PKS Malaysia sudah menyatakan dengan jelas bahawa mereka memerlukan sokongan kewangan pada tahun ini.
PKS Malaysia sudah menyatakan dengan jelas bahawa mereka memerlukan sokongan kewangan pada tahun ini.

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka mengambil produk pinjaman baharu atau alternatif pada tahun ini dan tidak memilih bank tradisional.

Ini menyebabkan bank tradisional di Malaysia berdepan risiko untuk kehilangan perniagaan PKS yang dianggarkan berjumlah 1.15 juta syarikat.

Syarikat analisis data FICO berkata, 57 peratus daripada PKS dijangka mengambil produk pinjaman alternatif pada tahun ini.

Pengarah Kanan Penyelesaian Pengurusan Keputusan FICO di Asia Pasifik, Aashish Sharma berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan PKS menanggung beban yang besar dan secara tiba-tiba dan mereka tidak berpandangan bahawa bank sudah melakukan usaha secukupnya untuk membantu mereka.

"PKS Malaysia sudah menyatakan dengan jelas bahawa mereka memerlukan sokongan kewangan pada tahun ini, namun kurang optimis untuk menerimanya daripada bank utama.

"Ini adalah trend yang berpotensi membimbangkan dalam kalangan bank tradisional memandangkan dianggarkan terdapat kira-kira 1.15 juta PKS di Malaysia, menggajikan kira-kira 48 peratus tenaga kerja dan menyumbang lebih 38 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar," katanya dalam kenyataan semalam.

Sharma berkata, penyelidikan oleh RFI Global yang disediakan untuk FICO turut mendedahkan isyarat awal bahawa bank tradisional di Malaysia berdepan risiko untuk kehilangan perniagaan PKS kepada pesaing bukan tradisional.

Katanya, bank perlu memahami faktor yang menyebabkan PKS mempertimbangkan sumber pembiayaan alternatif dan mengenal pasti ruang penambahbaikan merentasi pelbagai faktor berkaitan pembiayaan termasuk akses kepada kredit, bantuan kewangan dan kepantasan memberi maklum balas.

Selain itu, menurutnya, tiga pendorong utama untuk PKS memilih penyedia pinjaman atau institusi kewangan ialah kadar faedah yang kompetitif, proses permohonan yang mudah dan cepat serta fleksibiliti pilihan pembayaran balik.

"Peminjam alternatif berpotensi untuk diterima berdasarkan cabaran yang dikenal pasti daripada penyelidikan ini dan pemerhatian pasaran kami.

"Bagaimanapun, terdapat peluang untuk bank tradisional mengekalkan peminjam sekiranya mereka memahami kriteria keputusan utama itu di samping cabaran dan sentimen sokongan pembiayaan PKS dan tema yang wujud," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 7:00 AM