SIM (kanan) dan Benoit (kiri) ketika melancarkan tayar Dunlop Formula D05 dan SP Sport J5.
SIM (kanan) dan Benoit (kiri) ketika melancarkan tayar Dunlop Formula D05 dan SP Sport J5.
Oleh Erywan Norshal

Petaling Jaya: Continental Tyre PJ Malaysia Sdn Bhd menyasarkan pertumbuhan antara empat sehingga lima peratus ke atas jualan produk tayar bagi segmen kenderaan penumpang pada tahun ini.

Pengurus Jualan Kebangsaannya Sim Wee Chung berkata, sasaran itu adalah bagi mengekalkan penguasaan pasaran antara 28 sehingga 32 peratus jualan tayar di negara ini bagi tiga jenama dibawah syarikat berkenaan iaitu Continental, Dunlop dan Viking.

“Kami menawarkan pelbagai produk tayar mengikut segmen berbeza iaitu premium bagi jenama Continental, lebih nilai (Dunlop) dan berpatutan (Viking).

“Pada masa sama, kami turut menawarkan tayar terbaru daripada jenama Dunlop iaitu Formula D05 dan SP Sport J5 yang masing-masing disasarkan bagi kereta berprestasi serta pasaran umum,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan dua produk terbaru Dunlop di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Continental Tyre Malaysia, Benoit Henry.

Sim berkata, Dunlop Formula D05 didatangkan dengan saiz antara 15 sehingga 18 inci, manakala 12 sehingga 15 inci bagi SP Sport J5.

“Kedua-dua produk ini mampu ditawarkan kepada lebih 90 peratus segmen kenderaan penumpang di Malaysia dan boleh didapati di 839 kedai seluruh negara.

“Malah produk berkenaan dibangunkan dengan menggunakan teknologi dari Jerman yang bersesuaian keadaan jalan dan cuaca di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:13 AM