PELBAGAI tip kecantikan akan dikongsi artis popular dalam rancangan itu.
PELBAGAI tip kecantikan akan dikongsi artis popular dalam rancangan itu.
Najiy Jefri

Solekan minimalis namun kelihatan berseri ala Korea sememangnya menjadi dambaan ramai wanita. Bagi penggemar K-Beauty, mereka pasti menonton tutorial atau tip mengenai teknik solekan Korea di laman YouTube.

Sebuah program realiti terbaru yang dibawakan khas stesen televisyen JTBC mendapat sambutan luar biasa apabila memperkenalkan salun berpangkalan di Seoul, Korea Selatan bernama Mimi Shop.

Setiap episod, beberapa pelanggan akan datang ke salun berkenaan untuk menerima sentuhan magis solekan lima selebriti Korea Selatan iaitu Sandara Park, Tony Ahn, Cheetah, Shin So Yul dan Kim Jim Kyeong.

Setiap selebriti mempunyai peranan dan tugas tersendiri dalam mengubah gaya solekan serta dandanan terhadap pelanggan yang hadir di salun Mimi Shop.

Siapa yang tidak gembira apabila selebriti pujaan memberi layanan istimewa dan membantu mereka menjadi lebih cantik serta berkongsi tip kecantikan?

PROGRAM ini membariskan lima selebriti (dari kiri) Jim Kyeong, Sandara Park, Tony Ahn, Cheetah dan Shin So Yul.
PROGRAM ini membariskan lima selebriti (dari kiri) Jim Kyeong, Sandara Park, Tony Ahn, Cheetah dan Shin So Yul.

Tony An yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkata, dia teruja apabila ditawarkan terbabit dalam program realiti itu kerana dapat berkongsi tip kecantikan dengan pelanggan.

“Saya gembira terbabit dalam program ini kerana dapat berkongsi pengalaman dan tip kecantikan dengan pelanggan.

“Setiap pelanggan yang datang ke Mimi Shop datang daripada latar belakang berbeza. Jadi, kami membantu mereka untuk tampak lebih menarik. Saya sangat menyukai konsep dan idea yang dibawakan kerana kami dapat mengenali lebih dekat pelanggan yang datang.

“Selain itu, kami juga dapat berkongsi tutorial solekan dengan penonton untuk dipraktikkan di rumah. Saya percaya ramai akan menyukai program ini terutama wanita,” katanya.

Menurut penyanyi dan pelakon popular Sandara Park, antara cabaran utama yang dihadapinya adalah memastikan setiap pelanggan berpuas hati dengan khidmat yang diberikan Mimi Shop.

PROGRAM ini boleh ditonton sejak 22 Ogos lalu.
PROGRAM ini boleh ditonton sejak 22 Ogos lalu.

“Sebagai pengurus servis Mimi Shop, saya perlu pastikan setiap pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan kami.

“Jadi, saya dan rakan yang lain akan berbincang untuk memastikan setiap solekan mencapai piawaian idaman pelanggan. Saya sangat beruntung kerana setiap selebriti yang mengambil bahagian dalam program ini ada gaya tersendiri dan mahir dalam solekan,” katanya.

Ditanya adakah dia tertekan apabila perlu mengenakan solekan sepanjang masa, Sandara berkata dia kini lebih sukakan solekan minimalis apabila keluar dari rumah.

“Jika pada awal pembabitan dalam industri dulu hampir setiap hari saya bersolek. Namun, lama-kelamaan saya lebih sukakan wajah yang polos atau mengenakan solekan yang minimalis.

“Bagi saya, kecantikan seseorang itu bukan diukur berdasarkan solekan yang dipakai. Saya hanya akan mengenakan solekan apabila menghadiri acara penting saja,” katanya.

MIMI Shop kini boleh ditonton di aplikasi Viu.
MIMI Shop kini boleh ditonton di aplikasi Viu.

Bagi penyanyi rap Cheetah pula, dia dikenali dengan gaya solekan Cheetah dan sangat disukai peminatnya. Sebagai jurusolek dalam program itu dia tiada masalah untuk memberikan solekan terbaik kepada setiap pelanggan.

“Semua pelanggan Mimi Shop ada rupa paras yang cantik. Mereka perlu yakin degan diri mereka dan tahu teknik solekan yang betul untuk tampil lebih menawan.

“Maka, saya dan rakan akan berkongsi segala ilmu yang kami miliki dengan mereka. Ini kerana ramai tertarik dengan gaya solekan artis Korea,“ katanya.

Sementara itu, pelakon Shin So Yul yang turut bertindak sebagai jurusolek dalam program itu akan bekerja rapat dengan Cheetah untuk mencari idea dan berbincang mengenai solekan yang akan diketengahkan kepada setiap pelanggan.

“Setiap selebriti dalam program ini ada peranan masing-masing dan ia secara tidak langsung membuatkan proses penggambaran berjalan dengan lancar.

“Saya seronok dapat bertemu ramai individu baru dan mengenali mereka dengan lebih rapat. Saya teruja mendengar cerita mereka.

“Saya harap program ini akan mendapat tempat di hati penonton dan memberi ilham kepada anda untuk mencuba gaya solekan yang kami bawakan setiap minggu,” katanya.

Mimi Shop boleh ditonton di perkhidmatan strim video terkemuka, Viu sejak 22 Ogos lalu.

PELBAGAI tip kecantikan akan dikongsi artis popular dalam rancangan itu.
PELBAGAI tip kecantikan akan dikongsi artis popular dalam rancangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 10:07 AM