ANTARA aksi pertempuran dalam AC: Valhalla.
ANTARA aksi pertempuran dalam AC: Valhalla.
Muhammad Saufi Hassan

SIRI permainan berjudul Assassin's Creed (AC) tidak perlu banyak pengenalan mengenainya memandangkan ia adalah francais paling berjaya yang diterbitkan Ubisoft bermula pada 2007 sehingga keluaran yang terbaru pada 2018 iaitu AC: Odyssey.

Sepanjang tempoh itu, Ubisoft sudah menerbitkan 11 judul utama manakala lebih 10 judul tambahan selama 13 tahun sejak ia diperkenalkan.

Mekanisme permainan juga tidak banyak berubah iaitu menjadi karakter yang mahu menjaga 'Creed' daripada terlepas ke tangan musuh.

Terbaru, Ubisoft mempertontonkan judul terbaru untuk francais berkenaan iaitu AC: Valhalla dan melihat kepada nama saja sudah diketahui bahawa ia berlatar belakangkan era Viking.

Siri berkenaan sudah menjelajah beberapa era utama antaranya zaman tamadun Firaun di Mesir, pemerintahan Pope di Itali, zaman kebangkitan lanun di laut dan tamadun Greek.

Berdasarkan video pratonton berkenaan memberi gambaran bahawa latar masa untuk siri terbaru ini akan memperlihatkan pertembungan Viking menentang Saxon di England namun jika menyentuh aspek mekanisme permainan, ia tidak banyak didedahkan.

Wujud tanggapan bahawa ia masih menggunakan pendekatan hampir sama dengan siri sebelum ini iaitu AC: Odyssey dan tarikh masa keluarannya juga tidak diumumkan sebaliknya Ubisoft hanya menyatakan akan dilancarkan tahun ini.

UBISOFT bakal lancarkan judul permainan AC: Valhalla tahun ini yang menggunakan latar masa Viking.
UBISOFT bakal lancarkan judul permainan AC: Valhalla tahun ini yang menggunakan latar masa Viking.

Video pratonton itu juga menunjukkan pertempuran di medan terbuka iaitu kaedah biasa untuk peperangan zaman dahulu dan ia mungkin menjadi konsep permainan kepada judul ini apabila pemain tidak lagi hanya perlu menyusup ke kem musuh untuk melakukan pembunuhan secara senyap sebaliknya medan perang terbuka.

Untuk medan perang terbuka, penulis merasakan ia mungkin mengambil inspirasi daripada judul For Honor yang turut diterbitkan Ubisoft dan video acah berkenaan memperlihatkan ia dilengkapi dengan jentera roboh tugu atqu 'Battering Ram', skuad memanah dan pastinya wujud tentera ketumbukan lain.

Pemain akan menggunakan karakter Eivor iaitu seorang pahlawan dan pemimpin untuk Viking, namun tidak dipastikan sama ada pemain boleh memilih jantina watak sama lelaki atau wanita.

Latar masa judul ini dijangka akan menggunakan abad kesembilan sekitar tahun 873. Konflik berlaku apabila kumpulan Viking yang dipimpin Eivor meninggalkan Norway untuk membina penempatan baharu di England dan mendapat tentangan Saxon.

Berdasarkan sejarah sebenar, tentera Viking menceroboh England sekitar 860 dan 900 AD namun pertempuran skala kecil sudah berlaku puluhan tahun sebelumnya.

Video berkenaan juga memaparkan Raja Alfred dari Wessex dan beliau antara figura penting yang berjaya memenangi beberapa pertempuran dengan Vikings.

Menyentup konsep permainan, Valhalla mungkin akan menggunakan kaedah sama denga Odyssey iaitu permainan yang tidak lagi bergantung kepada 'misi senyap' sebaliknya sepenuhnya mod permainan RPG dan bergantung kepada pemain untuk menggunakan keupayaan karakter ketika bertempur.

Siri terbaharu ini juga akan bertempur dengan pahlawan Saxon yang gagah seperti yang dipamerkan dalam video namun pahlawan berkenaan mempunyai titik kelemahan yang perlu dieksploitasi ketika pertempuran.

Ubisoft setakat ini memaklumkan bahawa siri berkenaan tidak akan diterbitkan menerusi platform Steam sebaliknya menggunakan platform Ubisoft sendiri yang dikenali sebagai Uplay.

Beberapa minggu akan datang pastinya mempunyai maklumat lebih lanjut berhubung konsep, mekanisme dan latar masa yang lebih jelas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 6:30 AM