POTONGAN ala kebaya menyerlahkan gaya tradisi.
POTONGAN ala kebaya menyerlahkan gaya tradisi.
RONA putih menyerlah menerusi perincian bunga tiga dimensi pada baju.
RONA putih menyerlah menerusi perincian bunga tiga dimensi pada baju.
Siti Zarinah Sahib


Mengambil inspirasi mewah daripada kelopak bunga kemudian diterjemahkan ke dalam rekaan busana memikat menjadi koleksi terkini Hatta Dolmat yang diperkenalkan kepada umum baru-baru ini.

Menamakan rekaan terkini sebagai Petals by Hatta Dolmat ia menjadi himpunan kedua selepas koleksi pertama Petals Raya yang dilancarkan sebelum ini.

Terkenal menerusi sentuhan mewah namun elegan, Petals Raya dihasilkan menggunakan teknik lapisan pada busana lantas memberikan keindahan tersendiri terutama apabila digayakan wanita tinggi lampai.

Berkonsepkan gaya peplum namun tidak keterlaluan setiap lapisan 'diadun' menawan dengan jahitan berseni dan teliti menjadikan setiap lapisan pada busana kelihatan terletak cantik.

Ujar Hatta ia menyerlahkan gaya wanita terutama pada hari perayaan. Penggunaan fabrik ringan membuatkan setiap padanan kelihatan beralun anggun dalam nada tersendiri. Menggunakan rona pastel kerana ia nampak manis seperti merah jambu, biru lembut dan putih pastinya menjadi pilihan ramai wanita.

"Sesuai untuk perayaan warna ini memberikan kelebihan kepada si pemakai untuk memadankan dengan beg tangan dan perhiasan pilihan mereka. Sudah pasti fabrik polos membuatkan wanita tampil bergaya dan anggun untuk pelbagai acara," katanya.

Menampilkan potongan ringkas jelas Hatta, apa yang membuatkan koleksi ini kelihatan berbeza apabila dia memberikan tumpuan pada bahagian tertentu seperti lengan, bawah baju, jatuhan dan alunan fabrik yang menggambarkan ilham dan sifat sebenar keperibadian wanita.

"Sama sepertinya halusnya setiap kelopak bunga begitulah saya menggambarkan keperibadian wanita yang menjadi ilham rekaan kali ini. Saya pasti ramai menyukainya kerana ia sesuai digayakan semua golongan," katanya.

Ia turut memberikan penekanan pada perincian yang minimum terutama mereka yang menggemari potongan moden. Namun begitu dia juga turut menyelitkan elemen tradisi seperti potongan leher kebaya yang menjadi identiti koleksi ini dan paling penting, menceriakan si pemakai!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 1:39 PM