MCKELLEN berjaya satukan dua karakter dalam satu emosi.
MCKELLEN berjaya satukan dua karakter dalam satu emosi.
ANTARA babak dalam Mr Holmes.
ANTARA babak dalam Mr Holmes.
ANTARA babak dalam Mr Holmes.
ANTARA babak dalam Mr Holmes.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Selepas cemerlang menerusi beberapa filem arahannya sebelum ini seperti Dreamgirls dan The Twilight Saga: Breaking Dawn, pengarah, Bill Condon muncul dengan buah tangan terbaru berjudul Mr Holmes.

Filem adaptasi novel karya Mitch Mullin berjudul A Slight Trick of the Mind ini mengambil latar 1947 sebagai nadi naratif.

Lebih menarik, filem ini menampilkan pelakon berprofil tinggi, Ian McKellen sebagai Detektif Sherlock Holmes.

Naratif sebahagian besarnya memaparkan emosi Holmes yang bergelut dengan masalah lemah daya ingatan.

Walaupun beberapa kemahiran seperti pemerhatian masih tajam, buku nota dijadikan medium untuknya menulis segala peristiwa yang pernah dilalui.

Proses mengingat semula memaksa Holmes bertarung dengan perasaan kesal dan kesepian beserta gambaran emosi yang jarang berlaku dalam sesuatu watak.

Filem ini diselang-selikan dengan dua kisah imbas semula. Pertama, ketika Holmes berada di London selepas Perang Dunia I apabila dia diupah menyelesaikan kes kehilangan Ann Kelmot (Hattie Morahan) selepas dituduh gila oleh suaminya Thomas Kelmot (Patrick Kennedy).

Kedua, ketika Holmes berada di Jepun berjumpa peminatnya, Tamiki Umezaki (Hiroyuki Sanada) untuk mencari tumbuhan abu berduri yang boleh membantu menghilangkan masalah ingatannya.

Kedua-dua senario digarap dengan baik dengan hasil tidak dijangka.

Walaupun melompat antara tiga garis masa, ia sedikit sebanyak menimbulkan persoalan di minda penonton apa berlaku seterusnya.

Mr Holmes pada asasnya penuh dengan persoalan kompleks membabitkan watak Sherlock Holmes. Namun, setiap plot dipersembahkan dengan baik oleh Ian McKellen .

Melakonkan dua watak iaitu detektif 30 tahun lebih muda dari usianya kini dan sebagai pesara detektif, McKellen berjaya menyatukan kedua-dua karakter dalam satu emosi.

Meskipun berkisar kehidupan detektif Holmes, filem ini kurang aksi sebaliknya lebih tertumpu pada kenangan penyiasat terkenal itu ketika menjalankan siasatan.

Selain watak Holmes, kekuatan jalan cerita ini turut dibantu anak beranak Munro lakonan Laura Linney dan Roger (Milo Parker).

Filem bergenre drama, misteri dan penyiasatan ini menemui penonton di seluruh pawagan tanah air semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 10:18 AM