GAMBAR hiasan. FOTO AFP.
GAMBAR hiasan. FOTO AFP.
Agensi

London: Polis Norfolk, United Kingdom (UK) dikecam selepas mengabaikan panggilan kecemasan 999 selama lebih sejam yang mengakibatkan empat orang terbunuh.

Metro UK melaporkan, dua kanak-kanak ditemukan meninggal dunia di sebuah kediaman di Allan Bedford Crescent, bandar Costessey, semalam bersama bapa mereka, Bartlomiej Kuczynski, 45, dan seorang wanita berusia 36 tahun yang tidak dinamakan.

Polis menemui mayat mereka kira-kira jam 7 pagi, hanya selepas dimaklumkan jiran mangsa.

Didedahkan bahawa terdapat satu panggilan kecemasan dibuat dari rumah berkenaan kira-kira sejam sebelum penemuan, yang tidak diendahkan polis.

Susulan itu pasukan dirujuk kepada Badan Bebas Tatalaku Polis (IOPC) selepas pendedahan lain menunjukkan anggota polis ada berhubung dengan penghuni rumah berkait laporan orang hilang pada 14 Disember lalu.

Siasatan masih dijalankan di hartanah itu sehingga hari ini, dengan penyiasat memfokus temubual saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Penyiasat, Inspektor Chris Burgess berterima kasih atas sokongan komuniti susulan kehadiran ramai pihak berkuasa di kejiranan terbabit bagi menyiasat kes berkenaan.

"Sementara kami masih cuba membuat kesimpulan terhadap apa yang berlaku, kami tetap berpuas hati hingga peringkat ini dan kes dianggap insiden terpencil," katanya.

Punca kematian semua mangsa masih belum didedahkan.

Keterangan Gambar:

LOKASI penemuan mayat dikepung polis bagi tujuan siasatan. FOTO Agensi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 3:34 PM