MENCARI lokasi menarik menjadi tugas Norfazidah
MENCARI lokasi menarik menjadi tugas Norfazidah
Siti Nadirah Hafidzin

Wanita ini akui dia gemar melancong yang bukan saja membolehkan melihat keindahan negara lain tetapi juga antara aktiviti paling menyeronokkan sekali gus melegakan tekanan.

Berkongsi hobi dengan suami menjadikan pasangan ini sering ‘mencuri masa’ terluang berkunjung ke pelbagai lokasi menarik di seluruh dunia.

Berhasrat supaya orang lain juga merasai keseronokan melancong terutama individu yang tidak pernah ke luar negara membuatkan Norfazidah Abd Samad, 32, mula memikirkan cara terbaik merealisasikan impian berkenaan dengan menawarkan pakej berpatutan yang boleh dibayar secara ansuran.

Menurut Norfazidah, atas sebab itu, dia tekad memulakan perkhidmatan sebagai pemandu pelancong dan pada masa sama menyediakan pakej percutian dengan harga rendah.

“Apa yang saya lakukan ini bukan untuk mengaut keuntungan tetapi mahu orang lain turut merasai kegembiraan bercuti di luar negara walaupun dengan bajet terhad.

“Tercetusnya idea ini apabila ramai rakan dan pengikut di media sosial yang gemar melihat gambar saya melancong. Ramai yang meminta saya menawarkan pakej percutian pada harga murah,” katanya.

MELANCONG ke lokasi menarik antara impian setiap orang.
MELANCONG ke lokasi menarik antara impian setiap orang.

Atas faktor itu juga, Norfazidah yang berusaha merealisasikan impian ramai untuk melancong dan bermusafir membenarkan proses pembayaran dilakukan secara ansuran.

“Tidak semua individu mampu mengeluarkan belanja besar atas sebab tersendiri. Ramai yang mengeluh dan mengakui tidak boleh membayar harga pakej sekali gus.

“Bagi saya mudah, asalkan mereka menyelesaikan pembayaran sebelum waktu penerbangan. Kebiasaannya saya meminta pelanggan membayar sejumlah deposit sebelum membayar secara ansuran setiap bulan,” ujarnya.

Kata Norfazidah, matlamatnya hanya satu iaitu untuk membantu dan memudahkan urusan orang lain.

“Inilah cara saya membantu individu lain dan amat gembira setiap kali melihat keseronokan pelanggan ketika melancong.

“Saya yakin jauh di sudut hati setiap orang tentu saja mempunyai keinginan untuk melancong atau mengembara mengelilingi dunia. Jika tidak dapat dilakukan dengan kerap cukuplah sekali atau dua kali seumur hidup,” katanya.

ANTARA lokasi menarik yang dikunjungi dalam pakej pelancongan Norfazidah.
ANTARA lokasi menarik yang dikunjungi dalam pakej pelancongan Norfazidah.

Persediaan sebelum melancong

Menurut Norfazidah, selain berkhidmat sebagai pemandu pelancong, dia juga turut bertanggungjawab memberi khidmat nasihat, tunjuk ajar dan rundingan sebelum penerbangan.

“Saya jalankan proses bimbingan secara dalam kumpulan di aplikasi WhatsApp dalam tempoh dua bulan sebelum penerbangan. Saya mahu mereka bersedia dan mempunyai sedikit ilmu mengenai lokasi yang ingin dilawati,” katanya.

Menurutnya, selain itu, bimbingan itu juga bagi memastikan pelanggan bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum mengembara.

MENIKMATI keindahan alam.
MENIKMATI keindahan alam.

“Semua ini penting sebagai persediaan jika berlaku sebarang masalah seperti tersesat ketika melancong dan saya berharap kelas bimbingan ini dapat membantu mereka ketika itu.

“Saya juga yakin persediaan rapi dapat membuatkan proses perjalanan menjadi lebih menarik dan seronok,” ujarnya.

Katanya, buat masa ini pihaknya menawarkan tiga destinasi untuk dikunjungi melalui pakej mampu milik itu iaitu Jepun, Australia dan Maldives.

“Harga yang kami tawarkan adalah di bawah RM3,000. Saya sendiri akan menguruskan semua proses dan akan bersama sepanjang percutian itu.

“Saya berharap usaha ini dapat membuka peluang kepada lebih ramai orang untuk melancong dan melihat keindahan alam serta kebesaran Yang Maha Esa,” katanya.

NORFAZIDAH membantu lebih ramai individu melancong dengan harga berpatutan.
NORFAZIDAH membantu lebih ramai individu melancong dengan harga berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 2:30 PM