JENAMA Nurita jadi sebutan ramai sekitar tahun 2013 dengan hasil rekaannya.
JENAMA Nurita jadi sebutan ramai sekitar tahun 2013 dengan hasil rekaannya.
Hafiz Ithnin


DALAM kalangan pereka fesyen tempatan, namanya yang menjadi jenama sendiri ibarat tidak perlu diperkenal kerana sudah lebih 10 tahun mewarnai industri berkenaan.

Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan hasil sentuhan anak kelahiran Kuala Lumpur ini antara penanda aras kepada peminat yang gemarkan rekaan eksklusif dan mempunyai kelas tersendiri.

Namun, di sebalik kemasyhuran Nurita Harith, mungkin ramai tidak mengetahui sepanjang perjalanan menjadi pereka dan usahawan fesyen dia melalui pelbagai cabaran yang jarang dikongsi kepada umum.

"Saya pernah 10 bulan tidak mampu membayar sewa kedai mujur pemilik kedai baik hati membenarkan saya terus beroperasi.

"Itu belum lagi, ada yang tidak mahu bekerja dengan saya kerana jenama tidak terkenal. Begitu juga ketika belajar di United Kingdom (UK), saya perlu bekerja di kedai makanan segera untuk menampung belanja," katanya kepada penulis ketika mengimbau cabarannya lebih 10 tahun lalu.

Wanita berusia 38 tahun itu adalah pemegang Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Reka Fesyen dari Surrey Institute of Art & Design di UK.

Kata Nurita, dia menyambung pelajaran di sana kerana mengikut ibunya, Wan Roseta Che Wan dan bersyukur ketika di sana bapa tiri menghantarnya untuk menyambung pelajaran dalam bidang berkenaan.

NURITA berkerja keras untuk mengukuhkan jenamanya.
NURITA berkerja keras untuk mengukuhkan jenamanya.

Tambahnya, selepas menamatkan pengajian wanita ini mengambil keputusan untuk membina kerjaya sebagai pereka fesyen di negara sendiri.

"Selama dua tahun selepas pulang ke Kuala Lumpur, saya bekerja dengan pereka fesyen, Bill Keith dan berkesempatan menjadi jurudandan untuk sebuah majalah fesyen tempatan.

"Saya masih ingat lagi, pertunjukan fesyen pertama apabila Bill Keith yang memberikan peluang untuk saya mempersembahkan sentuhan peribadi. Ketika itu, saya tidak mempunyai banyak wang dan berjimat menggunakan kain lebihan dari butiknya untuk membuat koleksi pada persembahan itu," katanya.

Pada 2008, Nurita mengambil langkah berani dengan membuka firma fesyennya sendiri berbekalkan modal kira-kira RM80,000 dipinjam daripada seorang sahabat yang berbesar hati membantunya.

"Ketika memulakan perniagaan ini sememangnya cukup mencabar kerana jenama tidak dikenali dan begitu banyak rakan-rakan pereka fesyen yang lain sudah kukuh jenamanya dalam kalangan pelanggan.

"Mahu cari kakitangan juga sukar kerana mereka ibarat tidak yakin dengan syarikat ini. Malah, saya juga perlu bekerja keras dengan mengikuti pelbagai kelas dari segi perniagaan dan juga rekaan mengikut selera tempatan," katanya yang kini mempunyai lebih 20 pekerja.

Jenama Nurita menjadi sebutan sekitar 2013 apabila sentuhannya dalam rekaan pakaian pengantin menjadi perhatian ramai.

Terus mencipta nama pada sekitar 2015, apabila koleksi pakaian siap dipakai (RTW) ditawarkan pelbagai platform gedung digital dan juga syarikat peruncitan fizikal terkenal di ibu negara.

Nurita berkata, ketika itu, dia dan pasukannya tidak cukup tangan menyiapkan koleksi sepanjang tahun kerana rezeki mula berpihak kepada jenamanya.

MEMBUAT pengambaran koleksi pengantin di Budapest pada 2016.
MEMBUAT pengambaran koleksi pengantin di Budapest pada 2016.

Dari menyewa sebuah lot ruang perniagaan, berkembang kepada tiga lot ruang perniagaan di Bangsar, Kuala Lumpur.

Katanya, selain menyediakan khidmat mereka pakaian peribadi, dia juga mempunyai koleksi RTW mampu milik yang tidak sedikit pun mengetepikan kualiti kepada pembeli.

Ditanya mengenai cabaran ketika pandemik Covid-19, dia mengakui, situasi itu menjadikan dirinya belajar banyak perkara bagi memastikan perniagaannya terus kukuh.

"Ketika berlaku pandemik ini, saya belajar untuk menguruskan perniagaan secara atas talian dengan mempunyai laman web sendiri dan menguruskan pelbagai kerja-kerja logistik yang sebelum ini diuruskan oleh kakitangan.

"Ketika itu, juga saya masih dalam pantang anak pertama. Namun, ia bukan menjadi penghalang kerana saya tidak mahu jenama Nurita Harith terkubur kerana cabaran ini," katanya.

Katanya, perkara paling penting dalam era pandemik ini ialah memastikan periuk nasi kakitangannya tidak terusik. Jadi, sebagai pengemudi dia perlu bijak mengatur strategi.

"Kini, saya menjalankan pelbagai lagi perniagaan dengan bekerjasama dengan sebuah syarikat barangan kemas dan juga aksesori seperti kasut serta beg.

"Ketika pandemik ini, kita perlu bijak mempelbagaikan perniagaan. Bagi pereka dan usahawan fesyen baharu, saya nasihatkan untuk bijak mengatur strategi dalam industri ini. Bukan sekadar kreatif mencipta busana. Apatah lagi, setiap hari ada cabaran tersendiri," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 7:00 AM