AKSESORI bayi dijual pada harga lebih murah.
AKSESORI bayi dijual pada harga lebih murah.

Mengembangkan butik keperluan bayi cukup sinonim dengan minat wanita, terutama yang sudah bergelar ibu. Tidak kira memiliki premis atau bersandarkan model perniagaan dalam talian, peluang bisnes sebegini memang cukup disukai kaum hawa.

Masakan tidak, fesyen, warna, fabrik dan corak umpama nadi yang menghidupkan hari wanita. Untuk anak, segalanya perlu cantik, kemas bergaya. Waima tidak mampu, memadai jika dapat menyediakan yang terbaik untuk si manja tersayang.

Begitupun, tidak bermakna lelaki jauh daripada rasa yang sama. Naluri seorang bapa kadangkala menjadikan mereka lebih hebat menguruskan anak dan keluarga, hinggalah kepada perniagaan berasaskan keperluan bayi.

Bertemu pemilik butik Mom’s House, Hilmi Hamid, siapa sangka bapa kepada dua anak ini mempunyai bakat besar dalam meluaskan perniagaan berasaskan keperluan ibu dan bayi.

Isteri tercinta ibarat rakan kongsi dalam membina hidup, keluarga dan perniagaan. Kedua-duanya bukan setakat berpadu bakat dan kelebihan, malah saling toleransi dalam tugas dan tanggungjawab.

Menurut Hilmi, dia cukup seronok mengurus dan mengendalikan perniagaan yang daripada pandangan kasar umum dimonopoli wanita dan Melayu.

“Kami bermula di Alam Avenue, Shah Alam dan kini membuka cawangan baru di Setia Alam. Konsep di sini (Setia Alam) lebih santai dan tenang kerana saiz butik yang luas dan lapang.

“Anak boleh dilepaskan bermain bebas kerana kami mengamalkan syarat membuka kasut. Sementara ibu bapa pula boleh bersantai bebas di sudut tertentu sambil memilih keperluan mereka,” katanya.

Jelas Hilmi, dia sedaya upaya menerapkan kaedah paling santai untuk jaminan keselesaan bagi setiap pelanggan yang datang ke butiknya.

“Jika orang lain lebih suka menjalankan perniagaan secara terus, kami pula mendahulukan khidmat pelanggan untuk mendidik ibu bapa mengenai asas, penjagaan dan keperluan bayi.

“Bermula dari fasa mengandung, berpantang, menyusukan hinggalah membesarkan bayi, kami bersedia membantu ibu bapa mendapatkan yang terbaik. Usah bimbang dengan harga kerana ia bermula daripada paras mampu milik sehingga kepada variasi mewah,” katanya.

KONGSI PENGETAHUAN

Menyedari ramai ibu bapa baru yang masih samar-samar dengan ilmu asas dan keperluan bayi, Hilmi mengambil inisiatif mengembangkan segmen informasi produk untuk panduan setiap pelanggannya.

“Saya selalu mengingatkan pekerja supaya mengutamakan pengetahuan ibu bapa terlebih dulu sebelum memberi mereka ruang untuk membuat pilihan. Di sini, ramai kaum ibu datang untuk mendapatkan khidmat nasihat dari segi penggunaan pam menyusu dan jenis bersesuaian dengan keperluan serta kehendak peribadi mereka.

“Kalau di luar, ibu mungkin hanya boleh menilai kesesuaian produk daripada label, gambar atau melihat sampel menerusi almari kaca, di sini kita beri mereka ruang untuk mencuba.

“Melalui cara ini, mereka boleh memilih produk yang tepat dan bersesuaian dengan keperluan serta bajet. Paling penting, mereka boleh berbelanja dengan bijak tanpa perlu membazir pada masa akan datang.

“Paling penting khidmat nasihat dan cadangan yang kita beri adalah percuma. Sekurang-kurangnya mereka faham fungsi dan keperluan, walaupun pada akhirnya nanti tidak jadi membeli,” katanya.

Selain jualan di premis, Hilmi berkata, pelanggan yang jauh juga boleh mendapatkan keperluan menerusi kedai dalam talian di Facebook dan Instagram.

“Saya percaya, kepuasan berniaga bukanlah pada untung semata-mata. Kalau setakat hendak menjual, mungkin pelanggan akan datang sekali dan pergi. Jadi, apabila kita bawakan perkongsian dengan pelanggan, mereka nampak lebih seronok,” katanya. -Intan Mas Ayu Shahimi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 1:15 PM