PEKA dengan kekejangan yang dialami ketika hamil.
PEKA dengan kekejangan yang dialami ketika hamil.
Siti Nadirah Hafidzin

Lain kehamilan lain dugaannya, mungkin ada di antara wanita yang melalui saat kehamilan dengan begitu indah tanpa sebarang masalah atau komplikasi, namun ada juga yang sebaliknya.

Antara masalah yang sering kali dialami wanita hamil adalah kekejangan atau kesakitan di perut yang menimbulkan kebimbangan terutama sekiranya ia adalah pengalaman pertama.

Mengupas mengenai masalah ini, Perunding Fertiliti dan Sakit Puan Metro IVF Dr Prakash Mayandi berkata, kekejangan perut ketika hamil tanpa mengalami simptom lain adalah normal dan tidak perlu dibimbangkan.

Menurutnya, membawa bayi dalam kandungan memberi banyak tekanan ke atas otot, sendi dan urat.

“Maka tidak hairanlah jika anda berasa tidak selesa di bahagian perut, namun seperti yang saya ingatkan, kekejangan ini adalah perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan. Ia adalah kekejangan yang tidak membabitkan kesakitan lain.

“Sepanjang kehamilan, tisu kental dan fleksibel (ligamen) yang menyambungkan tulang akan meregang untuk menyokong pembesaran uterus (rahim). Oleh itu, apabila anda bergerak, anda mungkin berasa sakit pada sebelah atau kedua-dua belah badan,” katanya.

Tambahnya, apabila bayi semakin membesar, uterus lebih terdorong untuk sedikit condong ke kanan dan ligamen di bahagian itu mungkin tertarik atau menegang yang menyebabkan berasa sakit lebih kerap pada bahagian kanan perut.

Langkah legakan kekejangan

Menurutnya, langkah terbaik adalah dengan berehat seketika apabila sedang mengalami kesakitan.

“Berehat itu dengan cara cuba duduk dan bertenang dalam satu tempoh atau baring mengiring ke bahagian bertentangan dengan kesakitan berlaku serta tinggikan kaki anda. Jika kesakitan berlaku pada sebelah kanan, baringlah mengiring di sebelah kiri dan sebaliknya.

“Anda juga disarankan mandi dengan air suam atau tuam pada bahagian yang sakit menggunakan botol air suam. Paling penting anda perlu bertenang menghadapi keadaan ini. Rasa cemas hanya menyebabkan keresahan anda berpanjangan,” katanya.

Dr Prakash berkata, kadang kala, wanita hamil juga boleh mengalami kekejangan dan sakit belakang ketika sedang melakukan hubungan intim bersama suami.

“Saat itu boleh menyebabkan denyutan berombak dalam faraj sehingga ke uterus dan ini boleh menyebabkan anda berasa kekejangan perut.

“Anda boleh mengurangkan kemungkinan berlakunya kekejangan ini secara melakukan hubungan intim dengan lembut dan perlahan. Minta suami urut belakang badan dan pinggang anda dengan lembut bagi mengurangkan rasa kekejangan,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya kekejangan atau kesakitan tidak berkurangan, langkah terbaik adalah segera bertemu doktor bagi memastikan tidak ada berlaku perkara tidak diingini.

“Doktor boleh memastikan sama ada kesakitan itu adalah kesakitan biasa atau sebaliknya. Perlu diingat supaya segera bertemu doktor atau pergi ke hospital sekiranya kekejangan tidak hilang selepas beberapa minit berehat atau disertai dengan sakit dan pedih ketika buang air kecil.

“Antara ciri lain yang tidak boleh diambil mudah adalah keluar cecair daripada faraj yang tidak normal, pendarahan atau tompokan darah, lebam, muntah, demam dan rasa seram sejuk,” katanya.

Risiko kekejangan berterusan

Walaupun kekejangan pada bahagian perut wanita hamil perkara biasa, tetapi jika berlanjutan ia mungkin mendedahkan anda kepada beberapa risiko seperti:

Keguguran awal

Keguguran awal biasa berlaku. Ia biasa terjadi kerana bayi tidak berkembang secara sepatutnya. Anda akan mengalami kekejangan, pendarahan dan kesakitan di tengah bahagian bawah perut bila-bila masa sehingga minggu ke-12 kehamilan.

Jika anda mengalami pendarahan yang teruk sehingga terpaksa menggunakan lebih daripada satu tuala wanita dalam satu jam, terus pergi ke bahagian kemalangan dan kecemasan di hospital berdekatan.

Kehamilan luar rahim

Kehamilan luar rahim atau ektopik adalah kehamilan yang berkembang di luar uterus (rahim). Malang sekali, kehamilan seperti ini tidak dapat diselamatkan dan ia adalah satu masalah yang serius, anda perlu mendapatkan rawatan segera.

Anda akan rasa kejang dan sakit yang biasanya bermula pada sebelah bahagian perut dan merebak ke seluruh bahagian perut. Anda juga mungkin mengalami pendarahan yang cair dan berwarna gelap. Ia biasanya berlaku di antara minggu kelima hingga ke-10 kehamilan. Hubungi doktor atau pergi terus ke bahagian kecemasan di hospital berhampiran kerana kehamilan di luar rahim memerlukan rawatan segera.

Keguguran lewat

Sakit perut yang tidak disertai simptom lain dalam trimester kedua mungkin tidak perlu dibimbangkan. Namun jika ia disertai dengan pendarahan, ada kemungkinan kecil ia adalah tanda anda mengalami keguguran lewat.

Keguguran lewat sangat jarang berlaku berbanding keguguran awal. Hanya kira-kira satu dalam 100 keguguran berlaku pada lewat kehamilan. Jika anda mengalami keguguran lewat, anda akan berasa kejang disertai pendarahan teruk selepas 12 minggu dan sebelum 24 minggu kehamilan.

Menghampiri saat kehamilan

Sekiranya anda mengalami rasa kekejangan perut ketika trimester ketiga bermakna anda kemungkinan sudah hampir untuk melalui proses kelahiran. Kejang perut mungkin bermakna badan anda mula bersiap sedia menghadapi proses kelahiran, perkara utama yang perlu dibimbangkan ialah kelahiran pramatang.

Jika kelahiran pramatang berlaku, anda rasa sakit di bahagian pelvis atau bahagian bawah perut, sakit belakang, kejang perut dan cirit-birit. Anda mungkin rasa ketuban anda pecah, disertai kontraksi yang kerap ataupun uterus anda terasa mengetat, namun biasanya tidak menyakitkan. Ini boleh berlaku pada bila-bila masa di antara minggu ke-24 dan minggu ke-37 kehamilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 1:15 PM