TIDAK ada sebab jelas mengapa berlakunya mabuk hamil. - Gambar hiasan
TIDAK ada sebab jelas mengapa berlakunya mabuk hamil. - Gambar hiasan
Intan Mas Ayu Shahimi


Tempoh kehamilan selalunya memberi banyak pengalaman yang menyeronokkan. Bermula saat mengetahui diri berbadan dua, melalui perubahan hormon, mabuk hamil, perut membesar, hinggalah kepada tendangan kecil dan pergerakan aktif bayi. Bagaimanapun, tidak semua wanita melalui proses kehamilan yang sama.

Sekurang-kurangnya 60 peratus daripada ibu mengandung akan mengalami simptom mabuk hamil seperti loya, muntah-muntah, hilang selera makan atau alah kepada bau, persekitaran mahupun individu tertentu. Namun ada juga wanita hamil yang terlepas daripada melalui saat memenatkan ini.

Menurut Pakar Kesuburan, Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) Pusat Perubatan Tropicana Dr Nurhazinat Mohamed Yunus, mabuk hamil tidak semestinya bermula pada awal tempoh kehamilan, sebaliknya berlaku sekitar minggu keenam dan boleh berakhir paling lewat ketika usia kandungan mencecah 16 minggu.

“Tahap keterukan mabuk hamil pula berbeza antara wanita. Ada yang langsung tidak mengalami mabuk hamil ketika usia kandungan enam atau tujuh minggu. Itu normal kerana mabuk hamil jarang berlaku pada peringkat awal. Ia mungkin hadir sekitar lapan ke sembilan minggu dengan rasa loya, mual, hilang selera makan dan kerap muntah.

“Bagaimanapun, ada juga ibu yang mengalami mabuk hamil paling teruk. Keadaan ini dipanggil gravidarum hiperemesis (loya dan muntah yang teruk semasa hamil trimester pertama sehingga mengakibatkan asidosis iaitu keadaan asid darah yang kurang daripada pH 7.3, dehidrasi dan susut berat badan). Mereka mungkin bermula dengan kehamilan yang tenang, tetapi berubah selepas beberapa minggu,” katanya.

Jelas Dr Nurhazinat, mabuk hamil yang menyebabkan wanita muntah dua atau tiga kali sehari adalah situasi biasa. Mereka yang berdepan keadaan ini hanya perlu mengubah diet harian supaya bersesuaian dengan selera dan keadaan tubuh.

DR Nurhazinat
DR Nurhazinat

“Berbeza dengan mereka yang mengalami gravidarum hiperemesis atau HG, ada waktunya ibu akan mengalami kesukaran untuk makan dan minum seperti biasa kerana mudah loya serta mual. Mereka ini mungkin boleh muntah melebihi 10 kali sehari, kurang kencing, keletihan dan perlu dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Dalam kebanyakan kes, ibu yang mengalami HG perlu dimasukkan air dan menjalani ujian darah untuk mengesan sama ada simptom dialami mempunyai kaitan dengan penyakit lain seperti kencing kotor, tiroid, buah pinggang, jangkitan pada pundi kencing dan sebagainya.

“Namun, jika mabuk, loya dan mual dihadapi hanya disebabkan kehamilan, keadaan itu biasanya akan berlanjutan sehingga minggu ke-14 hingga 16. Hanya dua ke lima peratus wanita hamil yang mengalami mabuk atau alahan sehingga tiba waktu bersalin,” katanya.

Mabuk hamil sepanjang hari

Ramai pasangan yang masih keliru apabila isteri memberitahu mengalami simptom mabuk hamil (morning sickness). Ia sebenarnya bukanlah mabuk pagi, tetapi boleh berlaku pada tengah hari, petang, malam atau sepanjang hari, sehingga berbulan-bulan lamanya.

Selalunya mabuk hamil yang biasa tidak menjejaskan kandungan atau kesihatan ibu kecuali wanita berkenaan tidak boleh makan atau minum (kerana mual dan muntah setiap kali), mengalami dehidrasi dan kekurangan zat hingga mudah mendapat jangkitan.

“Apabila wanita mengalami mabuk teruk, ia boleh menjejaskan kesihatan ibu dan kandungan. Sebab itu kita kerap sarankan ibu hamil supaya merujuk kepada doktor atau hospital berdekatan untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut. Jika dibenarkan berada di rumah sekalipun, mereka perlu memastikan mengambil sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong sehari.

“Menurut cadangan pakar, ibu hamil sepatutnya minum dua liter air sehari. Sekiranya mengalami muntah yang kerap, dia perlu menambah jumlah pengambilan air supaya tidak berlaku dehidrasi,” katanya.

Dalam pada ramai yang cuba bertindak arif mengenai kehamilan, Dr Nurhazinat menasihatkan supaya wanita tidak mudah terpengaruh, sebaliknya merujuk terus sebarang masalah atau kesulitan dihadapi kepada doktor di klinik dan hospital.

“Sebaiknya, menghentikan dahulu pengambilan pelbagai vitamin dan makanan tambahan sepanjang tempoh mabuk hamil kerana ia cenderung menyebabkan alahan, loya dan muntah bertambah teruk. Fokus kepada pengambilan asid folik dan makanan berkhasiat sahaja. Selepas keadaan reda nanti, barulah ambil semula pelbagai vitamin yang dirasakan sesuai.

“Menurut kajian, mabuk hamil yang teruk boleh berkurang dengan pengambilan vitamin B. Malah, doktor di kebanyakan hospital juga kerap membekalkan vitamin B bersama ubat tahan muntah bagi membantu ibu hamil menjalani kehidupan lebih selesa.

“Bagaimanapun, terpulang kepada wanita terbabit sama ada mahu mengambil vitamin B atau tidak kerana kesannya bergantung kepada diri masing-masing. Ada yang kata vitamin B berupaya membantu mengurangkan kesan mabuk hamil, ada juga yang tidak mengalami sebarang perubahan,” katanya.

Kata Dr Nurhazinat, satu perkara yang perlu diketahui dan difahami wanita atau pasangan suami isteri adalah mengenai punca dan penyebab mabuk hamil.

“Dalam bidang perubatan, tidak ada sebab khusus yang jelas menyebut mengapa wanita mengalami alahan atau mabuk hamil. Kita jangkakan ia terjadi kerana berlakunya perubahan dalam tubuh wanita, seiring dengan kehadiran janin.

“Apa yang penting adalah dan sifat peka ibu. Jika dia muntah, tetapi masih boleh makan dan minum lapan gelas air sehari, itu tidak mengapa. Tetapi, jika muntah berlarutan, warna air kencing semakin kuning dan pekat, dia perlu jalani pemeriksaan kesihatan.

“Tambahan jika kekerapan kencing berkurang kepada dua kali sehari, warnanya kuning, badan letih, tidak bertenaga dan tidak cukup air, wanita berkenaan perlu berjumpa doktor,” katanya.

Kebenaran dan mitos

Ketika ditanya mengenai kaitan mabuk hamil yang teruk dengan kehamilan kembar, Dr Nurhazinat berkata, ia mungkin berlaku, namun belum ada kajian tepat mengesahkan fakta berkenaan.

“Ibu yang hamil kembar tidak semestinya mengalami mabuk lebih teruk kerana kehadiran dua atau lebih janin dalam rahim. Bagaimanapun, dia mungkin lebih mudah mendapat mabuk hamil berbanding kehamilan biasa.

“Alahan dan mabuk hamil ini sukar untuk ditentukan kerana ada wanita mengalaminya pada kehamilan pertama saja, ada yang merasa pada kehamilan kedua dan ada juga yang mabuk setiap kali mengandung.

“Soal jantina bayi lelaki atau perempuan juga tidak ada kaitan dengan mabuk hamil. Mungkin ada yang perasan mereka mengalami pengalaman sebegitu, namun ia tidak boleh disamakan dengan wanita lain,” katanya.

Pengalaman mengandung anak sulung wanita ini memang cukup mencabar. Namun dalam meniti tempoh mabuk hamil, Saidatul Asma juga dianugerahkan pelbagai ujian besar yang sebahagian daripadanya meninggalkan kenangan melucukan.

“Apabila disahkan hamil, saya dan suami memang teruja dan gembira. Tergambar keseronokan mengandung dan menanti kelahiran bayi yang kami tunggu-tunggu. Namun, belum sempat semua itu berlaku, saya terlebih dulu diuji dengan mabuk hamil yang teruk.

“Keluar masuk hospital jadi perkara biasa. Apa yang melemaskan saya ketika itu adalah rasa loya dan mual sepanjang kehamilan, hinggalah tiba saat melahirkan. Pernah suatu ketika, saya pengsan di tempat kerja kerana tidak tahan mabuk. Huru-hara seketika kerana semua yang ada di pejabat jadi panik. Mereka sempat menghubungi ambulans, tetapi suami tiba lebih awal dan bawa saya ke hospital berdekatan.

“Alhamdulillah, mujur tiada kejadian buruk berlaku. Doktor masukkan air dan saya berehat sehari di wad kecemasan,” katanya.

SAIDATUL Asma Arifin
SAIDATUL Asma Arifin

Kata Saidatul Asma, dia juga berdepan masalah hemoglobin dalam darah yang rendah dan alah kepada bau yang mencucuk rongga hidung seperti bawang.

“Bayangkan, saya langsung tidak mampu masuk ke dapur untuk memasak. Siang meluat dengan suami sendiri, tetapi malam ketagih pada bau dia. Paling melucukan, apabila pulang ke kampung, saya mencari bau tahi lembu. Nikmatnya ketika itu, sukar hendak saya tafsirkan sekarang.

“Syukur kandungan kedua ini tidak banyak ragam. Saya hanya mengalami mabuk dan muntah-muntah biasa. Tidak ada alahan bau, cuma tak boleh menerima susu. Kemudian, mabuk hamil berpindah pula pada suami hinggakan dia tertidur di bilik air kerana muntah tanpa henti,” katanya.

Kini pada usia kandungan enam bulan, Saidatul Asma tidak lagi mengalami mabuk hamil. Malah, doktor memberitahu sakit kepala dialami disebabkan masalah rabun yang meningkat akibat perubahan hormon.

Berbeza dengan kebanyakan ibu yang cenderung memilih nasi ketika hamil, wanita ini seboleh-bolehnya mengelak daripada bertembung atau terbau nasi.

“Awal kehamilan, memang saya tidak sedar mengandung. Suami tiba-tiba ketagih makan asam, saya pula kerap tidur kerana pening. Hanya selepas kandungan lapan minggu, barulah kami sedar bakal menimang cahaya mata.

“Seminggu selepas itu, bermulalah mabuk hamil. Daripada pening, saya langsung tidak boleh bangun dan kerap muntah. Perkara paling pelik, saya tidak boleh tengok matahari. Jadi, suka atau tidak, saya terpaksa bergelap di rumah.

“Kalau hendak mengambil udara segar, saya akan keluar pada sebelah malam hingga ke dinihari. Jika tidak, saya banyak menghabiskan masa terperuk di bilik. Ingatkan semua ini biasa, rupanya ada lagi dugaan yang lebih hebat.

“Saya langsung tidak boleh bau orang memasak, terutama nasi. Kalau terbau, memang muntah tidak henti. Sejak itu, saya cuma makan roti kosong dengan kurma dan susu kambing untuk memberi tenaga,” katanya yang mabuk hamil sehingga kandungan mencecah 16 minggu.

SURIATI Mohd Ali
SURIATI Mohd Ali

Jelas Suriati, walaupun mabuk hamil berkurangan selepas empat bulan, namun dia masih tidak boleh menerima nasi dalam diet hariannya.

“Mujur juga saya masih boleh makan roti dan mi. Kalau di tempat kerja, saya hanya makan hidangan McDonalds. Suami juga banyak membantu. Dia faham saya tidak mampu menerima nasi. Jadi, dialah yang banyak bersabar sehingga mabuk hamil hilang ketika usia kandungan tujuh bulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 1:04 PM