
3. MELOMPAT sambil memusingkan badan.

4. MENGANGKAT kaki secara berselang-seli.
4. MENGANGKAT kaki secara berselang-seli.

5. MELOMPAT setempat sambil menghayun badan.
5. MELOMPAT setempat sambil menghayun badan.

6. DALAM posisi duduk, pusing badan ke kanan dan kiri.
6. DALAM posisi duduk, pusing badan ke kanan dan kiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 1:38 PM