TARA (kiri) dan Natasya bergabung menghasilkan FITscarf.
TARA (kiri) dan Natasya bergabung menghasilkan FITscarf.
SESUAI untuk gaya kasual.
SESUAI untuk gaya kasual.
TUDUNG boleh dipakai ke pejabat.
TUDUNG boleh dipakai ke pejabat.
BERSUKAN lebih selesa.
BERSUKAN lebih selesa.
UNTUK semua saiz badan.
UNTUK semua saiz badan.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Langkah wanita Muslimah berhijab yang hendak bersukan tidak lagi terbatas dengan kewujudan pelbagai pilihan pakaian sesuai untuk melakukan aktiviti fizikal.

Bagi mendapat keselesaan yang diinginkan, pemilihan pakaian bermula daripada hijab, baju dan seluar, menjadi keutamaan dan lebih penting aurat tetap terjaga.

Pastinya buat mereka yang bertudung, pemilihan fabrik tudung menjadi isu utama ketika bersukan kerana pengeluaran peluh boleh menyebabkan kurang keyakinan diri kerana bimbang memberi kesan kepada bau badan.

Jelas pengasas FITscarf, Tara Malek dan Natasha Zainal yang kedua-duanya aktif bersukan, rasa panas akibat mengenakan tudung rekaan biasa menyebabkan mereka tidak selesa melakukan aktiviti disukai.

Dua sahabat baik itu pernah mengalami masalah berat badan sebelum ini dan mereka mengikuti pelbagai program kecergasan untuk menurunkan berat badan.

Ketika itulah mereka tercari-cari hijab yang selesa, cepat kering dan praktikal untuk dipakai dalam misi meneruskan perjalanan untuk kurus secara sihat dengan banyak menjalankan aktiviti luar.

Menurut Natasha, sejak hari pertama terbabit dalam aktiviti kecergasan, dia amat menitikberatkan pilihan pakaiannya terutama tudung yang digunakan untuk bersukan.

“Saya cuba beberapa tudung biasa dan akhirnya mengalami sakit kepala setiap kali selepas sesi latihan. Saya kemudian membeli beberapa tudung sukan tapi tidak menggemari rekaan dan fabrik yang digunakan.

“Semuanya bermula ketika aktiviti memanjat bukit yang menjadi rutin pagi saya dan Tara, saya meluahkan hasrat mahu memiliki tudung yang sesuai untuk latihan, berlari, memanjat dan banyak lagi.

“Kebetulan Tara sebelum ini memang berhasrat menghasilkan tudung sukan, jadi kami sepakat mengeluarkan tudung pelbagai fungsi yang bukan saja untuk aktiviti kecergasan tapi boleh dipakai ke pejabat, kasual dan mengembara,” katanya.

Menurut Tara, apabila bersukan kebanyakan wanita mahukan keselesaan di samping mengekalkan penampilan yang cantik. Pada masa sama, mereka juga mahukan pakaian yang menutup bahagian tertentu seperti dada dan punggung agar selesa bersenam tanpa rasa malu.

Menggunakan fabrik mikro serat berkualiti tinggi agar tidak mudah kusam selepas banyak cucian, ia juga ringan, tidak perlu diseterika, cepat kering dan memberi rasa sejuk ketika dipakai.

“Bukan itu saja, kehadiran bau badan juga boleh dielakkan kerana fabriknya yang menyerap peluh. Material yang digunakan itu juga membuatkan pakaian cepat kering, sekali gus memberi keyakinan kepada pemakai untuk mengenakannya sepanjang hari,” katanya.

Lebih menarik, bagi mereka yang berwajah bulat, tudung ini menggunakan teknik jahitan berganda agar wajah pemakai tampak lebih tirus.

Selain itu katanya, rekaan tudung yang berinovasi membolehkan pemakaian tanpa anak tudung tapi tidak akan menampakkan anak rambut.

“Didatangkan dengan satu saiz tapi ia padan untuk semua wanita dengan pemilihan empat warna yang mengikut trend terkini iaitu merah jambu, hitam, hijau dan kelabu.

“Manakala pada bahagian depan tudung pula direka berbentuk bulat supaya menutup bahagian depan lebih baik selain dijahit ‘piping’ eksklusif di keliling tudung untuk menambah keunikannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 1:23 PM