MENGURUT dalam kalangan wanita hamil boleh memberi ketanangan.
MENGURUT dalam kalangan wanita hamil boleh memberi ketanangan.
Hafiz Ithnin


AKTIVITI mengurut dalam kalangan masyarakat sudah menjadi perkara biasa. Malah, ada wanita hamil turut melakukannya.

Tidak terkecuali dalam tempoh berpantang ada wanita yang memilih untuk berurut kerana ia dikatakan mampu memberi kesan baik kepada ibu.

Perunding Kesuburan Metro IVF, Dr Prakash Mayandi berkata, sebenarnya wanita hamil juga memerlukan waktu rehat peribadi atau mengistirahatkan diri kerana perubahan fasa yang dialami.

Katanya, pelbagai kajian dijalankan dan mendapati bahawa berurut ketika hamil mampu mengurangkan kesakitan, melegakan kekejangan otot, meningkatkan aktiviti fizikal dan keseluruhan tubuh ibu hamil.

"Secara teori, berurut memberikan rangsangan untuk mengurangkan kesan kesakitan dan ketidakselesaan secara elektif apabila rasa kesakitan akan disekat daripada diterjemahkan oleh otak untuk berasa sakit.

"Urutan ketika hamil dalam kalangan wanita barat bukan lagi asing. Bagaimanapun, wanita Asia kurang berurut kerana bimbang mengenai kandungan," katanya.

Jelasnya, wanita Asia lebih cenderung memilih perkhidmatan urutan selepas habis tempoh berpantang.

PEMERIKSAAN dan nasihat doktor perlu dilakukan ibu mengandung sebelum berurut demi keselamatan diri dan bayi.
PEMERIKSAAN dan nasihat doktor perlu dilakukan ibu mengandung sebelum berurut demi keselamatan diri dan bayi.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini perkhidmatan prenatal semakin diterima baik, apatah lagi ia disarankan pakar kehamilan.

Katanya, urut sebagai teknik rawatan dilakukan sejak zaman dahulu di China, Mesir, Jepun dan India. Selain rawatan berurut, ia digunakan untuk ibu hamil mengurangkan kesakitan secara fizikal dan psikologi.

"Namun, doktor mengetahui proses apa yang berlaku dalam badan ketika kehamilan dan bagaimana mungkin untuk mengurangkan keadaan kelahiran janin yang selamat sepanjang masa.

"Sakit pinggang, pinggul, kekejangan kaki dan pelbagai rasa tidak selesa yang dihadapi sepanjang kehamilan.

"Berurut memberikan kesan secara fisiologi dan psikologi dengan merangsangkan organ badan untuk membebaskan hormon seperti endorfin serta membantu meningkat kadar serotonin," katanya.

Pakar itu berkata, hormon serotonin berfungsi mencegah kemurungan dan dapat mengatur 'mood' untuk membuat berasa bahagia.

BERURUT mengurangkan risiko kelahiran pramatang.
BERURUT mengurangkan risiko kelahiran pramatang.

Tambahnya, namun tidak semua wanita hamil digalakkan berurut. Antara yang tidak digalakkan berurut termasuk individu yang mempunyai penyakit darah tinggi, pernah mengalami kelahiran pramatang, praeklampsia, pendarahan disebabkan masalah uri, keguguran serta kehamilan kurang 12 minggu.

Katanya, dalam tiga bulan pertama atau peringkat dikenali sebagai trimester pertama, urutan tidak dibenarkan kerana janin masih sangat kecil dan dikhuatiri boleh mengakibatkan keguguran.

"Berhati-hati jika ingin berurut dan dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu kerana keselamatan ibu dan janin perlu diutamakan," katanya.

Antara kebaikan berurut:

BERURUT boleh memberi kesan tidur yang baik kepada ibu hamil.
BERURUT boleh memberi kesan tidur yang baik kepada ibu hamil.

1. Tidur yang lebih nyenyak.

Urutan dapat membantu meningkatkan pengeluaran hormon melatonin dan serotonin dalam tubuh. Ini membuatkan si ibu mendapat tidur yang lebih lena serta mengatasi masalah insomnia.

2. Mengurangkan tekanan.

Urutan juga mengurangkan pengeluaran hormon kortisol yang berkait rapat dengan kadar stres manusia. Wanita hamil mempunyai ketidaktentuan 'mood' dan urutan dapat menjadikan mereka lebih tenang dan positif.

3. Mengurangkan gejala otot bengkak.

Kaki bengkak ketika hamil (Leg Swelling During Pregnancy). Ketika kehamilan, badan menghasilkan kira-kira 50 peratus lebih banyak darah dan cecair badan untuk memenuhi keperluan bayi yang sedang berkembang.

Bengkak adalah bahagian normal kehamilan terutama pada fasa trimester kedua yang disebabkan oleh darah dan cecair tambahan ini.

Bengkak yang biasa, yang juga dikenali sebagai edema, boleh dialami di tangan, muka, kaki, pergelangan kaki, dan kaki.

Jumlah cecair tambahan adalah kira-kira 25 peratus daripada berat badan wanita ketika mengandung. Ia berlaku kerana peredaran darah yang kurang lancar. Urutan mampu meningkatkan keupayaan sistem limfa dan melancarkan peredaran darah.

4. Tiada lagi kekejangan otot.

Otot kejang dan sakit adalah perkara normal ketika sarat hamil. Perubahan saiz tubuh mengehadkan pergerakan si ibu dan menyebabkan mereka lebih kerap duduk dan baring.

5. Mengurangkan risiko kelahiran pramatang.

Kajian menunjukkan wanita hamil yang kerap melakukan rawatan urutan prenatal mempunyai risiko rendah kelahiran pramatang berbanding yang tidak langsung berurut sepanjang kehamilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 6:10 AM