FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Madrid: Polis Sepanyol menahan 18 orang selepas membongkar makmal kokain terbesar di Eropah, kemudahan multinasional yang sangat canggih di mana pasukan 'pakar' Colombia dan Mexico bekerja sepanjang masa untuk menghasilkan sehingga 200 kilogram (kg) dadah jenis itu sehari.

The Guardian melaporkan, pegawai dari pasukan Polis Kebangsaan Sepanyol, bekerja dengan rakan sejawat dari Portugal dan Colombia, turut merampas 1,300 kg pes asas kokain dan 151 kg kokain yang diproses selepas menemui 'makmal mega' di wilayah barat laut Galicia dan membuat beberapa siri tangkapan merentasi tanah besar dan di pulau Gran Canaria.

"Makmal mega yang terletak di wilayah Pontevedra memproses dadah secara 24 jam sehari dengan 'tukang masak' bekerja secara bergilir-gilir untuk mengubah pes asas menjadi kokain hidroklorida sedia untuk digunakan.

"Organisasi jenayah yang kini dibongkar itu sangat canggih dan ahlinya diberikan tugas berbeza diatur dengan baik menggunakan langkah keselamatan yang kukuh seperti nama samaran, kenderaan palsu, menyamar sebagai pemandu lori dan menggunakan protokol komunikasi yang ketat," kata polis Sepanyol, Jumaat lalu.

Siasatan bermula Oktober lalu, apabila pegawai terserempak dengan geng penjenayah berpangkalan di Las Palmas, ibu kota Gran Canaria, dan beberapa anggotanya disiasat berhubung kaitan mereka dengan pembekal dadah Colombia.

Siasatan polis kemudian membawa mereka ke sebuah rumah berhampiran Madrid yang digunakan kumpulan itu sebagai depoh untuk sejumlah besar produk kimia, dan ke kawasan perindustrian di Pontevedra di mana bekalan untuk makmal kokain juga disimpan.

Tidak lama kemudian, pegawai itu menemui sebuah perusahaan jenayah multinasional membabitkan 'tukang masak' Colombia dan dua orang Mexico dikenali sebagai 'jurutera' dan 'peguam' yang pakar dalam mengekstrak pes asas kokain yang tersembunyi di dalam silinder logam berat pada jentera pemecah batu.

"Suspek utama ialah orang Sepanyol yang bertanggungjawab mengangkut dadah dari negara asalnya iaitu Colombia ke Pontevedra di mana ia diproses di makmal yang dibina oleh orang Sepanyol," kata polis.

Anggota kumpulan geng Sepanyol itu juga yang mengedarkan kokain yang sudah diproses ke seluruh negara.

Akhirnya, polis menemui makmal itu yang terbesar ditemukan di Eropah, setakat ini.

"Ia adalah sebuah rumah besar di wilayah Pontevedra, berasingan daripada hartanah lain dan dibina di atas sebidang tanah yang luas," kata polis lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 1:55 PM