PEMBUNGKUSAN dilakukan dengan teliti untuk kekalkan kesegaran makanan.
PEMBUNGKUSAN dilakukan dengan teliti untuk kekalkan kesegaran makanan.
MENU sihat untuk tiga pelan keluaran EZ Diet.
MENU sihat untuk tiga pelan keluaran EZ Diet.
PEKERJA melakukan pembungkusan sambil dipantau Mohd Zulkarnain.
PEKERJA melakukan pembungkusan sambil dipantau Mohd Zulkarnain.
Siti Zarinah Sahib

Bermula sejak enam bulan lalu, Rosni Ahmad, 30, tidak lagi turun makan di gerai di belakang pejabat sebaliknya hanya memanaskan bekalan yang dibawa dari rumah.

Dalam masa tidak sampai lima minit makanan yang dipanaskan di dalam ketuhar sedia untuk dimakan. Selain rasanya yang enak ia juga menyihatkan kerana mengandungi semua nutrisi diperlukan tubuh dan dimasak tanpa menggunakan minyak.

Lebih penting dia yang memiliki berat badan mencecah 80 kilogram (kg) kini mampu tersenyum ceria apabila berat badan berkurangan sehingga 65kg sejak mengikuti pelan makanan disyorkan EZ Diet. Jelas Rosni sekarang dia memahami mengapa pemakanan sangat penting untuk mereka yang ingin mengurangkan berat badan.

Walaupun terdapat trend dalam pola pemakanan rakyat Malaysia menginginkan makanan berkhasiat dan rendah kalori, ramai tidak sanggup menyediakannya setiap hari kerana kekangan masa selain kos yang agak tinggi. Ditambah pula dengan pemilihan bahan mentah organik yang sukar diperoleh menyebabkan ramai memilih untuk mendapatkannya menerusi pembelian dalam talian.

Antaranya adalah portal dalam talian EZ Diet yang menyediakan penghantaran makanan sihat sama ada untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan serta menjalani gaya hidup sihat.

Mempunyai 103,000 pengikut di laman Instagram, pengasas dan Pengarah EZ Diet Mohd Zulkarnain Zainal memberitahu, perniagaan yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu adalah refleksi kepada keadaan dirinya yang mempunyai masalah berat badan dan sejarah keluarga menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis serta jantung.

“Saya mempunyai berat badan 100kg ketika itu. Risau dengan risiko penyakit saya berusaha menurunkan berat badan menerusi senaman dan pengambilan makanan kesihatan. Tetapi kedua-duanya tidak berhasil. Semakin bersenam menyebabkan saya makan lebih banyak tanpa mengira jumlah kalori. Makanan tambahan juga langsung tidak membantu.

“Saya mengambil jurulatih peribadi dan dia beritahu saya perlu menjaga makan de­ngan hanya mengambil makanan sihat. Menurut jurulatih, dalam masa setahun setengah, berat saya berjaya diturunkan sehingga 70kg.

“Dari situ, timbul idea untuk memulakan perniagaan makanan bagi membantu individu yang ingin kurus dan sihat serta mendapatkan makanan pada harga berpatutan,” katanya yang menjalankan perniagaan bersama dua lagi rakan kongsi.

Sering mengunjungi luar negara, Zulkarnain juga turut terkesan apabila masyarakat di luar terutama Jepun dan Korea dididik sejak kecil mengenai makanan berkhasiat. Tertarik dengan moto Anda Adalah Apa Yang Anda Makan, EZ Diet bukan saja menyediakan makanan secara lebih mudah dengan penghantaran sehingga ke hadapan pintu tetapi turut menyediakan menu sarapan, hidangan tengah hari dan malam untuk tempahan mingguan dan juga bulanan.

PELAN MAKANAN EZ DIET

Beroperasi di Dataran Palma, Ampang, Sela­ngor, pelan makanan yang ditawarkan EZ Diet merangkumi tiga jenis iaitu pemakanan bagi mengurangkan berat badan, pemakanan eksekutif dan makanan harian.

Ketiga-tiga mempu­nyai perbezaan tersendiri, pelan makanan harian untuk hidangan tengah hari dan malam manakala eksekutif untuk hidangan membabitkan sarapan, menu tengah hari dan malam.

“Bagi mereka pertama kali mencuba dicadang­kan mengambil pelan makanan harian yang menyediakan pek makan tengah hari dan malam manakala pelan pemakanan eksekutif membabitkan sajian sarapan, tengah hari dan malam selama lima hari dengan nilai kalori 1,500 disesuaikan untuk keperluan tubuh,” katanya.

Untuk pelan ini ia membabitkan hidangan bernutrisi mengandungi karbohidrat, protein dan vitamin serta dimasak menggunakan teknik bakar, panggang, rebus dan kukus sahaja tanpa menggunakan minyak.

Menerusi pelan mengurangkan berat badan pula pelanggan akan dibekalkan dengan menu rendah kalori dan rendah karbohidrat bagi meng­galakkan pembakaran lemak membabitkan sarapan pagi, makan tengah hari dan malam serta dua sajian snek selama tujuh hari. Pelan ini sangat istimewa kerana ia membantu pelanggan meningkat­kan kadar metabolisme dengan menggalakkan amalan makan secara kerap tetapi dalam kuantiti yang sedikit.

“Pelanggan tidak boleh memilih hidangan sebaliknya kami sudah menyediakan menu berbeza pada setiap minggu. Untuk setiap pek disertakan bersama label bagi mendisiplinkan mereka agar mematuhi waktu makan sekali gus mengelakkan mengambil sajian pada waktu yang tidak sepatutnya. Label turut menyatakan maklumat nutrisi termasuk jumlah kalori,” katanya yang mencadangkan agar pelanggan menghabiskan hidangan yang disediakan.

Makanan disediakan juga bukan sambil lewa sebaliknya dipantau dan dikeluarkan oleh perunding diet bertauliah kemudian diolah agar mempunyai enak dan bersesuaian dengan cita rasa tempatan.

Bagi mengelak rasa jemu berdepan makanan yang sama, setiap menu ditukar pada setiap enam bulan. Antara yang menjadi kesukaan pelanggan adalah roti gandum penuh dengan kacang panggang, sandwic tuna, ikan salmon panggang bersama salad, ayam masala dan ikan stim halia. Namun begitu tidak terhad kepada pilihan menu barat sahaja, sebaliknya EZ Diet turut menyediakan sajian tradisi yang diolah agar boleh diterima pelanggan.

Bagi menjaga kualiti makanan, menu yang siap dimasak akan dibungkus secara vakum dan disimpan di dalam pendingin. Keesokan harinya, pek makanan terus dihantar kepada pelanggan yang bukan saja berada di sekitar Lembah Klang tetapi juga di Johor, Pulau Pinang, Ipoh dan Sungai Petani.

Pelanggan hanya perlu menyimpan makanan di dalam peti ais dan ia boleh dimakan selepas dipanaskan menggunakan ketuhar dan tahan dalam tempoh seminggu selepas tarikh penghantaran.

Mengakui pelanggan terdiri daripada 90 peratus wanita dan 10 peratus lelaki, ia tidak terhad kepada mereka yang ingin berdiet sebaliknya ramai yang menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Selain penghantaran makanan sihat EZ Diet turut mengeluarkan makanan tambahan bagi membantu meningkatkan tenaga dan metabolisme iaitu Thermo Thunder serta makanan tambahan berasaskan kolagen. Untuk maklumat lanjut mengenai makanan sihat boleh melayari laman sesawang www.ezdiet.com.my atau Instagram, @ezdiet.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 12:51 PM