VITAMIN D diperoleh melalui cahaya matahari ketika aktiviti mendaki memberi manfaat untuk kesihatan tulang.
VITAMIN D diperoleh melalui cahaya matahari ketika aktiviti mendaki memberi manfaat untuk kesihatan tulang.
Muhamaad Razis Ismail


DUNIA sudah berubah secara drastik sejak pandemik Covid-19. Bekerja dari rumah menjadi norma baharu bagi ramai orang dan media sosial, e-mel serta kesibukan memenuhi tuntutan hidup seharian menyebabkan kita lebih tertekan.

Pengerusi Institut Herbalife, Dr David Heber berkata, membebaskan diri daripada teknologi dan mendekatkan diri dengan keindahan alam pada hakikatnya boleh memulihkan tenaga minda.

"Aktiviti mendaki sambil menikmati keindahan alam ialah cara sihat untuk menghirup udara segar. Tambahan pula di Malaysia mempunyai banyak laluan mendaki yang boleh dijelajahi.

"Beberapa kajian mendapati terdapat manfaat sebenar keluar rumah dan berjalan menyusuri denai untuk kesihatan secara umumnya," katanya.

Berikut empat manfaat mendaki dan bersenam terhadap kesihatan anda:

1. Membina kepadatan tulang

Mendaki adalah senaman yang memikul beban. Ini bermaksud tulang dan otot bekerja lebih keras menentang graviti. Pergerakan seperti ini membantu badan membina atau mengekalkan kepadatan tulang terutama ketika usia semakin meningkat.

Kajian mendapati kepadatan tulang merosot satu peratus setahun selepas usia 40 tahun. Aktiviti mendaki boleh memberikan kesan positif untuk menangani masalah ini.

Piramid Aktiviti Fizikal Kementerian Kesihatan Malaysia mengesyorkan senaman fizikal 30 minit sehari seperti berjalan pantas dan mendaki, lima hingga enam kali seminggu. Sebagai bonus tambahan, aktiviti mendaki memberi dos vitamin D melalui pendedahan kepada cahaya matahari. Vitamin D penting untuk penyerapan kalsium yang diperlukan untuk kesihatan tulang.

2. Meningkatkan kualiti tidur

Mendaki sambil mendekati alam bukan sahaja mendorong anda tidur sebentar untuk pulih selepas penat berjalan, malah kajian terbaharu mendapati aktiviti ini boleh meningkatkan kualiti tidur secara keseluruhan.

Kajian pada 2017 diterbitkan dalam Current Biology, penyelidik daripada Universiti Colorado Boulder Kenneth Wright mengukur kitaran tidur subjek sebelum dan semasa aktiviti perkhemahan hujung minggu.

Melalui aktiviti ini, peserta terdedah kepada cahaya semula jadi (bukan elektronik), paras melatonin mereka meningkat dan 'jam' dalaman mereka berganjak lebih awal. Kajian mendapati berada dalam persekitaran semula jadi membantu kita beralih kepada kitaran tidur yang semula jadi.

3. Meningkatkan kebahagiaan

Senaman fizikal menggalakkan pembebasan endorfin, bahan kimia dalam otak yang mencetus

perasaan positif. Aktiviti mendaki boleh menceriakan perasaan lebih daripada berjalan kaki biasa mengelilingi taman perumahan.

Penyelidik Universiti Stanford Gregory Bratman menjalankan kajian terhadap kumpulan yang berjalan kaki selama 50 minit di sekitar kawasan hutan kecil atau kumpulan yang berjalan kaki di atas jalan berturap. Hasil penyelidikan mendapati mereka yang berjalan kaki dalam persekitaran semula jadi mengalami kurang keresahan, tidak berfikir secara berlebihan dan juga emosi lebih positif berbanding pejalan kaki di sekitar kawasan bandar.

Anda mahu menambah keceriaan ketika bersenam? Ajak beberapa rakan anda untuk mendaki bersama anda. Interaksi sosial, terutama dengan insan yang rapat dengan anda ramuan penting untuk mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan.

4. Mengatasi kemurungan

Menurut satu tinjauan kritikal terhadap 61 kajian, terdapat hubung kait antara kemurungan dan kekurangan vitamin D. Mereka yang mempunyai tahap vitamin D paling rendah mempunyai risiko kemurungan paling tinggi.

Gejala kekurangan vitamin D termasuk kelesuan, kerap jatuh sakit, penyembuhan luka yang perlahan dan/atau kesakitan otot dan kemurungan. 'Pesakit' kurang mengalami gejala kemurungan selepas menerima rawatan bagi kekurangan Vitamin D.

Dalam satu lagi kajian, penyelidik Stanford mendapati bahawa mereka yang berjalan sambil menikmati keindahan alam semula jadi selama 90 minit mencatatkan peningkatan aktiviti korteks prafrontal subgenual iaitu bahagian otak yang dikaitkan dengan kemurungan dan keresahan apabila tidak diaktifkan. Kajian mendapati aktiviti mendaki memberikan kesan positif terhadap perasaan atau mood.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 6:55 AM