JURUSOLEK menatarias wajah pengunjung pusat beli-belah.
JURUSOLEK menatarias wajah pengunjung pusat beli-belah.
Intan Mas Ayu Shahimi

Sudah menjadi fitrah kehidupan setiap wanita, mereka memang selalu mahu kelihatan cantik, menawan, dihormati, mampu berbuat baik kepada sesiapa saja.

Bagi kebanyakan wanita, tampil cantik bukan sekadar untuk kepuasan diri dan pasangan, tapi boleh meningkatkan keyakinan saat berdepan khalayak. Tidak hairanlah ramai wanita kini mula berjinak-jinak dengan dunia solekan.

Lambakan video tutorial di laman perkongsian seperti Facebook, Instagram dan YouTube memberi sedikit sebanyak panduan buat mereka yang baru hendak mencuba. Andai berkemampuan, mereka tidak segan silu mendaftar ke kelas solekan atau dandanan diri berbayar.

Sekurang-kurangnya kesedaran untuk tampil menarik kini banyak memberi kesan positif dalam diri wanita. Masing-masing kian bijak mencedok ilmu solekan dan mula menjaga penampilan demi kepentingan serta kepuasan diri.

Lebih daripada itu, dunia solekan hari ini tidak hanya memberi pengaruh kepada wanita berkerjaya, tapi turut membuka ruang kesedaran buat suri rumah dan mereka yang dulunya sering mengabaikan penampilan diri.

Semua petanda positif ini menarik minat Pengarah Beauty Fest Sdn Bhd Rosnawati Salleh, untuk mengambil inisiatif menganjurkan program amal Make Up Charity, di ruang legar pusat beli-belah NU Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kebetulan, wanita ini juga bertindak sebagai tunjang utama Persatuan Jurusolek Artis Bumiputera Malaysia (MBMUAA), jadi banyak manfaat serta objektif dapat dicapai menerusi program selama enam hari berkenaan.

ROSNAWATI
ROSNAWATI

Kata Rosnawati, dia begitu teruja sebaik pihak MRCB (Malaysian Resources Corp Bhd) bersetuju menaja lokasi di NU Sentral selama enam hari. Dia juga berbangga apabila ramai mekap artis sanggup turun padang melakukan kerja amal tanpa sebarang bayaran.

“Saya boleh katakan Make Up Charity adalah program amal pertama seumpamanya di Malaysia. Biasanya kalau ada pun, pihak penganjur mungkin buat jualan alat solek atau menawarkan khidmat solekan berbayar dan menyumbang sebahagian daripada keuntungan untuk kerja kebajikan.

“Tapi, kita menawarkan khidmat solekan selama 10 minit kepada pengunjung pusat beli-belah yang mahu menyumbang ke tabung amal MBMUAA. Tidak kira berapa sekali pun yang mereka mampu hulurkan, kita tetap akan beri khidmat solekan terbaik buat mereka.

“Paling penting, solekan berkenaan bukan daripada calang-calang orang, tetapi jurumekap artis, mak andam dan jurusolek berpengalaman. Mereka ini menggunakan produk kosmetik berjenama sama dengan yang digunakan ketika merias wajah pelanggan atau artis,” katanya.

 JURUSOLEK menatarias wajah pengunjung pusat beli-belah.
JURUSOLEK menatarias wajah pengunjung pusat beli-belah.

Pengalaman baru

Menurut Rosnawati, dia bangga dan gembira apabila program amal serampang dua mata berkenaan mencapai objektif serta bergerak lancar sepanjang penganjuran biarpun julung kali diadakan.

“Saya buka peluang melakukan kerja amal ini buat semua ahli MBMUAA, jurusolek bebas, mak andam dan pendandan berbakat dari seluruh negara. Saya percaya, ramai mekap artis berbakat yang mempunyai kemahiran dalam solekan, namun menghadapi kekangan untuk menyumbang dalam kerja amal.

“Sebab itulah kita adakan program sebegini. Jurusolek boleh menyumbang bakat, mencabar kemampuan dan ilmu solekan mereka dengan menata rias wajah pelbagai bentuk, bertukar pendapat serta memahirkan diri dengan banyak teknik baru.

“Pada masa sama, pengunjung pula berpeluang melalui proses mengubah penampilan wajah, menikmati hasil solekan pakar, mempelajari asas solekan, sekali gus menyumbang kepada golongan yang lebih memerlukan. Pada akhirnya nanti, semua pihak yang terbabit akan mendapat kepuasan walau dengan sedikit usaha,” katanya.

SEKITAR perjalanan program semalam enam hari.
SEKITAR perjalanan program semalam enam hari.

Selain mengutip sumbangan, Rosnawati berkata, dia juga berbangga dengan pelbagai perubahan dan semangat yang ditonjolkan jurusolek yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.

“Ada yang sanggup datang berhari-hari sehingga tamat program. Bagi yang sibuk dan mempunyai komitmen lain, mereka juga cuba untuk hadir menyumbang bakat dan kreativiti walaupun hanya sejam, dua.

“Lucunya, ada ramai jurusolek yang kurang yakin untuk berkomunikasi dengan orang ramai. Pada hari pertama umpamanya, saya boleh lihat mereka teragak-agak menyapa orang yang lalu-lalang.

“Secara tidak langsung, saya mula nampak mereka kurang ilmu PR (perhubungan awam) dan tidak pandai memasarkan khidmat diri, sedangkan banyak peluang untuk masa depan yang patut direbut apabila berada dalam program ini.

“Alhamdulillah, selepas berbincang dan berkongsi sedikit sebanyak tip, saya jadi terharu melihat mereka berjaya mengatasi masalah dihadapi dalam masa singkat, hinggakan ada yang bertanya, jika program berkenaan dapat diteruskan lagi di lokasi sama pada hari ketujuh,” katanya ketawa.

Jelasnya, walaupun jumlah sumbangan diperoleh daripada kerja amal berkenaan tidak begitu besar, namun ia tetap berjaya menceriakan 30 anak yatim dan fakir miskin dari Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras Jaya serta keluarga Maizatul Shima yang terpaksa menyara suami (lumpuh) serta memiliki 10 anak.

UBAH penampilan wanita sambil beramal.
UBAH penampilan wanita sambil beramal.

Perancangan besar

Adat melakukan perkara yang memang menjadi minat dan menepati kesungguhan, Rosnawati tidak mudah berpuas hati dengan percubaan pertamanya bersama ahli MBMUAA.

“Sejak tamatnya program amal ini bulan lalu, saya sudah mempunyai banyak idea dan perancangan yang hendak disusun di masa akan datang. Pastinya, setiap program ini bertujuan menggerakkan ahli persatuan, di samping memberi lebih banyak manfaat serta pengalaman baru buat mereka.

“Kalau boleh, saya mahu bawa usul sama (Make Up Charity) ke peringkat yang lebih tinggi, dalam skala lebih besar. Saya mahu jadikan ia program jelajah seluruh Malaysia dengan pembabitan ahli MBMUAA, jurusolek serta mak andam dari setiap negeri.

“Saya percaya, walaupun jalannya sukar, kita masih boleh mendapat kerjasama dan sokongan daripada agensi kerajaan, pengendali pusat beli-belah, pengusaha kosmetik serta mereka yang turut serta dalam industri kecantikan.

“Objektif utama kita adalah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat memerlukan. Begitupun, seperti saya katakan sebelum ini, ia bersifat serampang dua mata. Banyak manfaat, ilmu baru, kemahiran dan pengalaman akan diperoleh juru solek, khususnya ahli MBMUAA yang mengikuti program nanti. Saya andaikan, ini bukanlah kerja amal untuk anak yatim, rumah kebajikan, ibu tunggal atau warga emas semata-mata, tapi ia bersifat menyeluruh dan berupaya membantu menjana ekonomi serta perniagaan berasaskan kosmetik pada masa akan datang,” katanya.

SEBAHAGIAN jurusolek yang mengambil bahagian.
SEBAHAGIAN jurusolek yang mengambil bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 2:16 PM