DARI kiri, Wood, Napierski dan Dr Chang.
DARI kiri, Wood, Napierski dan Dr Chang.
MEMBERSIHKAN wajah menjadi rutin penting dan asas kulit cantik bagi lelaki dan wanita.
MEMBERSIHKAN wajah menjadi rutin penting dan asas kulit cantik bagi lelaki dan wanita.
Norlaila Hamima Jamaluddin


Masih teringat kata-kata penyanyi tersohor tanah air, Ning Baizura dalam dunia ini tiada wanita yang tidak cantik. Tanpa mengira warna kulit, bentuk muka dan badan, latar belakang atau kedudukan, semua wanita dianugerahkan dengan kecantikan tersendiri yang membuatkan setiap orang itu unik.

Apa yang membezakan seseorang ialah kerajinan dalam memelihara kecantikan yang dianugerahkan itu. Ada wanita memilih kaedah tradisional yang diwarisi turun-temurun, namun ramai selesa menggunakan cara moden yang lebih mudah dan cepat menunjukkan kesan diinginkan seperti dijanjikan.

Baik cara moden mahupun tradisional, kehadiran peralatan penjagaan kecantikan sememangnya memberi nilai tambah kepada rutin harian yang memberi sumbangan langsung dalam melancarkan proses memiliki kulit bukan saja mulus, tetapi lebih sihat dan membuatkan seseorang itu tampak awet muda.

Sasaran inilah yang cuba dicapai oleh semua jenama dalam dunia kecantikan. Lantaran itulah pelbagai produk dan peralatan penjagaan kulit hadir satu demi satu untuk memenuhi permintaan pasaran. Antara inovasi yang memberangsangkan ialah ageLOC LumiSpa daripada NuSkin iaitu alat untuk mencuci muka berteknologi tinggi.

Mungkin ada yang bertanya, apa perlunya alat mencuci muka kerana ia adalah perkara yang kita lakukan setiap hari. Benar tetapi alat yang satu ini direka dengan fungsi tambahan untuk membantu pengguna mempunyai kulit wajah yang lebih bersih, lembut, cerah dan berseri.

Berbanding membersihkan dengan jari, ageLOC LumiSpa menyingkirkan kekotoran, minyak, solekan dan toksin dengan lebih berkesan melalui getaran berputar yang mengecilkan pori.

Alat yang tampil dengan bentuk mesra pengguna ini mempunyai berus silikon lembut yang mengandungi perak antimikrob. Rekaannya yang sofistikated membantu memaksimumkan keberkesanan produk dan menjadikan kulit lebih mudah menerima produk kecantikan yang akan dioles selepas itu.

PUTARAN BERPATEN

Peluang merasai sendiri urutan manja alat ini sempena pelancarannya pada Konvensyen Sejagat Nu Skin Live! 2017 yang diadakan di Salt Lake City, Utah baru-baru ini memang mengujakan.

Mana tidaknya, walaupun hanya 30 saat, urutan daripada berus silikon yang dilengkapi teknologi Micropulse Oscillation (gerakan putaran berdenyut) berjaya membuatkan kulit terasa lebih lembut dan licin.

Melalui dua putaran berpaten yang berlawanan arah, berus lembut silikon itu menghasilkan getaran untuk merangsang pembaharuan kulit melangkaui bahagian yang diurut. Ini bermakna, manfaat urutan turut dirasai oleh sel kulit yang berhampiran.

Menurut Ketua Pegawai Saintifik Nu Skin Dr Joseph Chang, alat pembersih berinovasi ini dihasilkan untuk kegunaan lelaki dan perempuan dalam membantu mengekalkan keremajaan kulit dengan mengurangkan tanda halus penuaan.

“Ia bukan sekadar alat pencuci wajah tetapi lebih kepada sistem pembersihan dan rawatan wajah kerana dilengkapi dengan empat jenis buih pembersih yang direka khusus untuk kulit kering, normal atau kombinasi, berminyak dan sensitif.

“Dalam dunia sekarang, semua orang baik lelaki atau perempuan mahukan kulit wajah yang sihat, segar, lembut dan tampak awet muda dengan cara yang ringkas tetapi selamat.

“Apabila menghasilkan satu-satu produk, kami sentiasa memikirkan keperluan pengguna yang berubah dari semasa ke semasa. Baik lelaki atau wanita, rata-rata pengguna kini hidup dalam rutin yang sibuk dan mereka mahukan produk yang berkesan.

“Keperluan inilah yang menggerakkan saintis untuk lebih memahami mengenai proses penuaan hingga ke peringkat selular. Dari situlah kami mula membangunkan produk antipenuaan untuk semua peringkat umur melalui teknologi yang dipanggil ageLOC,” katanya.

Menepati gaya hidup kini yang sentiasa mengejar waktu, penggunaan gajet praktikal ini akan menjimatkan masa. Sistem pembersihan dan rawatan ini hanya perlu digunakan dua minit, dua kali sehari pada waktu pagi dan malam.

Pada waktu pagi, penggunaannya membuatkan kulit berasa lebih segar, lembut dan berseri. Kegunaan pada waktu malam pula membersihkan kulit dengan lebih dalam, mengurut dan melegakan tekanan yang dialami kulit.

Selain menanggalkan sel kulit mati, urutan lembut itu juga merangsang pembaharuan sel kulit yang sekali gus menghasilkan kulit yang lebih cerah dan gebu. Bahkan ia kalis air dan selamat digunakan oleh wanita hamil walaupun ketika mandi.

Menariknya, di samping membersih dan memberi rangsangan kepada kulit, alat pembersihan berinovasi tinggi ini direka bagi memastikan kelembapan semula jadi terjaga supaya kulit lebih bersedia untuk menerima manfaat daripada produk penjagaan yang sekali gus membantu mengekalkan keremajaan.

Maklum balas responden yang menyertai kajian selama 12 minggu menggunakan ageLOC LumiSpa memberitahu mereka mengalami beberapa perubahan positif seperti kulit terasa lebih lembut, licin, cerah dan berseri, selari dengan nama alat itu sendiri iaitu ‘lumi’ diambil daripada perkataan ‘luminous’ (berkilau) dan spa pula menandakan pengguna boleh mendapatkan rawatan wajah sebaik yang ditawarkan di spa di rumah.

Mungkin ada yang terlintas mahu menggunakannya di badan, bagaimanapun ia tidak disarankan kerana alat ini direka khusus untuk kulit muka yang lembut dan sensitif supaya manfaat antipenuaan dapat dilihat pada wajah.

KECERGASAN KULIT

Jarang kita mendengar perlunya memberi ‘latihan kecergasan’ kepada kulit, lazimnya tumpuan lebih diberikan kepada aspek kemulusan, kecerahan dan kelembutannya. Menurut Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan Nu Skin, Dr Helen Knaggs, kita bersenam kerana tahu manfaatnya kepada badan.

Katanya, kulit juga sebenarnya mempunyai keperluan yang sama, ia sukakan ‘pergerakan’. Memberikan pergerakan dalam cara dan jumlah yang dikehendaki boleh ‘menggembirakan’ kulit, secara tidak langsung merangsang pembinaan blok protein yang diperlukan kulit dan pembaharuan sel kulit. Pergerakan yang diberikan oleh alat ini jika digunakan secara konsisten dapat membantu seseorang mempunyai kulit yang sihat, cerah dan cantik.

Walaupun ada sesetengah pihak berpendapat, urusan dan rangsangan pergerakan ini tidak banyak memberi kesan kepada kulit, namun ia terbukti boleh membuatkan kita berasa lebih tenang, segar dan selesa dengan diri sendiri. Ini adalah elemen penting yang membuatkan seseorang tampak menarik.

SAINGAN GLOBAL

Sememangnya jenama dari Amerika Syarikat ini mempunyai kedudukan yang kukuh dalam pasaran Asia khususnya China. Penjelasannya mudah, Nu Skin bukan sekadar produk kecantikan tetapi ia memberikan peluang dan pengalaman kepada masyarakat dunia untuk memperoleh pendapatan tambahan serta memperbaiki hidup khususnya bagi yang kurang berkemampuan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nu Skin Ritch Wood, selain memperbaiki kehidupan diri sendiri, jenama itu juga memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk turut serta dalam budaya berbuat baik.

“Kami menyediakan peluang yang akan memanfaatkan semua orang di seluruh dunia. Semua orang mahu nampak cantik, berasa selesa dan mempunyai kehidupan yang lebih baik. Ini boleh dicapai dengan bekerja keras seperti dilakukan pengedar dan ejen jualan langsungnya di Asia yang sekali gus mengukuhkan jenama ini di sana.

“Hidup kita akan jadi lebih baik apabila ada harapan. Apabila perniagaan kita berjaya, kita boleh membantu orang lain untuk turut berjaya. Kita tidak akan hidup senang dengan memijak peluang orang lain,” katanya.

Bagaimana pula dengan persaingan daripada pelbagai jenama antarabangsa dan kemunculan rancak jenama kosmetik tempatan?

Presiden Nu Skin Ryan Napierski berkata, kemunculan ramai usahawan muda dalam dunia kecantikan sememangnya satu perkara yang mengujakan. Seronok melihat golongan muda berniaga dan bersaing khususnya dalam era perdagangan sosial seperti sekarang.

“Sentiasa memperbaharui inovasi produk supaya ia segar dan memenuhi keperluan semasa. Inilah cara kami, selain memanfaatkan media sosial yang boleh mencapai pasaran lebih luas dalam memperkenalkan kebaikan produk kami. Media sosial membenarkan komunikasi dengan pelanggan menjadi lebih mudah, namun kami tidak nafikan harus mencari jalan supaya sentuhan personal seperti yang dijalankan sekarang dapat diteruskan.

“Apa pun sebagai pengguna, kita perlu berhati-hati sebelum menyapukan sebarang produk pada kulit apatah lagi yang masuk ke dalam badan. Dalam hal ini, Nu Skin berbangga kerana mempunyai kajian sains terperinci untuk setiap produk, daripada cara ia dihasilkan, bahan digunakan, kesannya kepada kulit dan keberkesanannya. Kami mahukan yang terbaik sahaja kerana kami sendiri menggunakannya.

“Inilah kriteria paling penting dalam memenuhi keperluan pengguna yang semakin bijak sekarang. Mereka ada pengetahuan mengenai bahan yang digunakan dalam produk dan ini memberikan kami satu kelebihan,” katanya.

Menurut Dr Chang, memang fitrah manusia ingin kelihatan cantik dan berasa selesa dengan diri sendiri, tidak kira mengira jantina mahupun batas usia.

“Sebenarnya setiap orang mempunyai alat paling baik untuk melihat sama ada satu-satu produk itu berkesan atau tidak, iaitu cermin. Gunakan ia untuk melihat kesannya pada diri sendiri.

“Tidak kira apa pun produk digunakan, ada satu perkara penting untuk diberikan perhatian iaitu nutrisi. Nutrisi yang cukup memberi kesan langsung kepada kecantikan supaya kecantikan itu boleh dari dalam. Kita tidak pernah nampak orang sakit yang kelihatan cantik, bukan?” katanya sambil tersenyum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 12:52 PM