PENGGUNAAN krim pelembap sebelum keluar rumah, selepas mandi & sebelum tidur bantu pelihara kulit.
PENGGUNAAN krim pelembap sebelum keluar rumah, selepas mandi & sebelum tidur bantu pelihara kulit.
Muhamaad Razis Ismail


Kulit organ terbesar pada tubuh manusia dan menjadi pelindung kepada organ dalaman bagi mengelak kecederaan termasuk memberi perlindungan daripada jangkitan kuman atau bakteria.

Ia melindungi tubuh daripada terdedah kepada persekitaran seperti cuaca ekstrim dan mengawal suhu badan, ia juga berfungsi mengesan deria rasa berbeza seperti sejuk, panas dan sakit, selain mencegah dehidrasi bagi menjaga kesihatan dan kelembapan kulit.

Umum mengetahui menjaga kelembapan kulit penting kerana kekeringan kulit disebabkan penyahhidratan memberi impak besar, bukan sahaja dari segi fizikal, malah menjejaskan kehidupan seseorang individu untuk jangka masa panjang.

Pakar Perunding Dermatologi dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Felix Yap Boon Bin berkata, kekurangan air atau penyahhidratan kulit mengakibatkan masalah kulit kering dan menyebabkan ia menggelupas, merekah, berlaku kerengsaan, kegatalan dan menjadi sensitif.

"Kita akan garu apabila gatal dan kekerapan menggaru merosakkan lapisan pertama kulit iaitu epidermis sehingga menyebabkannya semakin menipis, malah hilang," katanya.

KEKURANGAN akan mengakibatkan masalah kulit kering dan menyebabkan ia mengelupas, merekah, berlaku kerengsaan, kegatalan dan menjadi sensitif.
KEKURANGAN akan mengakibatkan masalah kulit kering dan menyebabkan ia mengelupas, merekah, berlaku kerengsaan, kegatalan dan menjadi sensitif.

Beliau berkata, lazimnya, kekeringan kulit berpunca daripada faktor genetik seperti sesetengah orang dilahirkan tanpa lapisan pelindung kulit hingga menyebabkan kulit mereka mudah dehidrasi.

"Selain itu, pemilihan atau penggunaan produk antara faktor kulit menjadi kering. Sebagai contoh, kerap menggunakan 'scrub' badan atau menggunakan sabun atau pencuci badan pada paras pH lebih tinggi iaitu melebihi 7.

"Dari segi persekitaran pula, berada dalam bilik mempunyai pendingin hawa dan di bawah matahari terik untuk tempoh masa panjang menyebabkan kulit menjadi kering," katanya.

Tambahnya, bagi mengelak kulit menjadi kering, sapuan krim pelembap langkah yang praktikal bagi memastikan kulit sihat dan mempunyai tahap penghidratan yang baik.

"Sekiranya kekeringan kulit berada pada tahap yang serius adalah digalakkan untuk menggunakan krim pelembap jenis perubatan," katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya mengetahui jenis kulit sendiri sebelum memilih produk bagi memastikan ia sesuai digunakan untuk jangka masa panjang.

MENGAMALKAN diet seimbang dapat membantu penjagaan kulit.
MENGAMALKAN diet seimbang dapat membantu penjagaan kulit.

"Bagi kulit jenis kering, krim pelembap berasaskan minyak lebih sesuai digunakan kerana kandungan minyak di dalamnya akan melembapkan kulit dan mengurangkan kegatalan atau menggelupas. Manakala kulit jenis berminyak boleh memilih krim pelembap jenis kawalan minyak bagi mengelakkan pertumbuhan jerawat.

"Bagi kulit jenis sensitif pula, disaran menggunakan krim pelembap khas iaitu produk jenis tanpa bau atau bahan kimia dihasilkan jenama perubatan yang diiktiraf," katanya.

Tambahnya, Jika tidak pasti jenis produk sesuai digunakan, Dr Felix mencadangkan penggunaan pek sampel terlebih dahulu bagi memastikan produk dipilih bersesuaian dengan jenis kulit.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan tanggapan dengan meminum air yang banyak dan kerap makan sayur-sayuran membuatkan kulit kekal terhidrat tidak tepat sama sekali.

"Kekurangan air dalam badan sememangnya menjejaskan kualiti kulit. Namun minum air yang banyak pada satu-satu masa sebenarnya tidak membantu kulit untuk kekal terhidrat.

DR Felix
DR Felix

"Makan sayur yang banyak juga tidak semestinya membantu menghidrasi kulit kerana penjagaan kulit memerlukan makanan atau diet seimbang iaitu pelbagai nutrisi dan bukan hanya fokus kepada sayur-sayuran," katanya.

Selain mengenali jenis kulit sendiri, beliau mengingatkan orang ramai bahawa gaya hidup dan amalan hidup sihat penting untuk menjamin keseimbangan air dalam lapisan kulit.

"Perlu diingatkan rehat dan tidur mencukupi serta berkualiti dapat melindungi kulit. Contohnya tidur tujuh jam sehari dan mempunyai waktu tidur konsisten, seboleh-bolehnya sebelum jam 12 tengah malam.

"Selain itu, melakukan aktiviti sukan dengan kerap juga penting bagi meningkatkan sistem imuniti. Tahap imuniti rendah akan mendatangkan penyakit kulit seperti ekzema," katanya.

Tambah Dr Felix, kandungan air dalam kulit juga semakin berkurangan apabila usia seseorang itu semakin meningkat.

"Bermula usia antara 40 hingga 50 tahun, lapisan pelindung kulit menjadi semakin nipis dan kecekapannya untuk memerangkap air juga menjadi semakin rendah.

"Justeru, usah pandang remeh soal penjagaan kulit dan seboleh-bolehnya jaga dari peringkat awal untuk menghindari masalah kulit pada masa akan datang," tegasnya.

AKTIVITI fizikal seperti senaman dapat meningkatkan sistem imuniti.
AKTIVITI fizikal seperti senaman dapat meningkatkan sistem imuniti.

Beliau juga menyarankan orang ramai menggunakan krim pelembap sebelum keluar rumah, selepas mandi dan sebelum tidur.

"Pakai krim pelembap sebelum tidur khususnya bagi bilik yang mempunyai pendingin hawa pada masa yang sama, orang ramai digalakkan menggunakan krim pelindung matahari sebelum keluar dari rumah.

"Selain itu, krim pelembap boleh digunakan selepas mandi kerana titisan air di tubuh memudahkan proses penyerapan krim ke dalam kulit dan membantu kulit kekal terhidrat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 7:00 AM