PELBAGAI rekaan tudung sukan buat yang mementingkan keselesaan.
PELBAGAI rekaan tudung sukan buat yang mementingkan keselesaan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Penampilan wanita berhijab ketika bersukan bukan senario asing sejak kebelaka­ngan ini malah atas kesedaran terhadap pentingnya melakukan aktiviti kecergasan, mereka kini semakin berkeyakinan untuk bersukan tidak kira di mana saja.

Bagaimanapun, pemilihan tudung dan pakaian sukan bersesuaian mungkin menjadi masalah buat mereka lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas di negara ini.

Pastinya buat mereka yang bertudung, pemilihan fabrik tudung menjadi isu utama ketika bersukan kerana peluh tidak dapat diserap dengan baik jika memilih fabrik tidak bersesuaian hing­ga menimbulkan ketidakselesaan.

Menyedari kebimbangan itu, jenama pakaian sukan V Sports Hijab by Veena Hijab and Couture mengeluarkan koleksi terkini tudung sukan yang memberi keselesaan menyeluruh menggunakan material serap peluh dan sejuk.

Menariknya, tudung sukan itu juga didatangkan dengan empat siri hijab premium iaitu Dry-Kool Victory Sports Hijab, Dry-Kool Fitness Hijab, Dry-Kool Pro Hijab dan Dry-Kool Active Hijab selain tudung sukan untuk kanak-kanak Dry-Kool Junior Hijab.

TAMPIL selesa ketika bersukan
TAMPIL selesa ketika bersukan

Pengasasnya, Veena Azmi berkata, koleksi ini didatangkan dengan lapan warna iaitu hitam, biru kelasi, merah jambu, biru diraja, kelabu gelap, biru muda, putih dan merah selain warna neon seperti merah jambu, kuning dan hijau.

Katanya, material mikro fiber khusus untuk aktiviti bersukan yang digunakan juga membuatkan hijab itu cepat meresap dan menyejat peluh selain cepat kering, tidak berbau serta ringan.

Didatangkan dengan saiz dari S hingga XL, ia memberi kelebihan untuk pemakai memilih saiz yang tepat dengan kepala dan muka untuk keselesaan maksimum.

“Bagi mendapat keselesaan yang diinginkan, pemilihan pakaian bermula daripada hijab, baju dan seluar, menjadi keutamaan dan lebih penting aurat tetap terjaga.

“Pastinya buat mereka yang bertudung, pemilihan fabrik tudung menjadi isu utama ketika bersukan kerana pengeluaran peluh boleh menyebabkan kurang keyakinan diri kerana bimbang memberi kesan kepada bau badan.

“Jika pengusaha lain cenderung dengan hanya satu rekaan tudung sukan, kami pula memberanikan diri mengeluarkan beberapa rekaan dan gaya agar memberi lebih banyak pilihan untuk pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 12:36 PM