PELAJAR SMK Puteri Ampang menunjukkan cara untuk ‘Move’ dalam program senaman di sekolah mereka.
PELAJAR SMK Puteri Ampang menunjukkan cara untuk ‘Move’ dalam program senaman di sekolah mereka.
Norlaila Hamima Jamaluddin


Pembabitan rakyat Malaysia dalam aktiviti kecergasan semakin membanggakan termasuk dalam kalangan pelajar sekolah. Tahun ini program Anugerah 3K anjuran bersama Dutch Lady Malaysia dan Kementerian Pendidikan mencatat sejarah apabila buat julung kalinya penyertaan meningkat empat kali ganda sejak ia dilancarkan.

Program Anugerah 3K yang dinamakan semula sebagai Projek Khas Drink.Move.Be Strong adalah inisiatif Dutch Lady Malaysia dalam mencegah dan menangani penyakit tidak berjangkit dalam kalangan generasi muda.

Peningkatan penyertaan tahun ini merupakan lanjutan pengaktifan program di peringkat negeri, di mana sekolah bersaing untuk bertanding di peringkat kebangsaan.

Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Saw Chooi Lee berkata, projek ini adalah kempen kesihatan yang menyokong pengambilan khasiat susu sebanyak dua gelas sehari dan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam untuk melakukan aktiviti fizikal.

“Kami berbesar hati dan berbangga dapat bekerjasama dengan kementerian sejak 2015 untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar sekolah. Kami juga gembira dapat menyumbang tenaga dalam menangani isu penyakit tidak berjangkit dalam kalangan generasi muda menerusi pembabitan khusus menerusi projek ini,” katanya.

Bagi kawasan Lembah Klang, SK Kampong Medan dan SMK Kota Kemuning muncul juara bagi kategori Anugerah 3K di Selangor; SK Putrajaya Presint 9 (2) dan SMK Putrajaya Presint 14 (1) memenangi tempat pertama bagi kategori yang sama di Putrajaya; manakala SK Taman Koperasi dan SMK Puteri Ampang menjadi juara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. SMK Puteri Ampang juga adalah johan negeri bagi kategori Drink dan Move, manakala SMK Sinar Bintang berjaya memenangi kategori Be Strong.

Menurut Pengetua SMK Puteri Ampang, Zahariah Abdul Halim, beliau berbangga dengan pencapaian pelajarnya yang menunjukkan komitmen dalam aktiviti yang dianjurkan.

“Kami mengadakan pelbagai aktiviti dan acara untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar sekolah, seperti mengatur ceramah, aktiviti kokurikulum dan juga mengundang personaliti terkenal untuk memberikan kata-kata perangsang bagi menyokong usaha mendidik dan memupuk amalan sihat seimbang dengan pengambilan nutrisi baik berserta aktiviti fizikal,” katanya.

Pengaktifan program Anugerah 3K dan projek Khas Dutch Lady Drink.Move.Be Strong peringkat negeri berlangsung pada Mac hingga Mei 2017 manakala majlis penyampaian hadiah di setiap negeri dilakukan selepas Mei. Sekolah pemenang peringkat negeri kemudian layak bertanding di peringkat kebangsaan di mana keputusan akhir bakal diumumkan pada 30 Oktober 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 11:51 AM