JUSTIN Bieber
JUSTIN Bieber
Syah Rul Aswari Abdullah


KRISIS Palestin-Israel sudah memasuki bulan kedua. Sehingga Rabu lalu, jumlah korban di Gaza sudah melebihi 10,000 orang. Daripada angka itu, sekurang-kurangnya 4,000 orang adalah kanak-kanak, manakala sekurang-kurangnya 2,600 adalah wanita.

Angka ini dijangka semakin meningkat memandangkan Israel sudah memperluas operasi daratnya dan mendakwa sudah membahagikan Gaza kepada dua, Gaza utara dan Gaza selatan. Ia dalam fasa seterusnya rejim itu untuk cuba melenyapkan sepenuhnya Hamas daripada wilayah tepi pantai itu.

Tiada tanda perang ini akan berakhir dalam masa terdekat. Tidak juga nampak bayang gencatan senjata secara sementara. Ia biarpun menerima tekanan daripada masyarakat antarabangsa dan cuba dipujuk oleh sekutunya, Amerika Syarikat (AS).

JENNIFER
JENNIFER

Gesaan ini turut dinyatakan oleh selebriti antarabangsa. Ketika Gaza terus diratakan tentera zionis, satu inisiatif dikenali sebagai Artists4Ceasefire ditandatangani oleh nama-nama besar di Hollywood bagi mendesak Presiden Joe Biden supaya menggesa gencatan senjata dalam krisis Palestin-Israel.

Antara selebriti berkenaan termasuk Joaquin Phoenix, Cate Blanchett dan Susan Sarandon. Senarai itu kini semakin bertambah termasuk Drake dan Jennifer Lopez. Senarai penuh selebriti yang menyokong inisiatif ini dapat dilihat di https://www.artists4ceasefire.org/.

Di sebalik surat gesaan ini, ada juga selebriti yang dikecam kerana menyatakan sokongan secara terbuka terhadap Israel. Antaranya, Jamie Lee Curtis, Natalie Portman, Justin Bieber, Liev Schreiber, Debra Messing dan Amy Schumer.

Ia sehinggakan sesetengah daripada mereka melakukan kesilapan di tengah-tengah konflik. Bieber, umpamanya, menyiarkan foto kemusnahan di Gaza dengan kapsyen 'berdoa untuk Israel' sebelum memadamkannya, tanpa mengakui kesilapan itu.

Curtis juga memadamkan gambar yang dimuat naik mengenai kanak-kanak Palestin di Gaza dengan bendera Israel dalam kapsyen yang berbunyi 'keganasan di langit'. Dia tidak mengakui imej itu tersilap dan salah pada masa penerbitan.

Model popular, Bella Hadid pula antara selebriti paling lantang menyuarakan sokongan kepada Palestin. Bella atau nama sebenarnya Isabella Khair Hadid adalah anak kepada pemaju hartanah berketurunan Palestin, Mohamed Hadid.

DRAKE
DRAKE

Bapa Bella, Mohamed Hadid, dilahirkan di Nazareth, Palestin, pada 1948. Keluarganya adalah antara 750,000 rakyat Palestin yang melarikan diri ke Syria, pada tahun itu akibat perang Arab-Israel. Keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat ketika Mohamed Hadid masih remaja.

Selama beberapa tahun, Bella menyokong rakyat Palestin secara terbuka, bersama kakaknya yang juga model, Gigi Hadid. Pada 2021, Bella Hadid menghadiri perarakan pro-Palestin di New York, bersama teman wanita abangnya Anwar, ketika itu, Dua Lipa.

Mengatakan dia menerima 'ratusan ancaman bunuh' dan nombor telefonnya dibocorkan akibat kelantangannya, Bella menerusi Instagram (IG) berkata: "Adalah penting untuk memahami kesusahan untuk menjadi warga Palestin, dalam dunia yang melihat kami tidak lebih daripada pengganas yang menentang keamanan."

"Ia berbahaya, ia memalukan, dan ia adalah tidak benar. Terdapat krisis kemanusiaan yang mendesak di Gaza yang mesti ditangani. Peperangan mempunyai undang-undang-dan ia mesti ditegakkan, tidak kira apa pun." tulisnya.

Bella menggalakkan pengikutnya untuk 'memberi tekanan kepada pemimpin kita, di mana sahaja kita berada, tidak melupakan keperluan mendesak penduduk Gaza.'

Namun, di sebalik itu, dunia maya amat terkejut dengan hantaran dimuat naik oleh wanita yang paling diikuti di IG iaitu Selena Gomez yang menyatakan a post won't change a thing (satu hantaran tidak akan mengubah apa-apa), susulan situasi krisis Palestin- Israel ini.

Peminat yang kecewa dengan Selena susulan kenyataannya itu menghentam teruk artis ini sehinggakan dia mengumumkan untuk memadamkan akaun media sosialnya. Sehingga kini, Selena tidak berbuat demikian, namun masih menutup ruangan komen di akaun IGnya.

Penulis Penolong Pengarang Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 5:59 AM