Siti Zarinah Sahib


RAMAI wanita teruja apabila selebriti Lisa Surihani memberitahu dia mengamalkan ‘intermittent fasting’ atau puasa bersela sehingga mampu mencapai berat badan ideal serta bentuk tubuh seperti sebelum melahirkan anak.

Hasilnya ramai yang mula mencari apakah puasa bersela dan bagaimana ia dilakukan dengan harapan dapat mengikuti cara pemakanan dilakukan pelakon dan pengacara jelita itu.

Menurut pakar pemakanan, Nurul Zulaika Habib Rahman, puasa bersela adalah pola pemakanan dengan tidak mengira jumlah kalori makanan sebaliknya memberi tumpuan kepada bila masa seseorang itu patut makan.

“Dalam erti kata lain ia amalan puasa yang membenarkan perut dan usus berehat daripada makanan dalam tempoh 14 hingga 16 jam manakala baki lapan jam lagi digunakan untuk makan,” katanya.

Katanya, ada tiga jenis puasa bersela yang popular dan tidak terlalu membebankan iaitu:

1. Puasa 16:8

Kaedah ini paling popular dan mudah diamalkan. Caranya dalam tempoh 24 jam, 16 jam digunakan untuk berpuasa, manakala baki lapan jam dibolehkan untuk makan apa sahaja.

Sebagai contoh, jika waktu terakhir anda makan sekitar jam 8 malam, maka selepas itu anda perlu berpuasa sehingga jam 12 tengah hari keesokan harinya.

Jadi bermula jam 12 tengah hari anda boleh makan sehingga jam 8 malam hari terbabit dan anda perlu berpuasa lagi pada hari berikutnya dan begitulah seterusnya.

Berbeza dengan puasa sebenar apabila anda tidak dibenarkan makan dan minum tetapi ketika puasa bersela anda boleh mengambil minuman tanpa kalori seperti air kosong, teh atau kopi tanpa gula.

2. Puasa 5:2

Kaedah ini membolehkan anda makan seperti biasa selama lima hari dan dua hari lagi anda perlu berpuasa dan mengambil makanan dengan kalori serendah 500 kkal sahaja. Anda boleh berpuasa pada Isnin atau Khamis sebagaimana puasa sunat yang menjadi amalan Nabi Muhammad SAW.

3. Puasa berselang

Kaedah ini membabitkan puasa secara berselang-seli iaitu puasa pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad. Pada hari anda berpuasa, nilai kalori makanan yang boleh diambil hanya 500 kkal atau 600 kkal sahaja dalam sehari. Pada hari tidak berpuasa pula anda boleh makan seperti biasa. Amalan ini sama dengan puasa Nabi Daud iaitu selang sehari.

BERKESAN ATAU TIDAK?

Jelas Nurul Zulaika, tiada kajian terperinci dilakukan ke atas manusia cuma kaedah ini pernah diuji pada tikus makmal. Memang ada kesannya tetapi untuk jangka masa panjang, ia bergantung kepada kesungguhan individu itu sendiri.

“Apabila kita tidak makan dalam tempoh tertentu, badan akan membakar lemak sebagai sumber tenaga. Hasilnya, ia akan mengurangkan berat badan. Namun dalam tempoh yang panjang berkemungkinan berat badan akan kekal sama,” katanya.

Katanya, keistimewaan pola pemakanan sebegini kerana ia tidak terlalu ketat. Berbeza dengan diet sebenar, individu yang berdiet tidak dibenarkan mengambil makanan tertentu. Jadi sudah tentu ia membosankan dan sukar diikuti terutama mereka yang baru bermula.

“Akhirnya individu yang berdiet akan makan seperti biasa disebabkan tidak dapat menahan nafsu. Berbeza dengan puasa bersela kerana pengamal boleh memilih kaedah yang mereka inginkan. Mereka juga boleh mengambil sebarang makanan asalkan mengikut piramid makanan dengan mengurangkan garam, gula dan lemak,” katanya.

Namun tidak semua orang boleh melakukan pola puasa bersela terutama mereka yang sedang mendapatkan rawatan secara klinikal seperti pesakit diabetes, darah tinggi dan masalah jantung kerana perlu makan mengikut waktu yang ditetapkan.

“Wanita hamil, ibu menyusukan anak dan sedang merancang untuk mendapatkan cahaya mata juga tidak digalakkan mencuba kerana mereka memerlukan nutrisi secukupnya untuk keperluan tubuh. Remaja juga begitu yang memerlukan kalori untuk tumbesaran,” jelasnya.

Untuk lebih berkesan pengamal pola pemakanan ini dinasihatkan melakukan senaman lima kali seminggu selama sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi kerana gabungan kedua-duanya akan membantu menurunkan berat badan dengan lebih cepat.

“Antara senaman yang ideal ialah berjoging, berjalan laju, berenang atau berbasikal,” katanya.

PANDUAN PUASA BERSELA:

1. Banyakkan minum air putih untuk mencegah dehidrasi.

2. Amalkan berpuasa pada waktu malam kerana masa tidur akan lebih memudahkan anda melewati waktu tanpa makanan.

3. Beritahu minda bahawa tempoh berpuasa adalah masa untuk merehatkan sistem pencernaan daripada makanan.

4. Mulakan masa berhenti makan ketika anda sibuk dengan rutin seharian agar lebih mudah untuk mengalihkan perhatian.

5. Iringi puasa bersela dengan rutin senaman secara konsisten tiga hingga lima kali seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 5:15 AM
KAEDAH rehatkan perut daripada makanan dalam tempoh 14 hingga 16 jam.
KAEDAH rehatkan perut daripada makanan dalam tempoh 14 hingga 16 jam.