Norlaila Hamima Jamaluddin

Tahun baru ini, semuanya mahukan pembaharuan. Kalau boleh, tahap ingatan juga mahu diperbaharui supaya kita menjadi insan yang lebih cekap dan cerdas. Namun realitinya, semakin meningkat usia, semakin banyak perkara yang kita lupa.

Dalam sembang santai dengan beberapa rakan, masing-masing bimbang masalah cepat lupa membelenggu diri. Lebih bimbang jika menjadi insan terpilih untuk menerima ujian penyakit demensia iaitu satu bentuk gangguan mental yang menjejaskan banyak fungsi kognitif dan intelek.

Bimbang juga kalau satu hari pada usia yang semakin lanjut, kita tidak boleh menguruskan diri sendiri kerana penyakit lupa yang teruk. Membaca laporan mengenai cara meningkatkan daya ingatan membuatkan kami berasa lega sedikit, walaupun ia bukanlah jaminan untuk mencegah daripada penyakit nyanyuk.

Kaedahnya mudah, iaitu membaca secara kuat. Satu kajian terbaru mendapati membaca secara kuat boleh meningkatkan daya ingatan kita pada maklumat yang ditulis.

Dalam kajian berkenaan yang disiarkan di laman berita kesihatan HealthDay News, penyelidik Kanada bertanya kepada 95 orang untuk mengingat maklumat yang ditulis melalui empat cara pembacaan iaitu membaca secara senyap, mendengar orang membacakannya, mendengar rekod suara sendiri dan membaca secara kuat.

Membaca dengan kuat adalah kaedah terbaik untuk mengingat satu-satu maklumat. Ini mengesahkan pembabitan aktif akan memberi manfaat kepada pendengaran dan pembelajaran, kata ketua penyelidik bersama dan Pengerusi Jabatan Psikologi Universiti Ontario, Kanada Colin MacLeod.

“Apabila ditambah pengukuran aktif atau penghasilan elemen pada satu perkataan, perkataan berkenaan akan menjadi lebih jelas terpahat dalam memori jangka panjang. Ia secara tidak langsung akan lebih diingati,” katanya yang turut terbabit dalam kajian bagaimana menulis dan menaip perkataan boleh memanjangkan daya ingatan.

Tatkala ditanya mengenai kegunaan kajian ini dalam kehidupan seharian, MacLeod berkata, dia teringat kepada saranan untuk warga senior melakukan aktiviti mencabar minda seperti teka-teki atau silang kata bagi membantu menguatkan ingatan.

“Kajian ini mencadangkan aktiviti dan tindakan juga boleh memperbaiki daya ingatan kita. Pada masa sama, jangan lupa bersenam secara berkala dan tetap kerana pergerakan juga menjadi blok yang penting dan kukuh bagi mendapat ingatan yang baik,” katanya.

Ini selaras keputusan kajian ke atas 95 orang dewasa yang menunjukkan senaman 20 minit selama enam minggu boleh memberi kesan positif kepada daya ingatan.

Kajian berkenaan yang turut dijalankan oleh penyelidik Kanada mengukuhkan lagi kaitan antara senaman aerobik dengan prestasi akademik yang lebih baik dalam kalangan pelajar, kata ketua penyelidik, Jennifer Heisz dari Universiti McMaster di Hamilton, Ontario.

Tujuh langkah kuatkan ingatan

Laman pendidikan Mayoclinic turut membincangkan isu ini dengan memberi beberapa panduan berguna untuk menguatkan daya ingatan. Meskipun tiada jaminan kita boleh mencegah kehilangan ingatan atau demensia, tetapi kajian menunjukkan ada aktiviti yang boleh membantu mengaktifkan minda.

1. Cari aktiviti mencabar minda

Aktiviti yang mencabar minda atau merangsang pemikiran akan membantu mengekalkan bentuk otak - dan penyelidik percaya ia dapat merendahkan risiko kehilangan ingatan. Carilah apa saja aktiviti yang sesuai untuk anda sama ada bermain catur, teka silang kata, membuat barangan kraf, belajar bahasa atau alat muzik. Selain itu, jika memandu, cubalah gunakan laluan lain apabila anda pergi atau balik kerja.

2. Sertai aktiviti kemasyarakatan

Jika anda mempunyai ibu bapa atau adik beradik pesara yang aktif dalam kerja sosial, beri mereka pujian. Ini kerana mereka mengambil pendekatan yang baik untuk terus aktif dan secara tidak langsung dapat mengelak daripada masalah kemurungan. Kemurungan dan tekanan memang diketahui boleh menyumbang kepada masalah kemerosotan daya ingatan.

Selain itu, khususnya bagi individu yang tinggal sendirian, carilah peluang untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dengan mengadakan perjumpaan bulanan. Bagi yang masih mempunyai ibu bapa, peruntukkan masa sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk menziarahi mereka.

3. Buat catatan teratur

Kebarangkalian untuk kita lupa adalah lebih tinggi jika rumah dan barang dalam keadaan berselerak. Catat perkara penting seperti temu janji atau hari istimewa pada kalendar, buku nota tradisional atau elektronik (di dalam telefon pintar anda). Semasa mencatat, sebutkan dengan jelas sehingga boleh didengar untuk membantu anda lebih ingat.

Untuk barangan di rumah, letakkan kembali di tempat asalnya selepas digunakan. Ini bukan saja akan membuatkan rumah lebih teratur, malah dapat mengelakkan masalah tidak jumpa barang dan menjimatkan masa.

4. Hadkan gangguan

Cuba hadkan gangguan dan jangan buat terlalu banyak perkara dalam satu masa. Ini akan memudahkan usaha anda untuk fokus dalam mengingat satu-satu maklumat. Malah maklumat itu juga akan lama berada dalam minda anda.

5. Tidur secukupnya

Tidur memainkan peranan penting dalam membantu anda menguatkan daya ingatan supaya anda boleh mengingat perkara penting. Tahun baru ini, masukkan ‘tidur awal dan bangun awal’ dalam agenda penting anda. jadikan ia satu keutamaan. Ingat, individu dewasa memerlukan tujuh hingga sembilan jam tidur yang berkualiti untuk memastikan anda produktif sepanjang masa.

6. Pemakanan sihat

Pemakanan sihat dan seimbang amat penting untuk kesihatan tubuh yang menyeluruh terutama jantung dan otak. Ambil lebih banyak sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh. Pilih protein rendah lemak seperti ikan, daging tanpa lemak dan ayam tanpa kulit.

7. Bersenam

Lakukan sebarang aktiviti cergas mengikut kemampuan. Sebarang aktiviti cergas akan memberi manfaat menyeluruh kepada tubuh. Aktiviti fizikal akan merangsang aliran darah ke seluruh badan termasuk otak. Ini akan membantu fungsi otak.

Bagi kebanyakan individu dewasa disarankan bersenam selama sekurang-kurangnya 150 minit seminggu (senaman dengan intensiti sederhana seperti berjalan cepat atau menari aerobik) atau 75 minit seminggu untuk senaman berintensiti tinggi (berjoging). Jika tiada masa, bahagikan rutin senaman anda kepada beberapa sesi. Paling penting, jadikan senaman ini sebagai ubat wajib yang perlu diambil setiap hari!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 1:19 PM