Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media pengumuman barisan Timbalan Menteri di Putrajaya. FOTO Aswadi Alias
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media pengumuman barisan Timbalan Menteri di Putrajaya. FOTO Aswadi Alias
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Seorang bekas menteri dan 10 pemimpin yang pernah menjawat timbalan menteri disenaraikan dalam barisan timbalan menteri baharu Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Beliau adalah antara 27 timbalan menteri baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini.

Selain itu, Setiausaha Agung UMNO, yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Ahmad Maslan pernah menjawat jawatan yang sama ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2013 hingga 2015.

Turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim daripada DAP, yang sebelum ini pernah menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 hingga 2020.

Bekas Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, yang mana ketika pentadbiran PH yang lalu, beliau adalah Timbalan Menteri Pendidikan.

Turut tersenarai, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Chin Tong pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan pada 2018-2020 atas kapasitinya sebagai Senator.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar Negara.

Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib diberikan portfolio sebagai Timbalan Menteri Ekonomi. Sebelum ini, beliau menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bawah pentadbiran PN.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dilantik Timbalan Menteri Kerja Raya, manakala Ahli Parlimen Limbang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Hasbi Habibollah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Kurup pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sebelum ini, Arthur, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan memegang jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya ketika pentadbiran PN dan BN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 10:21 PM