PENDUDUK membawa barang keperluan untuk berpindah selepas empangan Nova Kakhovka pecah di Kherson, Ukraine. FOTO Reuters.
PENDUDUK membawa barang keperluan untuk berpindah selepas empangan Nova Kakhovka pecah di Kherson, Ukraine. FOTO Reuters.
Reuters

Kherson, Ukraine: Penduduk bandar ini yang kecewa terpaksa berpindah di celah tembakan meriam semalam, selepas kediaman mereka dibanjiri air empangan pecah dalam bencana yang Kyiv dan Moscow saling menyalahkan satu sama lain.

Ada antara penduduk dilihat menangis sambil mengemas barangan mereka dan memuatkannya ke dalam kereta.

Petugas meteorologi yang menyukat paras sungai di lokasi memberitahu Reuters, paras air mencapai 3.5 meter lebih tinggi berbanding Isnin, sebelum empangan itu musnah.

Pesara, Mykola, 73, berkata, dia terperangkap dalam selut untuk menuju ke kawasan kering dan hanya membawa sedikit barang keperluan yang boleh disimpan.

Katanya, air membanjiri apartmennya sudah mencecah dada dan beberapa minit kemudian, tembakan meriam kedengaran yang menyebabkan orang ramai berlari mencari perlindungan.

Bagaimanapun, tempat perlindungan sukar ditemui memandangkan air memenuhi jalan di Kherson.

Wanita dikenali Oksana pula menangis ketika memuatkan beg plastik besar yang penuh barangannya ke dalam kereta menantu.

PASUKAN penyelamat memindahkan penduduk selepas air empangan Nova Kakhovka yang pecah membanjiri Kherson. FOTO Reuters.
PASUKAN penyelamat memindahkan penduduk selepas air empangan Nova Kakhovka yang pecah membanjiri Kherson. FOTO Reuters.

Rumah wanita berusia 53 tahun itu tenggelam pada pagi Selasa dan barangan di dalam beg plastik itu sahaja yang mampu diselamatkan.

"Semuanya sudah terapung. Perabot, makanan dalam peti ais, bunga.. semuanya terapung. Saya tidak tahu apa perlu dilakukan," katanya.

Kherson, bandar di tepi Sungai Dnipro yang luas di Ukraine terletak berhadapan dengan tebing timur yang dikuasai Rusia.

Sekitar 60 kilometer (km) di hulunya terletak empangan Nova Kakhovka, binaan tahun 1950-an sepanjang 3.2 km yang Kyiv menuduh Rusia meletupkannya sebagai satu "tindakan keganasan."

Kremlin pula menyalahkan Ukraine dengan berkata, ia cubaan mengalih perhatian daripada pelancaran serangan balas utama yang didakwa Moscow sedang goyah.

Beberapa pegawai yang diletakkan Rusia memberitahu empangan itu runtuh dengan sendirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 11:04 AM