SUASANA restoran yang dihias seperti berada di tepi pantai.
SUASANA restoran yang dihias seperti berada di tepi pantai.
Zaitie Satibi

Menikmati pelbagai jenis hidangan makanan laut yang dilambakkan atas meja secara tidak langsung merapatkan hubungan persahabatan atau kekeluargaan kerana menjamu selera beramai-ramai.

Konsep sedemikian kian popular turut ditawarkan pasangan suami isteri, Mohd Azlan Mahmud dan Murniyati Wahid di restoran mereka yang dibuka lebih setahun lalu, Let’s Seafood Out di Puncak Alam, Kuala Selangor.

Pengunjung boleh meratah makanan laut kegemaran beraneka rasa dalam satu pakej pada harga berpatutan seperti ketam sambal, sotong kari, udang mentega, lala kamheong, kupang cili padi dan kima pedas.

Turut ditawarkan hidangan ‘ala carte’ ikan siakap masam manis, tom yam makanan laut, asam pedas pari, kambing bakar dan spageti karbonara serta pilihan jus buah-buahan yang diperah segar.

Mohd Azlan berkata, hasratnya menawarkan hidangan makanan laut yang dilambak atas meja pada kadar harga berpatutan berikutan dia pernah dikenakan caj yang mahal.

Mohd Azlan dan Murniyati bersama lambakan makanan laut yang menerbitkan suasana meriah.
Mohd Azlan dan Murniyati bersama lambakan makanan laut yang menerbitkan suasana meriah.

“Konsep makanan sebegini mendapat permintaan tinggi terutama penggemar makanan laut. Namun, rata-ratanya tidak berkemampuan kerana harga dikenakan mahal mengikut harga pasaran.

“Oleh itu, saya cuba tawarkan pada harga yang mereka mampu dengan menyediakan pakej tertentu. Saya dapat mengekalkan harga berpatutan kerana bekalan segar yang diambil setiap hari terus daripada pembekal,” katanya.

Mengenai setiap hidangan, katanya, ia dimasak dengan resipi keluarga Murniyati.

Menurutnya, bahan digunakan berkualiti menyebabkan makanan disajikan mendapat sambutan baik pelanggan.

ANEKA rasa makanan laut dapat dicuba dalam satu pakej.
ANEKA rasa makanan laut dapat dicuba dalam satu pakej.

“Kami pentingkan selera pelanggan dan sentiasa berinteraksi dengan pelanggan untuk mendapatkan maklum balas bagi memastikan sajian itu bukan saja menyelerakan, malah menepati cita rasa sehingga mampu menambat hati mereka.

“Rekaan dalaman restoran seolah-olah berada di pantai dengan poster pasir menguning dan laut membiru membangkitkan selera pelanggan.

“Selain itu, replika kapal, pelampung penyelamat, sauh, kerangan dan kelasi menambahkan lagi suasana ceria dalam premis,” katanya.

ANEKA rasa makanan laut dapat dicuba dalam satu pakej.
ANEKA rasa makanan laut dapat dicuba dalam satu pakej.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 3:34 AM