AIR dipam dari kawasan banjir di Demydiv selepas tentera Ukraine membuka empangan bagi menghalang kemaraan tentera Rusia. FOTO Reuters
AIR dipam dari kawasan banjir di Demydiv selepas tentera Ukraine membuka empangan bagi menghalang kemaraan tentera Rusia. FOTO Reuters
Reuters

Kyiv: Banjir yang disengajakan di sebuah kampung kecil di utara Kyiv susulan pembukaan empangan menghalang serangan Rusia ke atas ibu negara.

Tindakan itu dianggap sebagai berbaloi untuk menghalang kemaraan tentera Rusia, kata penduduk.

Pada awal perang, tentera Ukraine membuka empangan Demydiv menyebabkan Sungai Irpin membanjiri kampung dan beribu-ribu hektar kawasan sekitarnya.

Tindakan itu dibuat bagi menghalang askar dan kereta kebal Rusia daripada menembusi barisan pertahanan tentera Ukraine.

"Sudah pasti tindakan ini berbaloi. Apa yang berlaku jika tindakan ini tidak dibuat lebih awal?

"Sudah pasti tentera Rusia boleh menyeberangi sungai kecil ini dan masuk ke Kyiv," kata penduduk, Volodymyr Artemchuk, 60.

Menurut Oleksandr Rybalko, 39, tindakan itu juga menyebabkan beberapa ladang dinaiki air.

Kira-kira dua bulan selepas kejadian, penduduk di kampung itu masih berhadapan dengan kesan banjir dan terpaksa menggunakan bot boleh kembung untuk bergerak dan meneroka tanah kering yang tinggal untuk menanam bunga dan sayur.

Kanak-kanak terpaksa bermain di tanah yang lembap.

Pencerobohan Rusia sudah masuk bulan ketiga dan dianggarkan ribuan nyawa orang awam terkorban.

Jutaan rakyat Ukraine terpaksa melarikan diri ke negara jiran manakala banyak bangunan yang rosak.

Moscow menggelar tindakan itu sebagai operasi ketenteraan khas untuk menghalang serangan bersenjata Ukraine dan melindunginya daripada fasis.

Ukraine dan Barat berkata, dakwaan fasis itu tidak berasas dan perang itu adalah tindakan pencerobohan yang tidak diprovokasi.

Rusia mengukuhkan kedudukan di timur Ukraine pada Ahad dalam usaha untuk mengepung tentera Ukraine dalam pertempuran di Donbas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 12:13 PM