ANWAR menunjukkan senarai pembentukan barisan Timbalan Menteri pada sidang media Pengumuman Timbalan Menteri bagi Kabinet Kerajaan Perpaduan di Putrajaya. FOTO Bernama
ANWAR menunjukkan senarai pembentukan barisan Timbalan Menteri pada sidang media Pengumuman Timbalan Menteri bagi Kabinet Kerajaan Perpaduan di Putrajaya. FOTO Bernama
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Seramai 15 muka baharu diumumkan dalam senarai timbalan menteri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Mereka adalah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh (Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Ahli Parlimen Beaufort Siti Aminah Aching (Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi).

Turut dilantik, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan); Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang (Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah); Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hing (Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) dan Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari (Timbalan Menteri Pertahanan).

Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal, yang juga adik kepada Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, juga muka baharu dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Ahli Parlimen Sarikei, Datuk Huang Tiong Sii, daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilantik Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Naib Presiden PKR, Saraswathy Kandasamy, yang akan mengangkat sumpah sebagai senator dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khas menjadi satu-satunya wakil Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam senarai timbalan menteri, dilantik Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Adik Pengerusi DAP, Lim Guan Eng iaitu Lim Hui Ying, yang juga Ahli Parlimen Tanjong dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, manakala Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud daripada PKR dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Kumbong, yang juga ahli veteran GPS, dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 10:47 PM