UBAH konsep daripada hendak kurus kepada hendak sihat.
UBAH konsep daripada hendak kurus kepada hendak sihat.
Hajahfarhana Tarmudi

2017 sudah hampir sampai ke penghujungnya. Rasanya masih banyak azam yang tidak tercapai khususnya impian untuk menguruskan badan. Biarkan hanya ting­gal dua bulan, tetapi belum terlambat untuk memulakan usaha itu kerana banyak perkara boleh dicapai dalam tempoh 60 hari.

Bagi kelompok yang dalam fasa menurunkan berat badan, dugaan memang banyak terutama daripada kawan-kawan yang mengajak kita makan. Antara ayat biasa yang kita dengar ialah ‘sekali saja, tidak akan beri kesan pun pada berat badan’ atau ‘makanlah, anggap ia hari mengelat awak!’. Istilah hari mengelat atau ‘cheat day’ memang popular dalam kalangan orang yang berdiet. Pada hari ini mereka boleh menikmati makanan tertentu bagi melepaskan keinginan.

Pakar Nutrisi dan Fisiologi Senaman merangkap Pensyarah Fakulti Pusat Sukan Universiti Edith Cowan Australia Dee Dee Mahmood berkata, sebenarnya hari mengelat ini tidak perlu kerana mengikut amalan pemakanan sihat, kita boleh apa saja makanan setiap hari, dengan syarat dalam kuantiti kecil, namun pastikan pilih makanan seimbang dan menyihatkan.

“Makan hidangan pencuci mulut tidak akan menggemukkan jika kita konsisten bersenam dan menjaga makanan seharian agar kekal seimbang serta berkhasiat.

“Ada kalanya hari me­ngelat akan menyukarkan kita. Ini kerana jika kita mengekang selera secara keterlaluan, bimbang akan terjadi satu hari, makanan yang tidak boleh dimakan menjadi menu yang sangat diinginkan.

“Itulah yang cuba dielakkan kerana ia boleh menyebabkan kita makan secara berlebihan dan selalunya perkara berkenaan menjadikan diet dengan hari mengelat ini gagal,” katanya.

Dee Dee yang menjalankan bengkel Pengurusan Berat Badan dan Kecergasan di MURFEST bermula 3 hingga 5 November ini turut menambah, untuk berjaya dalam usaha menurunkan berat badan, fokus harus diubah.

Katanya, ubah konsep daripada ‘hendak kurus’ kepada ‘hendak sihat’ kerana ia secara tidak langsung akan memudahkan kawalan pemakanan, merangsang semangat untuk bersenam dan akhirnya memberi kesan besar kepada penjagaan berat badan.

Selalunya, kita gagal dan menjadi kurang yakin terhadap diri sendiri untuk terus komited dalam usaha menurunkan berat badan kerana kita sering kali gagal.

Bagaimanapun Dee Dee tidak melarang jika ada yang mahu memasukkan hari mengelat dalam program penurunan berat badan mereka. Apa yang penting, setiap individu itu perlu ada disiplin untuk meneruskan usaha mendapatkan berat badan ideal dan meningkatkan tahap kesihatan.

Ada banyak artikel yang membincangkan isu hari mengelat ini. Namun rata-rata menyebut, hari mengelat ini ada kebaikan tersendiri khususnya dalam merancang strategi menurunkan berat badan. Kebanyakan orang memberikan kelonggaran pada diri sendiri dengan mempunyai satu hari mengelat dalam seminggu.

Antara kebaikan hari mengelat ialah:

• Ia membuatkan seseorang berasa puas. Hari mengelat bukan satu kemestian kerana jika mengamalkan pemakanan sihat ia tidak diperlukan. Bagaimanapun hari mengelat ini membantu mengurangkan rasa teringin terhadap satu-satu makanan. Seseorang itu tidak lagi asyik memikirkan makanan kegemarannya ketika berdiet. Namun dinasihatkan, pilihlah sajian dalam versi sihat.

• Mengelakkan kebosanan terhadap makanan yang boleh mempengaruhi mental dan fizikal, terutama bagi individu yang berdiet dalam tempoh panjang. Kebosanan adalah faktor penting yang boleh menyebabkan usaha anda gagal.

• Insentif untuk diri sendiri. Berdasarkan ulasan yang disiarkan dalam Jurnal of the Academy of Nutrition and Dietetics pada 2014, pemberian insentif kepada diri sendiri ini boleh menjadi strategi berkesan untuk menguruskan badan. Bagaimanapun insentif ini tidak semestinya dalam bentuk makanan. Anda boleh memberi hadiah kepada diri sendiri dalam bentuk barangan.

• Memberi nutrisi kepada badan. Tahniah diucapkan kepada golongan yang mendapatkan nasihat pakar pemakanan dan nutrisi untuk menurunkan berat badan. Bagi yang merancang corak pemakanan sendiri berdasarkan pembacaan, ada kemungkinan berlaku keadaan kekura­ngan zat dalam tempoh ini.

Hari mengelat membolehkan badan mendapat nutrisi yang dikeluarkan daripada diet. Jika anda mengehadkan diet kepada ikan atau ayam tanpa kulit, pada hari mengelat ini anda boleh menikmati hidangan berasaskan daging.

• Waspada makanan manis. Walaupun pada hari mengelat ini anda boleh menikmati apa saja, tetapi banyak artikel mengingat­kan supaya berwaspada dengan makanan yang sarat gula. Makanan manis boleh membuatkan anda ketagih dan inilah sebabnya mengapa ramai yang gagal mengawal pengambilan gula harian mereka dan ia akan mensabotaj usaha untuk menurunkan berat badan.

Antara contoh makanan yang mengenyangkan dan tidak berkalori tinggi untuk membantu mengurangkan berat badan:

• Dada ayam panggang

• Sayur-sayuran yang di kukus atau ulam-ulaman

• Ikan terubuk dibakar kering

• Buah-buahan selain avokado dan durian

• Ikan salmon Norway, trout dan tuna

• Roti bijirin penuh

• Beras perang

• Kurangkan memakan makanan segera, makanan yang diproses seperti sosej kerana proses pengawetannya memerlukan penggunaan garam, gula dan lemak yang berlebihan. Bukan saja makanan ini berkalori tinggi tetapi ia juga akan boleh menyebabkan tegasan air yang membebankan ginjal.

• Minum air sekurang-kurangnya lapan hingga 12 gelas setiap hari. Air mengandungi 0 kalori dan tidak menggemukkan. Kekurangan air di dalam tubuh boleh menyebabkan kita sukar untuk menurunkan berat badan kerana proses pembakaran lemak memerlukan status hidrasi yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 3:00 PM