JONATHAN M. FOTO Agensi
JONATHAN M. FOTO Agensi
Agensi

Amsterdam: Seorang lelaki yang juga penderma sperma di Belanda berdepan tindakan undang-undang untuk menghalangnya daripada 'menghasilkan' lebih ramai anak.

Portal euronews melaporkan, lelaki berusia 41 tahun dari The Hague itu didakwa sudah menjadi penyumbang kepada kelahiran sekurang-kurangnya 550 anak di seluruh dunia.

Seorang wanita yang hamil pada 2018 menggunakan sperma yang didermakan lelaki terbabit, membantu tuntutan mahkamah bersama Yayasan Donorkind, sebuah organisasi yang membela hak kanak-kanak daripada benih penderma.

Difahamkan, lelaki dikenali sebagai Jonathan M dalam akhbar Belanda, mendermakan spermanya kepada sekurang-kurangnya 13 klinik di Belanda dan luar negara, menurut yayasan itu.

"Jika saya tahu dia sudah mempunyai lebih daripada 100 anak, saya tidak akan pernah memilih penderma ini.

"Apabila saya berfikir mengenai akibat akan ditanggung anak saya, saya berasa tidak selamat memikirkan masa depannya... dan berapa ramai lagi kanak-kanak yang ditambah?"

"Pergi ke mahkamah adalah satu-satunya cara untuk melindungi anak saya," kata wanita terbabit dalam satu kenyataan.

Lelaki itu sudah pun disenaraihitamkan di Belanda pada 2017 selepas diketahui bahawa dia mempunyai lebih 100 anak hasil pendermaan 'benihnya'.

Sementara itu, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Belanda (NVOG) menggesa semua bank sperma dan klinik berhenti menggunakan sperma Jonathan serta-merta, namun lelaki itu didakwa terus menderma di luar negara.

Yayasan Donorkind mendakwa lelaki itu menghubungi bakal ibu melalui media sosial untuk menawarkan spermanya dan berbohong mengenai bilangan anak sudah dilahirkan melalui bank sperma.

Menurut peguam yayasan, Mark de Hek, penderma itu melanggar perjanjian dengan klinik dan bakal ibu bapa, yang bergantung pada komitmennya untuk hanya menderma untuk kehamilan sehingga 25 anak.

"Penderma mengutamakan keinginannya untuk menambah bilangan anak dan kelakuannya menimbulkan ancaman kepada kesejahteraan mental dan fizikal kanak-kanak (hasil pendermaan) itu," kata de Hek.

Laporan media Belanda Jonathan M kini tinggal di Kenya dan enggan mengulas mengenai prosiding undang-undang terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 10:59 AM