TANGKAP layar daripada video disiarkan polis menunjukkan budak 13 tahun memandu sebuah trak angkat susun (forklift).
TANGKAP layar daripada video disiarkan polis menunjukkan budak 13 tahun memandu sebuah trak angkat susun (forklift).
Agensi

Detroit: Polis di Michigan, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini, mengambil masa sejam untuk menahan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang mencuri trak angkat susun (forklift) dan memandu kenderaan itu sehingga ia melanggar kira-kira 10 kereta.

Portal Sky News melaporkan, forklift yang boleh menampung berat 15 tan itu dicuri dari luar sebuah sekolah menengah di Ann Arbor, Mich, menggunakan kunci yang ditemukan di dalam teksi, kata jabatan polis bandar itu.

Polis bergegas ke sekolah itu kira-kira 6.45 petang pada Sabtu lalu, sebelum mendapati kanak-kanak lelaki terbabit memandu kenderaan itu di jalan, tanpa menyalakan lampu trak itu.

Jabatan Polis Ann Arbor memaklumkan, polis mengejar kenderaan itu pada kelajuan antara 24 kilometer sejam (km/j) dan 32 km/j, dengan lampu kecemasan dan siren dihidupkan.

"Ia adalah situasi sangat berbahaya yang boleh berakhir dengan kecederaan serius.

"Insiden itu kekal sebagai siasatan jenayah yang aktif dan berterusan," tambah pasukan itu.

Dalam rakaman yang dikeluarkan oleh polis mengenai insiden itu, seorang pegawai kedengaran menggesa kanak-kanak lelaki itu untuk memberhentikan kenderaan dan memberi amaran kepada rakan sekerja supaya tidak pergi ke hadapan forklift.

Menurut polis, tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu.

Pasukan dari Pejabat Syerif Daerah Washtenaw terus mengejar forklift itu sehingga jam 8 malam apabila kanak-kanak itu memberhentikan kenderaan berkenaan.

Kanak-kanak lelaki itu yang tidak didedahkan identitinya kerana di bawah umur ditahan pada malam Sabtu dan ditempatkan di pusat tahanan juvana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 3:44 PM