TOM Tugendhat. FOTO fail Reuters
TOM Tugendhat. FOTO fail Reuters
AFP

London: China menafikan sekeras-kerasnya kewujudan balai polis rahsia di United Kingdom (UK), susulan arahan London untuk menutupnya.

Menteri Keselamatan UK, Tom Tugendhat berkata, kerajaan sudah menyatakan kepada kepada kedutaan China untuk menutup balai polis itu selepas kumpulan hak asasi manusia, Safeguard Defenders menerbitkan laporan mengenai kewujudan balai berkenaan di UK.

Menurut laporan itu, balai polis berkenaan bukan saja diwujudkan untuk menyediakan perkhidmatan pentadbiran, malah digunakan 'untuk memantau dan mengganggu komuniti yang berhijrah dan, dalam beberapa kes adalah untuk memaksa mereka kembali ke China di luar saluran yang sah'.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin pada satu taklimat media menyatakan, "tiada apa yang didakwa sebagai balai polis rahsia".

"China menggesa UK untuk menghormati fakta, menghentikan sikap keterlaluan yang digembar-gemburkan dan memburuk-burukkan China selain berhenti mencipta halangan kepada hubungan China-UK.

"China sentiasa mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati kedaulatan perundangan semua negara," katanya.

Tugendhat juga berkata, Pejabat Luar UK turut memberitahu kedutaan China bahawa sebarang fungsi yang berkaitan dengan 'balai perkhidmatan polis' di UK adalah tidak boleh diterima dan ia tidak boleh beroperasi dalam apa juga cara.

Kedutaan Beijing di United Kingdom turut menafikan laporan itu dan memberi amaran terhadap "tuduhan palsu" yang dibuat oleh media.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 10:26 AM