KERETA kebal Ukraine di barisan hadapan di wilayah Kharkiv, negara itu. FOTO AFP
KERETA kebal Ukraine di barisan hadapan di wilayah Kharkiv, negara itu. FOTO AFP
AFP

Kyiv: Ahli Parlimen Ukraine menyokong langkah membenarkan sperma beku tentera digunakan, jika mereka terbunuh dalam perang.

Ia selepas undang-undang awal yang mengarahkan pelupusan seperma itu mencetuskan kekecohan.

Ketika kematian meningkat dalam kalangan pemuda Ukraine yang bertempur dalam perang selama dua tahun menentang Rusia, dan dengan panggilan kemasukan tentera, dasar kesuburan negara kian menjadi perhatian.

Penggubal undang-undang di Verkhovna Rada Ukraine mengundi pada Rabu untuk pindaan bagi membolehkan pasangan kepada tentera yang mati menggunakan sperma yang dibekukan itu.

Langkah itu mengubah undang-undang pada Disember yang mewajibkan kerajaan mula membayar untuk penyimpanan sperma tentera lelaki dan benih daripada tentera wanita, mulai 2025.

Namun, selepas undang-undang itu diluluskan, peguam perubatan Olena Babych menulis dalam catatan Facebook yang dibaca secara meluas yang menekankan bahawa ia juga meminta pelupusan sampel yang diambil daripada penderma yang kemudiannya meninggal dunia.

Perkara itu turut mencetuskan kekecohan dan kritikan.

Ahli Parlimen dan kementerian kesihatan berikrar untuk mengubahnya sebelum undang-undang itu mula berkuat kuasa bulan depan.

Sebanyak 264 ahli Parlimen menyokong pindaan yang turut memastikan sampel disimpan secara percuma selama tiga tahun selepas penderma meninggal dunia, dengan pilihan penyimpanan berbayar selepas itu.

Sementara, tidak ada yang mengundi menentang langkah itu, yang disokong oleh kementerian kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 11:00 AM